Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam pengurusan bencana dengan mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Daerah Kota Belud, baru-baru ini.

Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata, antara intipati perbincangan bersama Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton adalah mengenai fungsi, peranan dan beberapa penyelidikan seperti gempa bumi, banjir dan hakisan pantai yang dijalankan oleh pusat berkenaan.

Carolyn berkata, aktiviti Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap (MaHBAM) di daerah itu telah dilancarkan pada 30 April lalu serta pembentukan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Bencana Melangkap telah dibentuk melibatkan wakil daripada komuniti lima buah kampung di Melangkap Baru, Melangkap Tiong, Melangkap Tomis, Melangkap Kapa dan Melangkap Noriou.

“Jawatankuasa Task Force Bencana Alam Melangkap merupakan yang pertama ditubuhkan di Sabah. Tujuannya untuk melatih komuniti agar lebih bersiap-siaga dan berdayatahan terhadap bencana.

“Pasukan task force komuniti yang telah dibentuk ini akan bertindak serta-merta sekiranya berlaku sebarang bencana di kawasan mereka sementara menunggu bantuan daripada agensi penyelamat,” katanya.

Sementara itu Peter Jiton menyambut baik usaha yang dijalankan oleh pihak NDRC UMS dan berharap agar pusat tersebut bekerjasama dengan pengurusan bencana daerah melalui sumbangan khidmat nasihat dan kepakaran, penyelidikan, penganjuran Program Kesedaran Awam Bencana Alam atau Seminar Bencana Alam di Kota Belud.

“Kepakaran para penyelidik dari institusi akademik seperti NDRC UMS ini penting sebagai input dalam pengurusan bencana peringkat daerah Kota Belud dalam usaha untuk mengurangkan impak bencana alam seterusnya memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ujar Peter.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut, Ketua Kluster Hakisan Pantai dan Sungai NDRC UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ejria Saleh; Pegawai Penyelidik NDRC UMS Eldawaty Madran serta Penolong Pegawai Daerah Kota Belud (Pembangunan), Sabdali Yusof.

 

Sistem kurikulum perlu sentiasa dirombak dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan dunia yang berteraskan teknologi pada hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr Shahril Yusof berkata, ilmu dan maklumat kini berada di hujung jari pada hari ini, justeru kurikulum perlu berubah mengikut kemajuan.

“Kita perlu melahirkan sumber manusia yang bekerja dan berkhidmat untuk negara, dan bukan hanya melatih mereka dalam pengkhususan tertentu yang kita ajarkan.

“Pensyarah muda perlu memberi fokus terhadap subjek yang dikuasai oleh mereka agar pelajar yang memiliki nilai untuk berkomunikasi, mampu menyelesaikan masalah serta dalam masa yang sama menggunakan teknologi terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyempurnakan pelancaran Minggu Akademia UMS 2024 di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.

Tambah beliau, kurikulum universiti perlu disemak dari semasa ke semasa agar graduan yang bakal dilahirkan oleh universiti tidak terjejas.

“Kita perlu memberi masa kepada pelajar untuk menerokai bidang lain dan bukan hanya perkara yang dipelajari di fakulti.

“Kita mesti memperbaiki nilai kemanusiaan para pelajar dan tidak terlalu menumpukan kepada sesi pembelajaran dan tugasan sahaja.

“Justeru, penilaian semula kurikulum adalah perlu agar graduan bukan sahaja memiliki pengetahuan asas tetapi mampu berfikir, menyelesaikan masalah dan berkomunikasi dengan baik,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, mantan Naib Canselor Pertama UMS, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abu Hassan Othman berkongsi pengalaman beliau ketika mentadbir UMS selama sedekad melalui sesi wacana bertajuk “Leading Sustainable Change: The Role of Educational Leadership”, selain turut bersama-sam menyempurnakan simbolik perasmian pelancaran Buku Mewah: 30 Tahun Perjalanan Akademik UMS.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA), Dr. Denis Lajium.

 

Program Rakan BORNEENSIS 2024 anjuran Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini merupakan usaha berterusan institut tersebut dalam memupuk usaha kelestarian alam sekitar khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurut Pengarah IBTP, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim, program ini merupakan salah satu daripada Indeks Prestasi Utama (KPI) tahunan untuk Sektor BORNEENSIS di IBTP, yang mencerminkan komitmen berterusan untuk menyebarkan pengetahuan mengenai pemuliharaan biodiversiti kepada generasi muda di Sabah.

“Program ini antara lain bertujuan untuk memupuk kesedaran dan kefahaman tentang kekayaan alam semula jadi serta peranan setiap individu dalam pemeliharaan warisan biodiversiti yang unik.

“Ini adalah juga bagi memberi pendedahan kepada para pelajar di Sabah tentang agenda global pembangunan lestari dalam kehidupan seharian,” katanya dalam ucapan sempena perasmian program tersebut.

Beliau turut memaklumkan, program yang berlangsung selama tiga hari itu telah berjaya menghimpunkan peserta seramai 13 orang dari Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya.

“Menerusi program ini, peserta akan didedahkan tentang kepentingan memelihara alam semula jadi di samping menambah pengetahuan tentang kepelbagaian flora dan fauna di Sabah.

“Program ini menggalakkan para peserta untuk menghargai khazanah alam semula jadi Borneo dan memikul tanggungjawab terhadap kelestarian ekosistem tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras Program, Petherine Jimbau, berharap program ini dapat menanamkan semangat cintakan alam sekitar dalam diri peserta muda, serta dapat membina generasi yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan terhadap cabaran perubahan alam sekitar.

“Ini adalah peluang penting untuk membangunkan pemimpin muda yang memahami nilai warisan semula jadi dan menyumbang kepada pemeliharaannya,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti pembelajaran dijalankan sepanjang program tersebut antaranya Night Walk, Bird Watching, Nature Explorace & Survival Skills, Mini Project dan Malam Kebudayaan.

Turut diadakan sesi perkongsian ilmu bersama para pakar dari IBTP dengan tajuk-tajuk perkongsian seperti Nocturnal Animals, Mushroom Foray, Youths in Building a Sustainable Society for the World, dan Diagnostic and Prognostic Sustainability Action Planning.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan institusi pengajian tinggi yang bertanggungjawab melahirkan modal insan yang berkualiti di Sabah.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, UMS merupakan sebuah universiti komprehensif, dibarisi oleh kakitangan akademik dan pentadbiran yang mempunyai kelayakan yang setanding dengan universiti awam yang lain.

“UMS sentiasa melahirkan pelajar-pelajar yang aktif dan cemerlang serta mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selari dengan peranannya sebagai institusi peneraju dalam melahirkan modal insan yang berkualiti di negeri ini.

“Sebagai sebuah gedung yang melahirkan bakal pemimpin masa depan, UMS mengorak langkah awal menjadi universiti terawal melaksanakan agenda pemerkasaan mahasiswa yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Dalam pemerkasaan mahasiswa, UMS telah memberikan autonomi kepada pelajar dalam pengurusan kelulusan aktiviti termasuk agihan kewangan dan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 Kali ke-30 di Dewan Canselor, UMS.

Menurut beliau, tanpa mengabaikan kesejahteraan pelajar, pihak universiti telah menyediakan sebanyak 10 inisiatif bantuan kebajikan pelajar melalui Tabung Amanah Kebajikan Pelajar.

“Ini sekali gus memberi manfaat kepada seramai 1,877 orang pelajar dengan jumlah bantuan sebanyak RM572,468.18.

“UMS juga telah melaksanakan Persidangan Parlimen Mahasiswa sebagai salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menerapkan semangat kesatuan pelajar bagi medan untuk mengangkat suara mahasiswa dalam penentuan dasar dan polisi universiti,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, para pelajar baharu UMS turut mendengar ucapan yang disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, serta amanat yang disampaikan Ketua Menteri Sabah merangakap Pro-Canselor UMS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Para pelajar baharu juga turut membacakan lafaz ikrar yang dipimpin pelajar baharu Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Putri Nurathirah Hirmizali di hadapan barisan pengurusan tertinggi, ahli lembaga pengarah dan ahli Senat UMS.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan pihak teknologi digital sebagai langkah memperkasa advance tecnology melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama Switch (Apple Premium Partners).

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, kerjasama tersebut antara lain bertujuan merealisasikan hasrat objektif Dasar Pendidikan Tinggi Negara bagi meningkatkan kemahiran teknikal.

Katanya, MoU selama tiga tahun itu merupakan inisiatif untuk memastikan warga UMS dan graduan memiliki kemahiran teknikal dan soft skills yang relevan dalam industri.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) serta Pusat e-Pembelajaran UMS atas usaha memperkukuhkan kandungan kreatif untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran di negara ini.

“Ini merupakan kali pertama majlis menandatangani MoU diadakan oleh Apple Premium Partners dengan agensi pendidikan di Borneo.

“MoU UMS dan industri teknologi Apple dijangka akan memberi impak yang tinggi dalam pembangunan kandungan kurikulum dengan teknologi iOS, latihan praktikal, sesi khas dan bengkel, sumber pembelajaran, serta jaringan dan kolaborasi,” ujarnya.

Tambah Kasim, UMS komited untuk menggalas serta merealisasikan dasar dan hasrat kerajaan mendigitalkan Malaysia dalam semua sektor.

“MoU ini turut menggariskan hasrat untuk memberikan akses kepada teknologi dan pembangunan kandungan digital bagi menuju ke arah pendigitalan Pengembangan Aplikasi Mudah Alih iaitu pengetahuan dalam pengembangan aplikasi iOS merupakan teknologi maju yang diperlukan oleh graduan mengikut keperluan industri.

“Saya percaya kepakaran dan teknologi yang diperkenalkan daripada kerjasama ini akan lebih menggalakkan lagi penggunaan teknologi dan mencipta inovasi dan seterusnya meningkatkan kualiti dan produktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Mengulas lanjut Kasim berkata, usaha tersebut akan membuka potensi kepada seluruh anak-anak di Sabah untuk memacu inovasi, mengubah industri dan membentuk Malaysia yang lebih terhubung.

“Semua yang kita lihat sekarang bukan sekadar kemajuan teknologi semata-mata tetapi lebih kepada masa depan inovasi, keterhubungan serta pembangunan sosioekonomi,” katanya.

Pada MoU tersebut, UMS diwakili Kasim dan Pendaftar, Luqman Ridha Anwar, manakala pihak Switch diwakili oleh Pengurus Kanan Perniagaan Switch, Goh Shen U dan Pengurus Kanan Jualan Korporat Switch, Nur A’shikin Kamal Shah.

Turut menyaksikan penandatangan MoU, Ketua Menteri Sabah merangkap Pro-Canselor UMS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan; Pengurus Perniagaan dan Pendidikan Apple, Kartini Mohd. Basri serta Pengurus Kepimpinan dan Pembelajaran Apple, Wan Noraini Wan Daud.