RABU, 23 MEI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkenalkan konsep Bring Your Own Device (BYOD) bagi memastikan penyampaian teknologi maklumat dalam perkhidmatan universiti sentiasa lancar.

Pendaftar UMS, No’man Ahmad berkata, konsep BYOD diperkenalkan sebagai satu langkah menyelesaikan masalah terhadap penyediaan alat peranti kepada kakitangan dengan spesifikasi bersesuaian yang melibatkan kos yang tinggi.

“Pada dasarnya, pelaksanaan BYOD adalah satu konsep yang membenarkan pengguna membawa alat peranti sendiri untuk melaksanakan tugasan di tempat kerja selain untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran.

“Ini dapat dijadikan sebagai panduan untuk membentuk kerangka penyediaan infrastruktur bagi meningkatkan pembelajaran dan pengajaran sama ada perisian atau program yang sesuai dan menyokong konsep BYOD di kampus seperti Virtual Desktop Infrastructure (VDI),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Geran BYOD dan Ujilari VDI di Megalab, Perpustakaan UMS kelmarin.

Tambah beliau, melalui inisiatif VDI, pengguna tidak terbeban dengan peningkatan teknologi dan boleh menggunakan peranti yang asas atau sedia ada, sekali gus memperkayakan pembelajaran dan pengajaran universiti dengan tenaga pengajar dapat menyediakan bahan dengan program sokongan yang membantu dalam penyampaian.

“Cetusan inovasi ini juga adalah seiring dengan Dasar E-Pembelajaran Negara 2.0 (DEPAN 2.0), dan diharapkan dapat menjadikan pemegang taruh UMS, iaitu pelajar untuk sentiasa berdaya saing dan memenuhi keperluan kemahiran negara,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Noor Hapipah Samat.

SELASA, 22 MEI - Exco Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Kolej Kediaman Excellent (KKE) mengadakan Program E-slamic Camp 1.0 baru-baru ini.

Menurut kenyataan Jakmas KKE,  program itu diadakan selama tiga hari dibawah kendalian penceramah jemputan, Ustaz Jimmis Jumat, Ustaz Mahadi Muchtar serta seorang penceramah daripada kalangan pelajar KKE, Alexandra Castro Abdullah.  

Antara pengisian program termasuklah penyampaian ceramah bertajuk “Peranan Sahabat dalam Membentuk Suasana Ibadah Solat”, “Rasulullah S.A.W ketika Belia” dan “Kematian: Bersediakah Aku?”.

Turut diadakan aktiviti gotong royong, riadah, solat secara berjemaah, slot muhasabah diri dan persembahan sketsa dan persembahan Qasidah dari peserta dan ahli jawatankuasa penganjur.

Hadir sama Timbalan Pengetua KKE, Mohd. Hilmey Saili serta barisan felo kolej kediaman berkenaan.

 

Sumber: Jakmas KKE

 

 

 

 

 

 

 

ISNIN, 21 MEI - Program Latihan Bencana Alam Tsunami anjuran Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu memberi pemahaman tentang ancaman tsunami dan langkah-langkah yang perlu dilakukan apabila menghadapi bencana tersebut.

Menurut Pengarah IPMB, Prof. Dr. Rossita Shapawi, program tersebut dianjurkan bertujuan sebagai latihan kepada warga UMS serta memahami dan lebih peka mengenai peranan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT).

“Melalui program seumpama ini para peserta dapat menimba ilmu terutama mengenai tatacara menyelamat rakan-rakan yang trauma dan hampir lemas, serta memaklumkan kepada orang ramai lokasi yang tepat jika berlakunya ancaman bencana alam seperti tsunami,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran program tersebut turut membuka peluang kepada jalinan kerjasama yang baik dengan agensi luar seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Meteorologi.

Program yang dianjurkan buat julung kalinya di peringkat UMS itu diadakan dengan kerjasama Bahagian Keselamatan UMS, Pusat Rawatan Warga UMS, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Meteorologi Kota Kinabalu.

Seramai 208 orang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UMS, pelawat dan orang awam menyertai program latihan tersebut.

Sumber: IPMB

 

 

JUMAAT, 18 MEI - Kursus teknikal “Acuan dan Perancah Binaan” yang melibatkan pelajar Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu mengetengahkan kepada peserta tentang kemahiran teknikal serta pengalaman sebagai persediaan bakal graduan Kejuruteraan Awam untuk memenuhi pasaran sektor pembinaan negara.

Menurut pengarah program, Sahaluddin Syah Jawaludi, program sebegini penting bagi pelajar-pelajar Kejuruteraan Awam sebagai salah satu medium pembelajaran selain daripada kuliah.

“Sesi seminar yang diadakan dapat menambah pengetahuan dan memberi pendedahan kepada pelajar tentang sistem acuan dan perancah binaan.

“Bagi sesi praktikal pula, peserta berpeluang mencuba sendiri kaedah pemasangan sistem acuan dan perancah binaan, dan ini secara tidak langsung  dapat menguatkan lagi kemahiran pelajar dan menambah pengalaman yang berharga,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Kejuruteraan Awam, Sr. Asmawan Mohd Sarman berkata sepanjang program itu berlangsung, para pelajar berpeluang untuk diketengahkan dengan penggunaan teknologi mesin dan peralatan dari Jerman yang disediakan oleh Syarikat PERI Formwork Malaysia Sdn Bhd.

“Diharapkan program ini memberi pendedahan awal kepada pelajar yang bakal menempuhi pasaran sektor pembinaan pada masa akan datang dan sekali gus mereka lebih bersedia dengan suasana kawasan pembinaan yang terkenal dengan 3D, iaitu, “Danger, Dirty and Difficult”.

“Selain itu, program ini juga dapat melahirkan graduan yang berkualiti, berkeyakinan dan berintegriti,” ujar beliau.

Pelajar tahun dua Kejuruteraan Awam, Fatin Munirah Mohd ketika berkongsi pengalaman beliau berkata, program ini sangat bermanfaat kepada pelajar yang mengambil jurusan kejuruteraan.

“Ini kerana graduan kejuruteraan seharusnya mempunyai pendedahan berkaitan perihal praktikal seperti penggunaan perancah di tapak pembinaan,” katanya.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu disertai seramai 70 pelajar dan pensyarah Kejuruteraan Awam.

 

 

 

KHAMIS, 17 MEI - Sejumlah RM30,000 sumbangan diperuntukkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membantu aktiviti alumni di peringkat fakulti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, peruntukan itu disumbangkan bertujuan memberi bantuan kepada pihak fakulti menjalankan aktiviti berkaitan alumni masing-masing dengan lebih berkesan.

  • Semoga usaha murni ini terus mendapat sokongan dan kerjasama antara pihak pengurusan dan fakulti untuk sama-sama memastikan hubungan dengan alumni UMS terus terjalin erat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Alumni kepada 10 fakulti  UMS di Dewan Auditorium Pascasiswazah baru-baru ini.

Menurut Datuk D Kamarudin, daripada jumlah sumbangan yang diperuntukkan itu, setiap fakulti menerima bahagian sama rata iaitu masing-masing mendapat RM3,000.

“Justeru, saya berharap para dekan dapat memantau dan mengambil penekanan serius bagi memastikan aktiviti berkaitan alumni di fakulti masing-masing berjalan lancar,” tegasnya.

Penyampaian sumbangan kepada setiap dekan fakulti disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi.

Untuk rekod, penyaluran sumbangan alumni fakulti itu merupakan inisiatif di bawah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali melalui Pusat Alumni UMS.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Awang dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS.