RABU, 29 MEI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kerjaya dan Alumni (PKA) telah mengadakan Majlis Iftar Ramadan Alumni bersama Anak Yatim Madrasah Waqaf Islamiah Sabah (Mawis) bertempat di Hotel Horizon, baru-baru ini.

Majlis tersebut bertujuan meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada para penghuni Mawis di samping mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan rakan-rakan alumni UMS.

Pengarah PKA, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng berkata, PKA bersama-sama dengan alumni UMS mengambil inisiatif untuk mengadakan Majlis Iftar Ramadan seumpama itu setiap tahun bagi meraikan kemeriahan Ramadan bersama anak-anak yatim Mawis.

“Selain dapat menghulurkan bantuan dalam bentuk sumbangan derma, program seumpama ini juga diharap dapat memberikan kegembiraan kepada anak-anak yatim di samping dapat mendekatkan jurang antara anak yatim dan orang ramai.

“Saya amat berharap dengan sokongan semua pihak, kita dapat membantu jika tidak semua anak-anak ini, setidak-tidaknya menyokong mereka dalam aspek pembelajaran supaya menjadi insan yang dapat bergelar pemimpin pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

 Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Hajah Nurlaila Said yang juga merupakan alumni UMS; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Ismail Ali; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Kamisah Husin serta Pengetua Mawis, Sakinah Yusof.

RABU, 29 MEI- Nasib keluarga salah seorang alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS), Norellyana Rubaui yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran baru-baru ini di Kampung Sungai Gading Batu 15, mendapat perhatian UMS melalui Pusat Kerjaya dan Alumni untuk melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

Lawatan tersebut bertujuan untuk membantu, memberi sokongan moral dan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa yang juga merupakan alumni UMS tahun 2018, graduan Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan (FKSW).

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk KY Mustafa, UMS sentiasa prihatin terhadap musibah yang melanda warganya termasuk para alumni UMS.

“Biarpun tidak banyak, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberi semangat baharu dan meringankan sedikit beban mangsa.

 “Justeru, sumbangan ini diharap mampu mengurangkan beban yang ditanggung oleh alumni kita yang kurang bernasib baik ini,” katanya.

 Sementara itu, UMS turut melawat sekali gus menyampaikan sumbangan kepada seorang lagi graduan tahun 1999, Ramlan Ali yang mengalami masalah kesihatan iaitu separa strok.

 Menurut Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng, Ramlan Ali merupakan seorang usahawan dalam bidang rumpai laut dan beliau juga mempunyai perniagaan ‘home stay’.

 "Beliau seorang alumni yang aktif dan pernah menyumbang kepada tabung dana Alumni UMS,” jelasnya.

 Selain sumbangan wang tunai, biskut dan kuih raya turut diberikan kepada kedua-dua alumni ini.

 Turut serta dalam kunjungan ini, Pengarah Tabung Haji Negeri Sabah, Datin Hajah Nurlaila Said; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ismail Ali dan Penolong Pendaftar Kanan, Victor Gondipon.

SELASA, 28 Mei – Seramai 76 kakitangan akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menerima kenaikan pangkat, diraikan dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat Kakitangan Akademik Tahun 2019 di Galeri Majlis petang tadi.

Surat kenaikan pangkat tersebut disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Datuk D Kamarudin berkata, peluang kenaikan pangkat yang diperoleh tidak seharusnya disia-siakan, malah perlu diiringi dengan usaha dan kerja keras bagi membantu mencapai objektif, misi dan visi universiti.

“Kejayaan kenaikan pangkat ini perlu dikongsikan bersama rakan-rakan lain dan bukan bersifat peribadi. Anda juga perlu tingkatkan pencapaian akademik dan cari jalan untuk berkongsi kelebihan ini dengan yang lain,” katanya.

Beliau turut menyeru agar kakitangan akademik memberikan perhatian terhadap disiplin dan komitmen semasa bekerja dengan memperkemaskan mekanisme aduan serta beriteraksi secara profesional dengan pelajar, rakan sekerja serta masyarakat.

“Kita juga perlu terus memberikan sokongan kepada ketua jabatan dan pengurusan universiti agar segala dasar dan hala tuju yang ditetapkan menerusi Pelan Strategik UMS dapat dijayakan dengan lebih baik dan lancar,” kata Datuk D Kamarudin.

Terdahulu Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof berkata, kenaikan pangkat ini memberikan kelebihan kepada ahli akademik untuk meningkatkan keterlihatan kepada komuniti.

“Kakitangan akademik juga perlu menjiwai tugas sebagai ahli akademik dan perlu melatih dan menjadi mentor kepada ahli akademik muda. Anda perlu menjadi penggalak kepada ahli akademik muda untuk terus memberikan sumbangan kepada kejayaan UMS pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Rasid Mail dan Ketua Bahagian Sumber Manusia, Mohd Raffie Hj Janau.

JUMAAT, 24 MEI: Tuan Yang Terutama Yang Di-pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Hj. Juhar Datuk Hj. Mahirruddin dilantik semula sebagai Canselor Universiti Malaysia Sabah buat kali ketiga.

Pelantikan tersebut diumumkan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Juhar di Istana Negeri pagi kelmarin.

Watikah pelantikan yang telah ditandatangani oleh Yang Dipertuan Agong kepada Tun Juhar diserahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa.

 Hadir sama dalam kunjungan tersebut, Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Rasid Hj Mail; TNC Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul; TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Ismail Ali serta Pegawai-pegawai Utama UMS.

ISNIN, 27 MEI - Alumni Fakulti Psikologi dan Pendidikan (AFPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Majlis Iftar Ukhwah AFPP di Hotel Grand Boneo, di sini, baru-baru ini.

Pengarah Program Hajah Hairuni Kasuagi berkata, majlis itu antara lain sebagai medan perjumpaan para alumni melalui acara berbuka puasa bersama-sama di samping penyampaian sumbangan raya kepada para pelajar B40 dan M40 Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP).

"Dalam masa yang sama, majlis ini turut dianjurkan untuk menyemarakkan sambutan 25 tahun penubuhan UMS sekali gus sebagai satu usaha merapatkan silatulrahim antara alumni, para pelajar dan pensyarah FPP.

“Majlis ini bukan sekadar iftar biasa tetapi dianjurkan untuk berkongsi bersama kegembiraan dengan para pelajar yang kurang berkemampuan dalam menyambut bulan Ramadan," katanya pada majlis tersebut.

Majlis perasmian Iftar Uhkwah AFPP disempurnakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Soon Singh Bikar Singh mewakili Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Prof. Dr. Hj. Ismail Ibrahim.

Dalam ucapannya Dr Soon berkata, majlis itu merupakan majlis kali kedua yang dianjurkan AFPP dan merupakan aktiviti tahunan yang ketiga bagi sesi 2019.

"Saya sangat berterima kasih kerana majlis ini sentiasa mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pegawai kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, alumni-alumni FPP, orang awam, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), serta para pensyarah FPP.

"Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kerana seramai 76 pelajar FPP yang kurang berkemampuan dari pelbagai latar belakang dan agama turut hadir ditaja oleh Alumni FPP dan orang awam," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi AFPP, Francis Au berkata, majlis seumpama itu boleh dijadikan sebagai platform perkongsian pengalaman bagi memberi motivasi kepada pelajar B40 dan M40 FPP untuk terus cemerlang di universiti.

"Saya berharap majlis ini dapat terus dilaksanakan pada masa-masa akan datang," katanya yang juga merupakan Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri Sabah.

Majlis Iftar Ukhwah turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, penyampaian sumbangan hari raya dan persembahan lagu oleh Farhan Akim.

Ia dijayakan dengan tajaan daripada beberapa pihak termasuk AVON, Hotel Grand Borneo, Ahli Alumni FPP, NGO dan orang perseorangan.

Hadir sama, mantan dekan FPP, Prof. Dr. Hj. Dahlan Haji A. Malek dan Pegawai Psikologi Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Muhammad Jumrat.