RABU, 24 FEBRUARI - Kira-kira 800 pelajar sekolah menengah seluruh Wilayah Persekutuan Labuan memeriahkan program Kempen Cinta Malaysia yang diadakan Dewan Kuliah Pusat, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pagi tadi.

Selain pelajar sekolah menengah, program yang bermula pukul 11 pagi itu turut dihadiri pelajar Kolej Matrikulasi Labuan, pegawai, pensyarah, kakitangan dan mahasiswa UMSKAL sendiri.

Program anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama UMSKAL itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Haji Nawawi yang juga Ikon Kempen Cinta Malaysia.

Turut hadir Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik, Pengarah Bahagian Penyelarasan, Pejabat Pengarah Negeri Sabah Dayang Halimah Awang Ahmad, Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Labuan, Zabidi Abdul Rashid, Timbalan Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Prof Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Timbalan Pendaftar Kanan, UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Zamri Haji Mohammad Tuah dan Penyelaras Program, Nur Iman Reedzal.

Aznil berkata program Kempen Cinta Malaysia yang melabuhkan tirainya di UMSKAL itu selepas dimulakan sejak setahun lalu dengan menjelajah ke seluruh negara.

Katanya, penjelajahan ke seluruh negara dan menemui pelbagai lapisan masyarakat khususnya pelajar sekolah menengah dan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu berjaya mencapai objektifnya untuk memastikan rakyat Malaysia menjalankan tanggungjawab mereka membayar cukai.

“Sambutan yang luar biasa dan luar jangkaan saya terima di setiap lokasi termasuk lokasi terakhir di UMSKAL ini. Saya berharap melalui kempen ini, lebih ramai rakyat Malaysia akan membayar cukai sebagai tanggungjawab kepada negara,”katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada peserta yang memenuhi Dewan Kuliah Pusat UMSKAL itu.

Aznil berharap rakyat Malaysia yang sudah bekerja akan mengeluarkan sedikit pendapatan mereka untuk membayar cukai bagi membiayai peruntukan pembangunan negara.

Mengenai sasaran kepada pelajar sekolah menengah dan IPTA dalam kempen berkenaan, Aznil berkata LHDN mahu menanamkan kesedaran kepada generasi muda sejak di bangku sekolah lagi sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Beliau juga berharap rakyat Malaysia akan terus menyemai semangat cintakan negara di mana jua berada terutama ketika berada di luar negara.

“Kita kena semai rasa cinta kepada negara sejak awal lagi dan ianya bukan melalui ucapan dan slogan semata-mata,”katanya.

Pak Nil juga meminta pelajar sentiasa mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang banyak berkorban sejak kecil lagi hingga memperoleh kejayaan serta ucapan yang sama ditujukan kepada guru-guru yang mendidik mereka menjadi insan yang cemerlang dan berjaya.

“Jangan lupa ucap terima kasih kepada ibu bapa, guru dan kerajaan yang banyak membantu kita selama ini,”katanya.

UMSKAL merupakan lokasi ke-24 Kempen Cinta Malaysia dianjurkan LHDN dan terakhir pada musim ini.

Sementara itu, Dr Murnizam mengucapkan terima kasih kepada LHDN kerana memilih UMSKAL sebagai lokasi Kempen Cinta Malaysia sekaligus sebagai simbolik rasa cinta kepada negara ini.

Beliau juga mengalu-alukan kerjasama daripada agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan pelbagai program yang memberi manfaat kepada warga universiti khususnya mahasiswa dan kakitangan.

“Sesungguhnya saya bersama warga universiti berasa bangga dan bertuah dapat bersama-sama menimba pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki Datuk Aznil yang juga Ikon Kempen Cintai Malaysia.

“Saya yakin kerjasama padu LHDN dalam menjayakan program seperti ini akan memberi manfaat kepada warga Labuan khususnya pelajar sekolah menengah dan mahasiswa UMSKAL,” katanya.

Sumber: Azri Onn Othman, UMSKAL

RABU, 24 FEBRUARI – Seramai empat orang pendebat Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempamerkan aksi memberangsangkan pada Pertandingan Debat Keamanan 2016 yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada pertandingan berkonsepkan debat ala parlimen British itu, UMS menghantar dua kumpulan iaitu kumpulan UMS A yang diwakili oleh Mohd Faisal Abd Roup dan Mohd Fazrul Abd Rahim, manakala kumpulan B diwakili oleh Nur Medina Khairul Anuar dan Kuan Yen Hong.

Meskipun terpaksa akur kerana tidak dapat melayakkan diri ke peringkat separuh akhir, bagi Mohd Faisal dan Mohd Fazrul, kejayaan mengharungi lima pusingan awal melalui ‘pre-quater’ telah memberi pengalaman berharga buat mereka.

Menurut Mohd Faisal yang pernah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Debat Diraja 2014, pasukan UMS akan terus berusaha untuk mengharumkan nama universiti dengan meletakkan UMS sebagai salah satu pasukan debat yang disegani di negara ini.

“Selepas ini pihak kejurulatihan akan memberi lebih fokus untuk kami beraksi di dua pertandingan debat paling berprestij iaitu Debat Di Raja dan Debat Alam Sekitar,” ujarnya sambil memberitahu pasukan debat UMS turut mendapat bimbingan daripada Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Akademik UMS, Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul dan alumni UMS, Mohd Qhairol Iqhssan.

Manakala bagi pendebat wanita UMS, Nur Medina Khairul Anuar, sokongan padu yang diberikan oleh pihak pentadbiran universiti kepada siswa siswi khusunya dalam pengucapan awam akan melahirkan graduan yang mempunyai nilai tambah serta mampu menilai sesuatu isu dengan lebih rasional.

“Konsistensi sokongan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS dalam membangunkan kemahiran insaniah mahasiswa melalui aktiviti debat wajar diteruskan agar keterlihatan UMS di peringkat global dapat dicapai,” ujarnya.

SELASA, 23 FEBRUARI – Program Riang Ria Maulidur Rasul anjuran Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Masjid UMS baru-baru ini mampu menggalakkan kanak-kanak seawal empat tahun dilatih dan didik untuk mengenal erti perpaduan dan kasih sayang berlandaskan agama Islam.

Pengarah Penerbit UMS, Prof. Madya Dr. Asmady Idris dalam ucapannya ketika merasmikan program tersebut berkata, program sebegini yang turut mendapat penglibatan dari ibu bapa mampu menyatu padukan dan mengeratkan silaturahim sesama peserta dan ibu bapa masing-masing, di samping mengajar mereka nilai hormat menghormati.

“Anak-anak dilahirkan ibarat kain putih dan ibu bapalah yang bertanggung jawab mencorakkan warna kehidupan mereka,” katanya.

Ujarnya lagi, program sebegini harus diteruskan pada masa akan datang, dengan menambah baik kepelbagaian corak pertandingan yang lebih kreatif dan menarik.

Program bersempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UMS 1437H itu mempertandingakan acara mewarna dan busana, yang terbuka kepada kanak-kanak  berumur 4 hingga 12 tahun.

Seramai 100 peserta menyertai pertandingan yang dibahagikan kepada tiga kategori peringkat umur tersebut, dengan johan setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM100, sijil berserta hadiah iringan, manakala naib johan menerima wang tunai RM70, sijil berserta hadiah iringan, dan tempat ketiga menerima wang tunai RM50, sijil berserta hadiah iringan.

Turut hadir pada majlis tersebut Pendaftar UMS, No’man Haji Ahmad dan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UMS, Md. Razali Saibin. -SM-

Foto: Malik Hanafi, Pusat Islam UMS

SELASA, 23 FEBRUARI - Kursus ‘Neuro Lingustic Programming’ (NLP) anjuran Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memberi semangat dan menjana kaedah baru kepada kakitangan dalam aspek gaya komunikasi, sekali gus membantu kepada pengurusan organisasi secara berkesan.

Kursus tersebut yang memberi pendedahan tentang corak sistem representasi manusia serta sembilan corak berfikir boleh memberi kesan terhadap proses pembangunan kecemerlangan diri dan kerjaya.

Ketua Bahagian Pentadbiran FKSW, Masri Judah ketika menyampaikan ceramah pada kursus berkata penekanan kepada corak berfikir penting bagi usaha perubahan atau peningkatan terhadap hasil kerja.

“Pada hari ini organisasi memerlukan individu yang sentiasa bersemangat , fokus dan ceria bagi memastikan organisasi tersebut mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Dalam hal ini, sikap sukar menerima pendapat atau teguran dari orang lain perlu dikikis kerana sumbangan idea tidak terhad kepada taraf jawatan kakitangan, tetapi perlu meluas bagi manfaat organisasi,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FKSW, Prof. Madya Dr. Gusni Saat turut menuntut para kakitangan agar dikehendaki lebih prihatin terhadap soal persekitaran sama ada melibatkan diri, bangunan dan kebersihan sepanjang menjalani kehidupan di pejabat atau kampus universiti.

Katanya, adalah satu cabaran buat para kakitangan untuk memberikan perkhidmatan yang baik termasuk penjagaan kemudahan universiti agar agenda melahirkan modal insan yang berjaya terus berjalan dengan baik.

Kursus sehari tersebut yang turut diselitkan dengan bengkel pemurnian Manual Prosedur Kerja fakulti dihadiri oleh 20 orang kakitangan fakulti dari pelbagai jawatan. 

Sumber: FKSW

ISNIN, 22 FEBRUARI – Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Mohd Khairuddin Abdullah dilantik sebagai Presiden Persatuan Staf Akademik UMS (PSAUMS) pada mesyuarat agung persatuan tersebut baru-baru ini.

Pelantikan tersebut sekali gus menyaksikan Dr. Mohd Khairuddin bakal menerajui kepimpinan PSAUMS untuk satu penggal, iaitu sehingga tahun 2018.

Mesyuarat agung yang diadakan buat julung kalinya di Galeri Majlis, Bangunan Canselori itu turut mengadakan pemilihan bagi beberapa jawatan kepada ahli persatuan tersebut.

Jawatan Timbalan Presiden disandang oleh Pensyarah Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Dr Khairul Anuar Mohamad, manakala Dr Razak Mohd Ali Lee juga dari FKJ dipilih sebagai Setiausaha Agung PSAUMS.

Beberapa lagi jawatan turut diisi oleh kalangan ahli akademik, antaranya Timbalan Setiausaha Agung yang disandang oleh Mohd Sobri Ismail, Dr. Musirin Mosin sebagai Bendahari Kehormat, dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masing-masing disandang oleh Dr Mohd Norazan Abdullah, Dr  Mohd Hanafi Ahmad Hijazi, Dr Rosmalina Abd. Rashid.

Dalam pada itu, persatuan tersebut turut membincangkan usul perancangan beberapa program PSAUMS, antaranya dialog bersama Majlis Profesor Negara, syarahan umum, libatsama komuniti, konsultan dan khidmat nasihat kepakaran bidang tertentu.

PSAUMS ditubuhkan antara lain bertujuan untuk meningkatkan taraf profesionalisme, meningkatkan budaya akademik dan keintelektualan ahli persatuan, menyediakan platform pertukaran pendapat antara ahli, dan menjadi saluran komunikasi untuk mengutarakan isu-isu kepentingan ahli akademik kepada pihak pentadbiran universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Selain itu, persatuan tersebut turut komited untuk bekerjasama dan menyelaraskan usaha dengan universiti dalam hal berkaitan dengan penambahbaikan dan peningkatan mutu pengajaran,penyelidikan dan perundingan, serta memastikan hak dan kebajikan ahli dilindungi.

Sumber: Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, FPP