SELASA, 20 OKTOBER - Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh Ranau mengadakan Program Komuniti Sekolah Luar Bandar baru-baru ini.

Menurut penyelia program, Dr. Siew Nyet Moi @ Sopiah Abdullah, program itu yang bertujuan mengukuhkan pemahaman mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) disertai 48 pelajar tingkatan empat jurusan Sains Tulen sekolah berkenaan.

“Ia juga bagi menggalakkan pemikiran kritis, daya penyelesaian masalah, kreativiti dan inovasi serta komunikasi dan kerjasama antara ahli dalam aktiviti berkumpulan,” katanya ketika dihubungi media.

Jelasnya, penglibatan pelajar dalam setiap aktiviti yang dijalankan dilihat sangat memberangsangkan sekali gus mencungkil kreativiti mereka secara menyeluruh khususnya dalam aspek penyelesaian masalah.

“Para pelajar juga turut menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi serta saling berkongsi idea bagi menghasilkan rekaan yang terbaik dalam tiga cabaran yang diberikan iaitu aktiviti Menara Tangki Air, Jambatan Kertas dan Survival Gempa,” tambah Dr. Siew lagi.

Program selama dua hari itu dikelolakan sepenuhnya siswa-siswi pascasiswazah UMS bagi jurusan Sarjana Pengurusan Pendidikan. -ZMD

 Sumber : Fakulti Psikologi dan Pendidikan

Oleh Salbinous Saribun

SELASA, 20 OKTOBER - Seramai 46 pelajar China akan mengikuti Program Persediaan Intensif Bahasa Inggeris (IEPP) selama empat bulan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bermula pada bulan ini, program tersebut bagi memenuhi keperluan kemasukan untuk mengikuti kursus peringkat sarjana muda dan sarjana di universiti tersebut.

"Program tahunan ini dilancarkan pada 2006 untuk Pembangunan Profesional (UCPD)," kata pengerusi kumpulan UMS Investment Holdings Sdn Bhd,  Datuk Ag. Buhtamam Ag. Mahmun dalam ucapan aluan kepada kumpulan ke-27 pelajar IEPP, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah UMS berkata, sehingga kini seramai 1,284 pelajar antarabangsa berjaya mengikuti program persediaan intensif bahasa Inggeris.

“Kebanyakan mereka daripada China tetapi ada juga dari negara-negara lain seperti Turki, Indonesia, Korea, Jepun dan Kamboja,” katanya.  

Beliau turut mengingatkan semua pelajar baharu yang mengikuti program persediaan itu supaya belajar bersungguh-sungguh agar lulus seterusnya layak mengikuti program sarjana muda atau ijazah sarjana di UMS.  

Turut hadir, Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Prof Dr.Vincent Pang yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Oleh Salbinous Saribun

ISNIN, 19 OKTOBER - Hampir 300 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeriahkan Walk For Fun yang dianjurkan Jabatan Canselori baru-baru ini.

Acara yang memerlukan setiap peserta berjalan kaki secara santai di sekitar kampus dimeriahkan lagi dengan penyertaan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Uniknya, acara tersebut diadakan pada waktu malam sekali gus memberi ruang kepada para kakitangan dan pelajar mengambil bahagian tanpa mengganggu masa bekerja dan sesi kuliah.

“Seingat saya, pertama kali dalam sejarah UMS program sebegini diadakan pada waktu malam. Saya sangat teruja dengan sambutan yang begitu meriah dan mengalakkan,” kata Datuk Harun.

Beliau turut menyokong agar program tersebut dijadikan sebagai acara tahunan.

“Saya percaya dan berharap, penyertaan daripada warga UMS akan terus meningkat dan bertambah kelak,” ujarnya.

Beliau dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan ketika memuat naik gambar-gambar program tersebut di laman facebook peribadinya.

Program sihat itu turut menyaksikan terdapat kakitangan yang mengambil bahagian bersama keluarga dan anak-anak masing-masing.  

 

Oleh Sainah Mustakim

ISNIN, 19 OKTOBER - Hampir 50 pegawai bersama kakitangan yang menyelia e-attendance di jabatan masing-masing  menghadiri taklimat anjuran Jabatan Pendaftar baru-baru ini.

Taklimat bertajuk ‘Hadir Jangan Tak Hadir’ itu disampaikan Ketua Bahagian Perundangan dan Integriti jabatan berkenaan, Awang Suhaizam Bungso.

Taklimat selama dua jam itu antara lain bertujuan memberi pemakluman kepada ketua jabatan dan penyelia cuti bagi menangani ketidakhadiran kakitangan di Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit (JFPIU) masing-masing.

Dalam taklimatnya, Awang Suhaizam memberitahu, ketidakhadiran untuk bertugas tanpa cuti atau terlebih dahulu mendapat kebenaran atau tanpa sebab yang munasabah boleh menyebabkan seseorang kakitangan dikenakan tindakan tatatertib.

Beliau kemudiannya turut menjelaskan peranan ketua jabatan untuk memaklumkan kepada Jawatankuasa Tatatertib mengenai sebarang kesalahan tidak hadir tanpa cuti selaras Pekeliling Pendaftar Bilangan 11/2009 bertarikh 15 Disember 2010: Garis Panduan Prosedur Pengendalian Ketidakhadiran Bertugas Kakitangan UMS.

“Kita tidak perlu takut untuk melaporkan mana-mana kakitangan yang didapati tidak hadir bertugas tanpa cuti dan ingkar perintah agar tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan,” tambahnya.

Hadir sama pada majlis itu, Luqman Ridha Anwar, Ketua Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar.

Foto: Hadijah Engson

 

ISNIN, 19 OKTOBER – Seramai 39 pelajar tingkatan enam atas dari Sekolah Menengah La Salle, Sekolah Tinggi Kota Kinabalu dan Sekolah Menengah Limbanak telah mengikuti program BRI Young Ambassador anjuran Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Program dwitahunan itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat luar tertutamanya para pelajar sekolah mengenai kewujudan IPB serta memupuk minat pelajar aliran sains dalam bidang bioteknologi.

Pada program tersebut, para pelajar juga didedahkan kepada penyelidikan Biosensors, Stem Cells dan Protein and Diseases melalui taklimat yang disampaikan kakitangan akademik insititut berkenaan.

Selain pengenalan kepada teori bidang bioteknologi, para pelajar turut berkesempatan mempelajari dan memahami tentang pengendalian alat-alat berteknologi tinggi yang biasanya diguna pakai dalam aktiviti makmal.

Program yang berlangsung selama sehari itu dirasmikan pengarah IPB, Prof. Dr. Clemente Michael Wong Vui Ling.

Sumber: Institut Penyelidikan Bioteknologi