Jessica Ching Ai Lyn, 24, graduan Orang Kurang Upaya (OKU) Pembelajaran (Asperger’s Syndrome) membuktikan kekurangan bukan penghalang apabila meraih Ijazah Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen ke-26 Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Graduan dari Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) itu meluahkan rasa lega dan gembira setelah selesai menamatkan pengajian.

Jessica menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Biologi Pemuliharaan) dengan memperoleh keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.84.

Menurutnya, ibu bapa merupakan sumber kejayaan dan susuk yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti sepanjang bergelar sebagai seorang pelajar prasiswazah.

Chua May Ling, ibu kepada Jessica berkata cabaran terbesar bagi anaknya adalah ketika ingin melakukan pembentangan di hadapan pensyarah dan rakan-rakan.

“Cabaran utama bagi anak saya adalah apabila dia perlu membuat pembentangan dan menyampaikan idea secara lisan di hadapan pensyarah dan rakan.

“Dia menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dan bersosial dengan baik, apatah lagi bercakap di hadapan ramai orang,” katanya.

Ayah iaitu Ching Kok Hin berkata pada awalnya mereka sukar melepaskan anaknya sendirian di UMS kerana bimbang Jessica tidak dapat beradaptasi dengan baik.

“Bukan mudah bagi kami melepaskannya sendirian untuk menyambung pengajian, namun sebagai ibu bapa kami juga perlu membiarkannya untuk melihat sejauh mana dia boleh melangkah atas usaha sendiri.

“Kami juga melihat sokongan dan bantuan daripada para pensyarah terutamanya Dr Zaiton dari Pusat Pengurusan Orang Kurang Upaya UMS yang sentiasa membantu dalam pengurusan keperluan sepanjang berada di UMS.

 

“Fasiliti bagi pelajar kurang upaya yang terdapat di UMS juga sangat baik dan kemudahan ini dapat memberi keselesaan sepanjang proses pembelajaran,” ujarnya.

 

Graduan yang berasal dari Petaling Jaya itu menerima skrol ijazah yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim bertempat di Dewan Canselor UMS.

 

(artikel disediakan Norafiqa Samil, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran agar memberikan fokus kepada nilai tambah dan pembelajaran berterusan bagi menghadapi cabaran industri yang pelbagai.

Menurut Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim, dunia memerlukan graduan yang memiliki spektrum yang luas serta berdaya saing untuk memastikan daya tahan masa depan.

“Hakikat bahawa anda menerima skrol ijazah hari ini bukanlah penamat kepada perjalanan pembelajaran dan proses menuntut ilmu.

“Sebaliknya, ia mungkin menjadi permulaan baru kerana proses belajar adalah usaha yang berterusan dan berlangsung sepanjang hayat.

“Pembelajaran bukan lagi satu pilihan, ianya merupakan satu keperluan untuk masa depan kerana keadaan berubah begitu pantas, semua boleh berubah dalam sekelip mata dengan teknologi.

“Oleh itu, adalah penting untuk terus mengikuti perkembangan terkini dan menyesuaikan diri dengan perubahan serta mengemas kini pengetahuan serta kemahiran diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 709 graduan sidang lima Majlis Konvokeseyen UMS kali ke-26.

Tambah beliau, setiap graduan perlu mengatasi cabaran dalam berkembang dan sentiasa berusaha mencapai tahap kemahiran, kekuatan, serta kebijaksanaan yang lebih tinggi.

“Mendapat ilmu dan kemahiran tambahan adalah menambah nilai kepada diri sendiri.

“Teruskan mempelajari perkara baru mengenai Kecerdasan Buatan (AI), teknologi, ICT dan bahasa, kerana ilmu ini dapat menambah kualiti dalam diri seterusnya menjadikan seseorang lebih berdaya saing.

“Saya sendiri sudah berusia 85 tahun dan masih membaca artikel dan belajar mengenai dunia siber, keselamatan siber, AI, mata wang kripto, bitcoins, pengkomputeran dan e-banking,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada para graduan untuk sentiasa meningkatkan ilmu dan penguasaan terhadap bahasa Inggeris.

“Tidak dapat dinafikan bahawa tahap penguasaan bahasa Inggeris menunjukkan penurunan yang ketara selama beberapa tahun dan dekad.

“Bahasa pengantar antarabangsa ini merupakan alat penting yang dapat membantu anda mencapai kejayaan dalam hidup.

”Sebanyak 80% daripada pengetahuan di dunia dapat diakses melalui bahasa Inggeris, menunjukkan betapa pentingnya bahasa ini untuk dikuasai oleh setiap pelajar,” ujar beliau.

Pada sidang tersebut, beliau menyampaikan skrol ijazah kepada graduan dari Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Pertanian Lestari, dan Fakulti Sains dan Sumber Alam.

 

(artikel disediakan Norafiqa Samil, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Kejayaan Asmaa Chekima meraih Hadiah Tun Zaki Tun Azmi (Antarabangsa) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-26 menjadi inspirasi kepada ramai orang apabila beliau menegaskan agama dan usaha telah menjadi pendorong utama dalam perjalanan akademiknya.

Asmaa, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian (Perniagaan Antarabangsa) yang memegang kerakyatan Algeria, memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana memudahkan kejayaannya dan sangat terkejut kerana memperolehi hadiah tersebut.

Asmaa berkata tidak ada rahsia bagi kejayaan yang diperolehi melainkan dua “peraturan” yang ditetapkannya iaitu berdoa selalu dan sentiasa berusaha keras kerana ada impian ingin ditunaikan.

“Yang pertama adalah sentiasa berdoa tanpa henti dan jangan putus asa dalam segala hal, kerana tiada perkara yang dianggap mustahil sekiranya ada impian, yang penting terus berdoa dan berserah kepada Allah.

“Peraturan kedua saya adalah perlu sentiasa berusaha dan bekerja keras, jangan jadi pemalas, dan jangan berhenti separuh jalan dalam mencapai impian yang diinginkan.

“Saya pernah merasa seperti tidak akan berjaya dalam enam semester ini, namun Allah sentiasa memberi peluang berulang kali, dan Alhamdulillah, saya dapat melalui semuanya,” katanya.

Asmaa turut berkongsi bahawa dalam proses pembelajaran, keseimbangan antara kerja dan kehidupan adalah penting.

“Kita mesti pandai membahagikan dan menguruskan masa dengan bijak, sentiasa rancang jadual belajar dan aktiviti rutin lebih awal.

“Apa yang penting adalah jangan pernah abaikan solat, jaga solat dan sentiasa berdoa kerana dengan melakukan perkara tersebut, ia dapat membantu kita merasakan masa sentiasa mencukupi,” katanya lagi.

Asmaa juga menjadikan ayahnya, seorang profesor yang merupakan ahli akademik terawal di UMS sebagai sumber inspirasi utama dalam memperoleh cita-citanya.

“Saya juga membuat perancangan tentang hala tuju dan cita-cita saya dalam megikuti jejak langkah ayah saya iaitu menjadi profesor satu hari nanti, namun bagi saya, kerana saya masih muda, saya rasa ingin menceburi bidang korporat dan bekerja di syarikat terlebih dahulu.

“Kemudian, dalam beberapa tahun akan datang, saya merancang untuk menyambung pelajaran dan mengikuti jejak langkah ayah saya secara berperingkat dengan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan PhD.

“Akhirnya, saya bercita-cita untuk menyambung legasi ayah saya sebagai seorang profesor,” ujar Asmaa,

Asmaa Chekima merupakan salah satu graduan yang memperoleh kelas satu dalam programnya bersama graduan - graduan lain yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS tahun ini.

 

(artikel disediakan Muhammad Fakhrul Hakim Nasrudin, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Hubungan adik-beradik yang utuh menjadi pemangkin yang membawa kepada kecemerlangan dalam bidang akademik buat sepasang kembar seiras.

Jaynie Jamirin dan Janet Jamirin yang masing-masing berusia 23 tahun meraikan hari paling bermakna apabila berjaya menamatkan pengajian sebagai graduan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-26.

Pasangan kembar yang berasal dari Tongod itu masing-masing menempuh pelbagai cabaran dalam menamatkan pengajian dan semangat mereka untuk mencapai kejayaan tidak pernah pudar.

“Kami dari fakulti yang sama tapi kami mengambil jurusan yang berbeza jadi kami jarang jumpa, hanya pada hujung minggu kami selalu bersama.

“Hubungan kami diibaratkan seperti kucing dan anjing, tetapi kami saling membantu antara satu sama lain,” kata Jaynie yang merupakan kakak.

Mereka juga menceritakan kenangan sepanjang melanjutkan pelajar di universiti tersebut.

"Kenangan pahit yang paling saya ingat ialah pada hari pertama saya melangkah masuk ke sini.

“Sebelum itu, kami hanya mengikuti pembelajaran secara dalam talian, jadi hari pertama di kampus membuatkan saya rasa tidak tahu apa-apa dan agak sedih.

“Menerima Anugerah Dekan pula merupakan kenangan yang manis dan terindah sepanjang melanjutkan pelajaran di UMS,” kata Jaynie.

Meskipun Jaynie mempunyai kecacatan fizikal pada bahagian kaki akibat kemalangan jalan raya, ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian.

“Jaynie adalah seorang yang sangat kuat. Dia tidak memerlukan dorongan kerana semangat dan ketekunannya sendiri sudah cukup untuk melangkah jauh,” ujar adiknya, Janet penuh bangga.

Selepas konvokesyen ini, pasangan kembar ini memiliki hala tuju yang berbeza tetapi saling melengkapi.

“Saya bercadang menyambung pengajian ke peringkat sarjana, manakala Janet ingin memulakan perniagaan dengan membuka studio photobooth di kampung halaman mereka.

“Impian ini bukan sahaja untuk menyara diri tetapi juga untuk memberi impak positif kepada komuniti,” kata Jaynie.

Jaynie yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Ekonomi Sumber Manusia), menerima skrol ijazah pada sidang ketiga yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim, manakala Janet, graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan), dianugerahkan ijazah pada sidang keempat yang disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

 

(artikel disediakan Muhammad Yatimi Saliman, Pelajar Latihan Industri, Pusat Komunikasi Korporat UMS)

 

Joey Lim Jun Yi, 24, graduan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-26 yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu layak menerima pingat tersebut setelah meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumalatif (PNGK) 3.95 dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Rangkaian).

Berkongsi kejayaan beliau, Joey berkata beliau sentiasa menetapkan matlamat kecil untuk diri sendiri dan konsisten untuk mencapainya setiap hari.

“Memecahkan matlamat besar kepada langkah-langkah kecil yang mudah dicapai dapat mencipta proses pembelajaran yang lebih teratur dan tidak membebankan.

“Saya juga percaya kepada kepentingan bekerjasama dengan rakan sekelas kerana setiap individu mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang tertentu.

“Belajar bersama dan berkongsi pengetahuan bukan sahaja memperkukuh pemahaman tetapi juga membuka perspektif baru yang mungkin terlepas pandang,” katanya.

Berkongsi lanjut, beliau amat berterima kasih kepada penyelianya iaitu Dr. Leau Yu Beng yang juga merupakan Timbalan Dekan FKI atas bimbingan dan sokongan sepanjang menyiapkan projek akhir tahun.

“Atas sokongan beliau (Dr. Leau), saya berjaya membina sistem berasaskan web untuk sebuah klinik keselamatan siber di UMS yang dikenali sebagai MYCSC@UMS,” luahnya dengan rasa bangga.

Tambah Joey beliau kini sedang mencari peluang pekerjaan dalam bidang teknologi dan berhasrat untuk terus menyumbang kepada industri serta membanggakan UMS dengan kejayaan akan datang.

Beliau yang juga aktif dalam bidang sains komputer sering menyertai pelbagai projek dan pertandingan.

Antara anugerah yang diterima beliau adalah tempat ketiga dalam “SabahNet Fortinet Security Fabric Range Challenge 2023” dengan hadiah berupa wang tunai sebanyak RM2,000.

 

(artikel disediakan Nursahira Allawi, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)