KHAMIS, 18 FEBRUARI - Sektor Pentadbiran dan Kewangan, Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah julung kalinya telah menjayakan Taklimat Celik Wang FSSA 2016 buat  julung kalinya baru-baru ini.

Bertempat di Bilik Seminar, Kompleks Sains dan Teknologi, FSSA, taklimat tersebut membincangkan topik zakat, insurans, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan hartanah yang disampaikan oleh empat penceramah, iaitu Jaludin Dullah dari Pusat Zakat Sabah, Sabhi Che Ros dari MMA Insurans, pensyarah FSSA Awang Ahmad Mohd Yunus, dan Azali Saudi dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS.

Menurut Dekan FSSA, Prof Dr. Baba Musta, taklimat tersebut bertujuan untuk memberi pemahaman dan kesedaran mengenai konsep pembayaran zakat dan perlindungan insurans, dan pada masa yang sama isu keperluan dan kepentingan perancangan kewangan yang berkesan turut dibincangkan.

Sementara itu, Awang Ahmad yang menyampaikan slot ceramah berkaitan ASB berkata program seumpama ini sememangnya sangat relevan terutama pada waktu ekonomi dunia yang tidak menentu, yang menuntut semua orang agar berubah secara intelektual dalam meningkatkan pengurusan kewangan secara berkesan.

“Kita juga boleh mempelajari strategi dan idea yang boleh di implementasi dalam mencari peluang menjana kewangan dengan bijak,”ujarnya.

Seramai 40 orang peserta terdiri daripada kakitangan pentadbiran dan akademik FSSA hadir dalam program tersebut.

Sumber : Kenny Uwai, FSSA

KHAMIS, 18 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah melalui Kelab Bahasa Mandarin akan mengadakan Karnival KITA pada 18 Mac hingga 20 Mac ini.

Karnival KITA, iaitu singkatan bagi Keharmonian, Integrasi, Toleransi, dan Asimilasi akan berlangsung di Padang Kawad, UMS bermula jam 4 petang hingga jam 10.00 malam.

Karnival tersebut antara lain adalah bertujuan untuk mengetengahkan keunikan konsep Satu Malaysia dan budaya tempatan kepada pelajar yang berbilang kaum di UMS.

Pada hari tersebut, Karnival KITA ini akan mengadakan gerai-gerai makanan, pameran, permainan, persembahan dan lain-lain lagi.

Karnival tiga hari ini terbuka kepada orang awam, dan masyarakat setempat khususnya warga UMS adalah dijemput untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi karnival ini.

Sumber: Kelab Bahasa Mandarin UMS

RABU, 17 FEBRUARI - Kakitangan fakulti disaran agar mempelbagaikan lagi kemahiran diri di samping tugas-tugas hakiki di pejabat.

Dekan  Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Prof. Dr. Baba Musta berkata, pekerja harus manfaatkan peluang perkongsian dan seterusnya meningkatkan kemahiran diri seiring dengan kemajuan teknologi masa kini sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Aplikasi Teknologi Media Siri 1 anjuran FSSA di Bilik Komputer  1, FSSA.

Mengenai kursus ini, beliau turut memuji usaha dari Sektor Pentadbiran dan Kewangan fakulti yang di ketuai oleh Hasmi Hashim atas usaha dan keprihatinan terhadap perkembangan kemahiran kakitangan dengan menyediakan peluang perkongsian sesama kakitangan yang berlainan skim jawatan.

Hasmi Hashim yang ditemui berkata  melalui kursus ini penganjuran  sesebuah program atau aktiviti dapat dilakukan secara berhemah dengan menyalurkan informasi penganjuran secara visual iaitu menggunakan kemudahan telefon pintar.

“Ini juga salah satu usaha fakulti dalam menyokong saranan dan dasar perbelanjaan berhemah yang dijalankan oleh universiti,” katanya.

Kursus ini yang dihadiri seramai 20 kakitangan telah dikendalikan oleh Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Redzuan Abdullah.

Kursus tersebut antara lain berkongsi tatacara penggunaan perisian Microsoft Publisher dalam menghasilkan konsep grafik visual dalam bentuk flyers, backdrop, story-book dan banner yang boleh dikongsi menggunakan aplikasi interaktif sosial dalam telefon pintar individu yang ingin menganjurkan sebarang aktiviti.

Sumber : Kenny Uwai, FSSA

SELASA, 16 FEBRUARI - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) jalinkan kerjasama dengan syarikat Borneo Food Chain melalui pembukaan kiosk perniagaan di fakulti tersebut.

Perniagaan makanan segera berteraskan ikan segar yang telah siap diproses tu dijalankan sepenuhnya oleh para pelajar program Pengurusan Kewangan dan Perbankan (HE06) melalui Exco Keusahawanannya, FMBC Bizhub.

Melalui kerjasama tersebut, Borneo Food Chain berperanan dalam menyediakan kemudahan seperti latihan operasi perniagaan, serta fasiliti perniagaan dan kewangan kepada para pelajar.

Bagi memastikan kualiti makanan dan penyampaian sentiasa terjamin, para pelajar yang terlibat diberi latihan yang mencukupi daripada pelbagai aspek seperti penyimpanan rekod kewangan, pakaian,  penyediaan dan penyampaian makanan.

Ketua Program HE06, Amer Azlan Abdul Jamal berkata jalinan usahasama itu merupakan capstone activity bagi program HE06 yang memberi peluang kepada para pelajar untuk mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari di dalam kuliah kepada satu bentuk pengalaman menjalankan perniagaan yang sebenar.

“Penglibatan pelajar kita dalam perniagaan bukanlah semata-mata kerana keuntungan, malah lebih daripada itu. Melaluinya, pelajar kita berpeluang mengaplikasikan ilmu kognitif, afektif dan psikomotor yang telah mereka perolehi ketika di dalam kuliah, yang mana melibatkan penggunaan arahan, analisis, sintesis pengetahuan serta kemahiran.

Selain itu, projek ini menyediakan platform baharu kepada para pelajar HE06 untuk menjana pendapatan bagi tujuan penganjuran aktiviti kelab di masa hadapan selain memberi peluang kepada para pelajar untuk menambah duit poket mereka,” ujarnya.

Bagi Dekan FPEP, Profesor Dr. Rasid Mail, jalinan kerjasama di antara FPEP dan Borneo Food Chain itu bermanfaat kepada para pelajar kerana ianya mampu mencambah minat mereka untuk terlibat dalam aktiviti berunsurkan keusahawanan sekaligus memadamkan mentaliti ‘makan gaji’.

“Ini secara tidak langsung juga menyokong dasar universiti yang sentiasa mahu melihat warganya bergiat aktif di dalam aktiviti yang boleh menjana pendapatan,” tambahnya.

Antara produk yang dijual adalah bebola ikan goreng, nuget ikan, wantan ikan, seafood tofu, fish cake, serta keropok ikan.

Masa operasi adalah pada hari Isnin hingga Sabtu, bermula jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang bertempat di foyer Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan.

Sumber: FPEP

ISNIN, 15 FEBRUARI – Graduan lepasan kolej atau universiti diingatkan agar tidak terlalu memilih pekerjaan, sebaliknya menerima mana-mana pekerjaan yang diperoleh, dan barulah kemudiannya berusaha untuk menambah baik kehidupan sendiri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman berkata, kerajaan negeri khususnya amat prihatin terhadap nasib graduan universiti yang bergraduat setiap tahun untuk mencari pekerjaan yang sesuai.

Katanya, kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk menyediakan infrastruktur yang baik di bandar mahupun di luar bandar bagi menarik pelabur untuk membuat pelaburan di negeri ini, sekali gus mewujudkan lagi lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan-graduan yang menganggur.

“Kerajaan negeri juga telah menyediakan tanah dan pelbagai skim bantuan kepada para graduan khususnya untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian, iaitu sebagai usahawan tani.

“Pertanian pada hari ini bukanlah satu pekerjaan yang kotor atau hanya untuk golongan miskin, tetapi pertanian mampu menjana pendapatan yang menguntungkan. Justeru graduan harus positif dan menyahut cabaran ini, dan bukannya memilih untuk mencari kerja yang sesuai dengan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Temu Duga Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Negeri Sabah di Dewan Kuliah Pusat 2, Universiti Malaysia Sabah pagi tadi.

Mengenai program SL1M, beliau memuji usaha dari Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini yang menyediakan platform kepada para graduan untuk berusaha mencari peluang kerjaya dengan melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan dan agensi swasta yang memberi latihan pekerjaan sebagai persediaan kerjaya kepada para graduan yang menyertainya.

 Program SL1M Peringkat Negeri Sabah pada kali ini melibatkan lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh lebih 40 buah syarikat. Sehingga pagi tadi, lebih 1,000 peserta telah hadir bagi mencari peluang yang ditawarkan.

Hadir sama pada majlis itu Ketua EPU, Datuk Seri Dr. Rahmat Bivi Yusoff; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Ismail Ali; Pengarah Seksyen Pembangunan Modal Insan  EPU, Amir Omar dan Ketua Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia, Hajah Norashikin Datuk Haji Ismail. -MA-

Foto: Suzeanywati Gasinin