RABU, 15 MEI – Seramai 50 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terdiri daripada golongan asnaf menerima sumbangan Ramadan berjumlah RM200 sebagai bantuan untuk mereka melengkapkan keperluan seharian khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin menyampaikan sumbangan kepada 10 pelajar lelaki, manakala  isteri, Toh Puan Hajah Norlidah Tan Sri R.M Jasni menyampaikan sumbangan kepada 10 pelajar wanita dalam satu Majlis Iftar@UMS 2019 bersama Tuan Yang Terutama Tun Canselor di Masjid UMS, semalam.

Terdahulu, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar turut menyampaikan replika cek sebagai tanda sumbangan Ramadan untuk diagihkan kepada asnaf pelajar dan kakitangan UMS berjumlah RM20,000 daripada Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), yang diserahkan kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Turut sama menyaksikan penyampaian sumbangan tersebut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa; Pengerusi MUIS, Datuk Hasbullah Mohd Taha; dan Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Azhar Datuk Matussin.

Selepas berbuka puasa bersama para tetamu, kakitangan dan pelajar UMS, Tun Haji Juhar turut berkesempatan bersama-sama para jemaah menunaikan Solat Maghrib, Solat Isyak dan Solat Terawih.

RABU, 15 MEI - Pelajar Tahun 2 Program Sains Sukan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program pameran Poster dan Inovasi (Sees) kali ke-7 di fakulti itu, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan FPP, pameran itu yang bertemakan “Creativity and Innovation Leads to Higher Level of Thinking” antara lain bertujuan memberi peluang kepada para pelajar yang mengambil program Sains Sukan membentangkan hasil kerja kursus yang berbentuk penyelidikan dan inovasi.

“Pameran ini telah menarik 121 penyertaan yang terbahagi kepada lima kategori iaitu kategori Analisis Kemahiran (Kinematik) seramai 34 pelajar, kategori Analisis Pertandingan 34 pelajar, Identifikasi dan Perkembangan Bakat seramai 74 pelajar.

“Penyertaan itu juga menyaksikan lima peserta jemputan daripada pelajar sarjana dan lapan pelajar tahun akhir yang berada di bawah penyeliaan pensyarah Sains Sukan FPP UMS, Dr. Pathmanathan Suppiah K. Suppiah,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, program tersebut juga sekali gus menerapkan tatacara penyelidikan dan penyelesaian masalah berasaskan pemikiran saintifik yang diharap dapat membuka minda pelajar dalam menghasilkan kreativiti dan kesenian serta menerapkan pemikiran kritis.

Dalam masa sama, ia juga diharap dapat menjadi medium terbaik dalam mewujudkan siswa-siswi kelas pertama dengan cetusan idea-idea bernas yang mampu menyumbang kepada pembangunan industri sukan di Malaysia.

Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPP, Dr. Denis Andrew D. Lajium.

Hadir sama, Dr. Pathmanathan selaku Penasihat Program Pameran Poster Sees kali ke-7.

 

SELASA, 14 MEI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mewujudkan projek Kebun Penyelidikan Durian melalui kerjasama universiti-industri dengan Syarikat Yun Fook Resources Sdn. Bhd.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata, melalui kerjasama tersebut UMS akan membina pasukan penyelidikan untuk memberi tumpuan kepada penyelidikan durian.

“Durian ialah pokok saka dan boleh tumbuh menjadi pohon yang besar seperti kayu balak komersial yang lain dan berupaya mencapai usia sehingga berpuluh-puluh tahun.

“Oleh itu, projek Kebun Penyelidikan Durian di UMS adalah projek jangka panjang yang merangkumi kajian terhadap penghasilan buah durian, bibit durian, di samping memfokuskan terhadap ilmu pengetahuan baharu berkaitan penghasilan bahan tanaman, teknik aruhan dan proses semula jadi dalam pendebungaan, termasuklah kajian berkaitan peranan haiwan dan serangga dalam menambah baik kualiti pokok dan hasil durian,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMS dengan Syarikat Yun Fook Resources Sdn. Bhd di Bangunan Canselori UMS, hari ini.

Selain projek Kebun Penyelidikan Durian, MoA itu juga merangkumi kerjasama dalam Pengeluaran Burung Walit di Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS, Kampus Sandakan.

Menurut Prof. Datuk Dr. D Kamarudin, sebagai institusi pendidikan tinggi yang meletakkan pemuliharaan biodiversiti sebagai salah satu penekanannya, UMS  berhasrat untuk memainkan peranan di dalam mengumpulkan varieti dan spesies durian untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan ekonomi.

“Di sinilah bermulanya idea untuk merealisasikan kerjasama universiti-industri di antara UMS dan Syarikat Yun Fook Resources untuk projek Kebun Penyelidikan Durian ini,” jelasnya.

Berkaitan dengan kerjasama pengeluaran Burung Walit, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin memaklumkan bahawa permintaan yang tinggi untuk sarang burung itu khususnya dari negara China menyebabkan penduduk Sabah mula beralih kepada industri tersebut, yang mana harga pasarannya adalah antara RM1,200 hingga RM4,300 sekilogram.

“Kita sangat berterima kasih kepada Syarikat Yun Fook Resources, kerana melalui kerjasama ini  dua buah rumah burung walit telah dibina di FPL, iaitu sebuah rumah kos rendah RM20,000, dan sebuah lagi gudang walit tiga tingkat dengan kos binaan RM250,000.

“Kerjasama seperti ini memberikan faedah besar kepada pelajar kerana mereka tidak perlu pergi jauh untuk mempelajari industri yang sedang pesat berkembang, sekali gus boleh menceburi bidang ternakan ini sebagai sumber pendapatan tambahan apabila tamat pengajian kelak,” ujarnya.

Pada upacara menandatangani MoA itu, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin mewakil UMS, manakala Syarikat Yun Fook Resources diwakili Pengarahnya Prof Adjung Datuk Yap Yun Fook.

Majlis itu turut disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk KY Mustafa; Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Prof. Madya Dr.  Monica Suleiman; Dekan FPL Prof. Madya Dr. Saafie Salleh; Ahli-ahli Lembaga Pengarah serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan Universiti.

 

 

 

SELASA, 14 MEI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menjadi tuan rumah Bengkel Penubuhan dan Pelaksanaan Kesatuan Pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Zon Sabah 2019.

Bengkel sehari itu bertujuan membincangkan isu-isu berkaitan kesatuan pelajar seperti penglibatan dalam sistem pengurusan institusi, objektif serta fungsi penubuhan kesatuan pelajar.

Menurut Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS Kamisah Husin, sebanyak tiga mesyuarat berkaitan penubuhan dan pelaksaan kesatuan pelajar telah diadakan sepanjang tahun 2018.

“Mesyuarat terakhir telah diadakan pada bulan November yang lalu. Kita berharap bengkel hari ini dapat memberi rumusan serta menjadi penanda aras kepada perbincangan berkaitan hal-hal kesatuan pelajar IPT,” ujarnya.

Sebanyak 21 IPT di Sabah dengan jumlah peserta seramai 40 orang menyertai bengkel tersebut yang terbahagi kepada dua sesi iaitu perbincangan dalam kumpulan dan pembentangan rumusan.

Hasil daripada dapatan tersebut akan diserahkan kepada Pengarah Pembangunan Mahasiswa, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr. Zaid Omar.

 

ISNIN, 13 MEI - Seramai 433 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima bantuan Food Bank Siswa dan jumlah itu akan terus bertambah dari semasa ke semasa, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, kesemua pelajar berkenaan adalah mahasiswa dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Program ini amat menggalakkan kerana ia bukan saja membantu meringankan kos sara hidup rakyat tetapi juga sekali gus mengurangkan pembaziran makanan.

“Sehingga kini 3,082 pelajar di sembilan universiti awam di seluruh negara menerima manfaat daripada program Food Bank Siswa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Food Bank Siswa di UMS pada Jumaat.

Datuk Seri Saifuddin berkata, program yang berkonsepkan daripada pelajar kepada pelajar ini amat mengalu-alukan kerjasama dan inisiatif Persatuan-Persatuan Pelajar untuk sama-sama membantu pelajar yang memerlukan.

“Untuk permulaan, syarikat GCH Retail Sdn Bhd (Giant Hypermarket), CKS Supermarket dan Adabi akan menjadi penyumbang utama bagi program berkenaan.

“Manakala rakan strategik program ini bagi UMS adalah Food Aid Foundation yang digerakkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dan Sukarelawan Pelajar yang menggunakan konsep ‘Food Pantry’ dan ‘Central Kitchen’,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini sembilan universiti awam yang melaksanakan program itu, antaranya kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Kampus Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Universiti Malaya (UM) dan yang terbaharu adalah UMS.

“Kita menyasarkan 20,000 mahasiswa dari keluarga yang kurang berkemampuan daripada 20 universiti awam sehingga hujung tahun ini dan jumlah penerima di setiap universiti berkenaan adalah tidak sama,” tambah Datuk Seri Saifuddin.

Hadir sama pada program tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk KY Mustafa; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Datuk Dr Ismail Ali; dan Dekan Fakulti Makanan dan Sains Pemakanan, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani.