KHAMIS, 1 OGOS - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), K Y Mustafa  (gambar) mengalu-alukan pelantikan Naib Canselor UMS yang baharu, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin yang dilantik menjawat jawatan itu berkuatkuasa pada 30 Julai 2019.

Katanya, berdasarkan kepada pengalaman dan pencapaian Prof Dr Taufiq, beliau yakin kecemerlangan universiti semasa di bawah legasi kepimpinan Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin serta Naib-naib Canselor terdahulu akan terus berkesinambungan.

“Saya percaya dengan keupayaan dan pengalaman yang dimiliki  beliau mampu memacu kecemerlangan universiti ini di persada nasional dan antarabangsa dalam pelbagai aspek, termasuk dalam merealisasikan agenda UMS untuk menghasilkan graduan future-proof demi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Saya bagi pihak warga UMS merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas pelantikan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

K Y turut merakamkan penghargaan kepada Prof. Datuk Dr. Kamarudin, atas khidmat bakti yang dicurahkan kepada UMS sepanjang menggalas amanah selaku Naib Canselor dari Jun 2017 hingga Julai 2019.

“Prof. Datuk Dr. Kamarudin telah menunjukkan kepimpinan yang baik dengan pelbagai pencapaian termasuk berjaya membawa universiti ini buat pertama kalinya tersenarai di dalam QS World Ranking 2020 sebagai 1,000 universiti terbaik dunia.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya, dan semoga sukses selalu,” katanya.

Untuk rekod, pelantikan Prof Dr Taufiq telah diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 27 Julai dan akan berkuatkuasa selama tiga tahun hingga 29 Julai 2022.

Berasal dari Kota Kinabalu Sabah, Prof. Dr. Taufiq, 51, merupakan Profesor di Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan memperoleh Ijazah Kedoktoran dari University of Manchester Institute of Science and Technology,United Kingdom dalam bidang Heterogeneous Catalysis.

Beliau terlibat aktif dalam pelbagai penulisan jurnal akademik, konferens dan prosiding serta mempunyai jaringan kolaboratif yang luas di peringkat antarabangsa dan pernah dilantik sebagai Felo di The Royal Society of Chemistry, United Kingdom pada tahun 2008 dan Visiting Researcher/Professor di beberapa universiti terkemuka luar negara.

 

 

ISNIN, 29 JULAI – Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Hj. Bahari telah berpeluang menyertai 6th World Congress on Positive Psychology yang diadakan di Melbourne Convention and Exhibition Centre, Melbourne, Victoria, Australia baru-baru ini.

Menurut beliau, kongres anjuran International Positive Psychology Association (IPPA) ini disertai lebih daripada 6,000 peserta yang datang dari 50 negara di seluruh dunia.

“Kongres ini telah menggariskan beberapa objektif yang ingin dicapai, antaranya ialah ingin memperlihatkan kepada dunia mengenai sains dan amalan terkini dalam bidang psikologi positif yang telah dibentangkan oleh para pengkaji dari seluruh dunia, selain menjadi satu platform untuk berinteraksi dan menjalinkan kerjasama antara cendekiawan, pengamal, pemimpin, ahli perniagaan, sekolah dan juga para pelajar.

“Dalam kongres ini juga, saya telah membentangkan hasil kajian bertajuk Subjective Happiness Among People with Physical Disabilities in Malaysia,” katanya.

Tambah Dr. Muhammad Idris Bullare, penyertaan dalam kongres ini sangat bermakna bagi beliau kerana dapat bersua muka dengan penceramah jemputan yang terdiri daripada beberapa orang tokoh yang terkenal dalam bidang psikologi positif seperti Profesor Martin Seligman, Profesor Barbara Fredrickson, Profesor Sonja Lyubomirsky, Profesor Michael Steger, Profesor Judith Moskowitz, Profesor James Pawelski, Profesor Roy Baumeister, Profesor Kim Cameron, dan Profesor Robert Vallerand,

“Saya berpeluang mendengar secara langsung tokoh-tokoh ini membentangkan hasil kajian mereka di sesi Plenari dan mendapat banyak input daripada pembentangan mereka mengenai bidang psikologi positif.

“Peluang yang diperoleh tidak akan disia-siakan dan akan saya manfaatkan untuk perkongsian maklumat yang diperolehi dengan rakan pensyarah dan para pelajar,” ujar beliau.

 

JUMAAT, 26 JULAI – EcoCampus Visitor Information Centre (EVIC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan kemudahan dan perkhidmatan baharu bagi memudahkan serta menarik lebih ramai pengunjung dalam dan luar negara untuk melawat kampus UMS.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa berkata, pelancaran ini merupakan satu langkah ke hadapan bagi bidang pelancongan universiti.

“Dengan kemajuan teknologi masa kini, inisiatif seumpama ini amat baik untuk dibangunkan sebagai aplikasi mudah alih yang digunakan oleh pengunjung bagi capaian secara mudah maklumat pelancongan semasa lawatan dalam universiti.

“Kami berharap kemudahan dan lokasi lawatan terbaru termasuk yang sedia ada akan membantu meningkatkan pengalaman pelancongan yang bernilai buat para pengunjung,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran kemudahan dan perkhidmatan baharu tersebut di Pantai ODEC, UMS.

Beliau turut memaklumkan bahawa peningkatan yang agak ketara berlaku bagi jumlah pelawat antarabangsa sejak dua tahun ini dengan para pelawat begitu teruja untuk mengunjungi tempat-tempat menarik dalam kampus seperti Masjid UMS, Muzium Perubatan UMS, Muzium di Bangunan Canselori, serta Akuarium dan Muzium Marin UMS.

“Difahamkan pada masa ini UMS menerima pelawat dalam lingkungan 800 sehingga 1000 orang sehari, dan ini sesuatu yang baik dan mampu membantu pihak UMS untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di sini,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, UMS dan UMS Investment yang mengendalikan EVIC sentiasa mengadakan kerjasama erat bagi memastikan UMS dan UMS Investment mampu mendepani cabaran terutama keadaan ekonomi semasa.

“Pusat Sehenti EVIC adalah salah satu contoh terdekat bagi kerjasama erat yang memberi kelebihan serta manfaat buat kedua-dua pihak.

“Kami berharap kerjasama ini akan terus berpanjangan bagi memastikan kemajuan UMS khususnya dalam industri pelancongan akan berkembang dengan pantas dalam masa terdekat,” ujar beliau.

Dalam acara tersebut, Datuk K Y Mustafa dan Prof. Datuk Dr. D Kamarudin telah menandatangani plak sebagai gimik pelancaran kemudahan dan perkhidmatan baharu EVIC, sebelum dibawa melawat ke Masjid UMS dan Pantai ODEC menggunakan kenderaan buggy serta menikmati makan malam dalam suasana matahari terbenam di Pantai ODEC.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul; Pengurus Besar Kumpulan UMS Investment Holdings Sdn. Bhd., Yusak Yumboris; dan pegawai-pegawai utama serta pegawai kanan universiti.

KHAMIS, 25 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran untuk terus mewujudkan kerjasama erat dengan pihak industri  bagi manfaat bersama.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata kerjasama seumpama itu mampu membuatkan kedua-dua pihak untuk terus kekal relevan.

Menurut beliau, penggiat industri boleh mendapat manfaat kepakaran minda menerusi penyelidikan sesebuah universiti, teknologi mahupun infrastruktur penyelidikan.

“Susulan penggubal dasar berusaha untuk membentuk pengetahuan akademik kepada kejayaan komersial, terdapat keperluan berterusan kepada hubungan kukuh di antara pihak industri dan akademik.

“Kerjasama industri-universiti merupakan komponen penting dalam pembiayaan universiti. Universiti juga boleh mendapat pembiayaan tambahan atau akses kepada peralatan industri,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Pengajian Perniagaan (ICoBS) yang julung kali dianjurkan oleh Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang.

Terdahulu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata UMS berharap persidangan tersebut akan membawa kepada pertukaran idea yang positif, rangkaian dan persahabatan yang berlanjutan disamping berusaha untuk meningkatkan lagi kerjasama antara universiti dan industri.

Seramai 78 peserta dari sepuluh negara termasuk China, Nigeria, New Zealand, India dan Mexico menyertai persidangan tersebut yang turut dihadiri oleh Pendaftar UMS, Puan Vina Zahriani Yusof.

 

RABU, 24 JULAI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) komited dalam memberi perkongsian ilmu serta latihan berkaitan pengenalan dan pengurusan cendawan toksik khususnya di Sabah kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan serta komuniti setempat.

Usaha tersebut dilakukan melalui penganjuran Kursus Cendawan Toksik Di Sabah: Pengenalan dan Pengurusan 2019 yang dianjurkan IBTP buat kali kedua dengan kerjasama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares).

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, penyelidikan kulat merupakan salah satu daripada niche UMS di bawah bidang penyelidikan Biodiversiti dan Kelestarian Alam Sekitar dengan penekanan mengenai kulat yang boleh dimakan (Edible Mushroom).

“Oleh itu, IBTP mengambil inisiatif mengadakan Kursus Cendawan Toksik untuk pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat serta melatih agensi kerajaan terlibat seperti Inspektor Kesihatan, Renjer Hutan, dan masyarakat luar bandar mengenai cendawan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan.

“Kursus ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang cendawan dan toksin yang terkandung dalam cendawan serta cendawan yang digunakan dalam bidang perubatan terutamanya dalam bidang kulinari dan terapeutik di samping memberi latihan pengecaman dan kurasi cendawan kepada para peserta,” katanya dalam ucapan perasmian penutupan kursus tersebut yang berlangsung di Bilik Seminar, IBTP.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar.

Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah turut memaklumkan bahawa seramai 64 peserta dari pelbagai latar belakang dan jabatan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Pejabat Kesihatan Papar, Pejabat Kesihatan Daerah Beluran, Pejabat Kesihatan Kudat, Pejabat Kesihatan Daerah Pitas, Koperasi Pembangunan Desa, Jabatan Hutan Sarawak, Yayasan Sabah, dan Komuniti Kampung Gana, Kota Marudu menyertai kursus tersebut, iaitu peningkatan jumlah penyertaan sebanyak 30% berbanding tahun sebelumnya.

“Penyertaan dari agensi-agensi ini penting bagi memastikan pengurusan cendawan dapat dijalankan secara sistematik kelak khususnya bagi menangani kes laporan toksik diterima oleh Jabatan Kesihatan  di mana-mana daerah yang berkaitan.

“Ini kerana statistik keracunan cendawan yang dilaporkan sehingga 2019 adalah 113 kes dan 2 kes kematian adalah di Sabah, dan ini perkara yang harus dipandang serius serta dihindari daripada berlaku,” katanya.

Kursus yang berlangsung selama sehari itu menyaksikan tiga ceramah disampaikan iaitu identifikasi cendawan, toksin dalam cendawan, dan cendawan dalam perubatan, selain aktiviti kerja lapangan mencari cendawan di sekitar IBTP (ex-situ) bagi memberi pengalaman secara hands-on kepada para peserta.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman; Ketua Pusat Penyelidikan Cendawan UM, Prof. Dr. S. Vikineswary Sabaratnam; dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam KKM, Dr. Mohd. Hanif Zailani serta Pensyarah UM, Dr. Tan Yee Shin selaku penceramah undangan.