JUMAAT, 22 MAC - Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersedia meningkatkan kemasukan pelajar terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

Naib Canselor Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, UMS komited dalam mendukung inisiatif kerajaan dalam meningkatkan jumlah pelajar aliran sains di peringkat sekolah menengah dan universiti.

“Adalah besar harapan kami untuk melihat para pelajar yang ada di hadapan saya ini mahupun yang di luar sana menceburi bidang sains dan teknologi di alam universiti kelak kerana sains dan teknologi adalah salah satu pemacu utama ekonomi untuk diri, masyarakat dan negara.

“Saya yakin dan percaya bahawa PPST UMS akan sentiasa bersedia berkhidmat untuk memberikan pendidikan yang berkualiti tinggi agar anda boleh meraih kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kemahiran insaniah,” ujar beliau dalam teks ucapan perasmian penutupan Karnival STEM Asasi Sains UMS 2019.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Rasid Mail.

Beliau turut menyeru para pelajar di peringkat sekolah menengah supaya mempersiapkan diri agar dapat meraih peluang melanjutkan pengajian di UMS kelak.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti pameran akademik, penerangan mengenai permohonan UPU secara atas talian, serta pertandingan berunsurkan sains dan teknologi yang disertai oleh 25 sekolah menengah dari beberapa daerah di Sabah dan Sarawak.

Turut hadir, Pengarah PPST UMS, Profesor Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad.

KHAMIS, 21 MAC - Demi United dari Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diumumkan sebagai johan pertandingan Debat Piala Pengetua KKTM 2019 yang berlangsung di dewan serbaguna kolej kediaman itu, baru-baru ini.

Pendebat Demi United mengatasi pasukan debat dari Kolej Kediaman Excellent (KKE) UMS pada peringkat akhir kejohanan untuk mengungguli pertandingan bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Bagi kategori sekolah menengah, johan dan naib johan masing-masing disandang oleh Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH) B dan SMESH A.

Majlis penyampaian hadiah berupa wang dan piala kepada para pemenang disempurnakan Pengetua KKTM, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin.

Terdahulu dalam ucapannya Dr. Mohamad Nizam berkata, program itu dianjurkan antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa IPTA dan para pelajar sekolah menengah tentang kepentingan menguasai seni orator, terutamanya seni perdebatan.

“Selain itu, ia bagi membantu para peserta melatih daya pemikiran yang kritis dan kreatif dalam menjana idea-idea bernas.

“Terima kasih kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dan saya berharap agar penganjuran program seumpama ini akan berterusan seiring dengan saranan  Menteri Pendidikan Malaysia yang mahukan para pelajar sentiasa aktif dalam acara yang melibatkan pengucapan awam,” katanya.

Program selama dua hari itu merupakan anjuran Exco Akademik Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) KKTM dengan penyertaan sebanyak 20 pasukan dari IPTA dan sekolah menengah sekitar Kota Kinabalu.

Hadir sama Pengarah Program,  Muhammad Haziq Abdul Rahim, dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Muhd Jivean Johan Wira.

 

 

RABU, 20 MAC - Program Minggu Kewangan Islam merupakan sebuah program yang berobjektifkan untuk memberi pendedahan kepada semua mahasiswa UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan warga Labuan mengenai kewangan Islam.

Pengarah Program, Mohd Nur Saifuddin Samudin berkata program itu juga dijalankan selama seminggu bagi memperkukuhkan pengetahuan mengenai asas kewangan Islam dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat Labuan.

“Sehubungan itu, program ini memberi penerangan yang lebih jelas dan mendalam tentang produk-produk kewangan Islam yang terdapat di Malaysia.

“Jika dipandang melalui skop negara kita, Malaysia berpotensi menjadi peneraju dalam pasaran kewangan Islam berikutan peranannya yang besar dalam menyumbang kepada kejayaan pembangunan ekonomi Islam secara global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena majlis perasmian Program Minggu Kewangan Islam yang disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr. Lee Hock Ann, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni FKAL, Dr. Suzillah Sidek, Ketua Program HE23, Najwa Mohd Khalil dan Penyelaras Program, Ahmad Aizuddin Hamzah.

Minggu Kewangan Islam adalah satu program kendalian Persatuan Mahasiswa Kewangan Islam yang bertitik tolak kesedaran daripada Majlis Tertinggi Jurusan Kewangan Islam yang melihat bagaimana program ini mampu memberi kesedaran kesedaran yang sangat tinggi buat mahasiswa UMSKAL dan masyarakat Labuan.

Turut diadakan pameran institusi kewangan termasuk Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank.

Sumber: Azri Onn

SELASA, 19 MAC - Malam Kemuncak Pesta Tiong Hua Universiti Malaysia Sabah 2019 (PTHUMS19) akan berlangsung pada 30 Mac 2019 di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, UMS.

Menurut kenyataan urusetia penganjur, acara yang diadakan buat kali ke-8 itu akan bermula pukul 6.00 petang sehingga 10.00 malam dengan bertemakan ‘Terbit’ (Arise) .

“Matahari terbit melambangkan harapan yang memberi satu semangat untuk terus maju ke hadapan.

“Ia seiring dengan objektif penganjuran acara ini yang bertujuan untuk memelihara kesenian budaya Cina yang diwarisi sejak beribu tahun dahulu untuk dikongsi dan dihayati oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Orang ramai yang ingin menyaksikan kemeriahan acara itu boleh membeli tiket mengikut kadar yang ditetapkan dengan menghubungi Kah Chun (018-7682511), Yen Ling (012-6876189) atau Jordan Tee (011-29696860).

Sementara itu, kenyataan itu juga memaklumkan bahawa PTHUMS19 bakal mempersembahkan pelbagai persembahan menarik berasaskan budaya Cina.

“Tarikan utama tahun ini ialah Kejohanan Tarian Singa UMS yang dianjurkan dengan kerjasama Malaysia Hong Teck Association dan Sabah San Sheng Gung (Hong Teck) Liondance Sport Association.

“Kejohanan ini akan diadakan pada 29 Mac 2019, bermula jam 9.00 pagi hingga jam 6.00 petang di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Baharu Ke-2.

“Mereka yang ingin menyaksikan kejohanan tarian singa ini amat dialu-alukan, dan kemasukan adalah percuma,” tambah kenyataan itu lagi.

 

 

ISNIN, 18 MAC - Pada usia 25 tahun Universiti Malaysia Sabah (UMS) boleh dikatakan sebuah universiti yang sudah matang, namun UMS tidak boleh leka kerana keadaan, keperluan dan jangkaan pendidikan tinggi pada tahun-tahun akan datang adalah jauh berbeza dengan apa yang ada pada ketika ini dan yang telah dilalui sejak penubuhannya pada tahun 1994.

Sehubungan itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin ketika berucap pada Majlis Amanat Naib Canselor menegaskan UMS perlu melaksanakan transformasi agar terus relevan, lestari dan cemerlang.

Menurutnya, antara perkara yang diambil kira dalam proses tranformasi ini ialah melaksanakan pendidikan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

“Selain itu, universiti juga bakal menerima kemasukan pelajar “generasi net” atau Gen Z yang mempunyai tahap kemahiran teknologi ICT yang tinggi dan mempunyai jangkaan mengenai proses pembelajaran di universiti berbeza dari generasi sebelumnya.

“Transformasi juga perlu dilaksanakan dengan mengambil kira peredaran dunia yang kini sudah memasuki era Industri 4.0, yakni zaman aplikasi dan integrasi teknologi digital.

“Dalam konteks ini, pelajar Gen-Z yang menyambung pengajian di universiti di era Industri 4.0 ini hendaklah bergraduat sebagai Future-ready graduates,” ujarnya.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin berkata, nilai-nilai murni termasuk Dinamik, Lestari, Integriti, Keadilan dan Kegembiraan perlu diterapkan kepada semua warga universiti termasuk pelajar.

Ke arah itu, beliau memberitahu kira-kira 5,000 warga kakitangan dan pelajar UMS yang hadir bahawa pada tempoh 2018–2022, universiti telah menyediakan Pelan Strategik UMS yang menjadi garis panduan dan rujukan UMS dalam melaksanakan transformasi.

“Pelan Strategik ini merangkumi sembilan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) iaitu Pengajaran dan Pembelajaran; Penyelidikan dan Inovasi; Keterlihatan dan Reputasi Antarabangsa; Tadbir Urus, Kepimpinan dan Sistem Penyampaian; Kelestarian Kewangan; Pembangunan Negeri dan Negara; Kelestarian Alam Sekitar; Pengalaman Holistik Pelajar; dan Industri/Universiti 4.0.

“Walau bagaimanapun dalam masa terdekat iaitu pada tahun 2019 setiap KRA akan beri tumpuan kepada perkara tertentu, antaranya semakan semula kurikulum akademik, pengukuhan bidang tumpuan penyelidikan, kelestarian kewangan universiti, dan peningkatan kebolehpasaran graduan,” jelasnya.

Bagi Semakan Kurikulum, semakan melihat kepada struktur program, jenis dan kandungan kursus program, kaedah penyampaian dan kaedah pentaksiran, dan pembelajaran berasaskan kerja.

“Jenis dan kandungan kursus program antara lain hendaklah mengambil kira keperluan Industri 4.0 dan Matlamat Pembangunan Mampan,” jelasnya.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin turut memaklumkan bahawa UMS telah mengenal pasti tujuh bidang tumpuan penyelidikan iaitu Akuakultur; Biodiversiti dan Kelestarian Alam Sekitar; Pertanian dan Makanan; Pelancongan; Kesihatan Awam dan Penjagaan Kesihatan Pintar; Pembasmian Kemiskinan, Keselamatan dan Pengangkutan Awam; serta  Budaya dan Bahasa Peribumi.

“Sejumlah dana penyelidikan khas juga telah diperuntukkan pada tahun ini untuk memacu aktiviti penyelidikan dalam tujuh bidang tumpuan ini.

“Penetapan Bidang Tumpuan Penyelidikan ini dapat membantu institut-institut penyelidikan UMS untuk melonjakkan lagi kecemerlangan penyelidikan UMS.

“Sukacita dimaklumkan di sini bahawa, satu lagi institut penyelidikan telah ditubuhkan iaitu Institut Kajian Peribumi Borneo (BoRIIS),” tambahnya.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin turut menggesa agar semua warga UMS untuk sama-sama berganding bahu menjayakan transformasi untuk menjadikan UMS sebagai sebuah universiti yang kekal relevan, lestari dan cemerlang.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk K Y Mustafa, Pegawai-pegawai Utama dan Majlis Perwakilan Pelajar UMS.