SELASA, 26 JANUARI - Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Sains Marin dan Akuakultur (ICOMSA 2016) pada 23 dan 24 Mac 2016, di Hotel Pacific Sutera, Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu.

Menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi persidangan, tema persidangan pada kali ini adalah ‘Nurturing Innovation Ecosystems for Sustainable Oceans & Societal Wellbeing’.

Persidangan terbahagi kepada beberapa subtema khusus meliputi topik makanan dan pemakanan ikan, keselamatan makanan laut, adaptasi perubahan cuaca, konservasi marin, dan polisi marin.

Topik tersebut mempunyai kepentingan global khususnya bagi negara seperti Malaysia, yang mementingkan khidmat ekosistem marin dalam pembangunan sosio-ekonomi selain pertumbuhan akuakultur yang berkembang pesat dan penggunaan makanan laut adalah tinggi.

ICOMSA dianjurkan secara tahunan bagi mengumpul pakar antarabangsa untuk berkongsi dan mempertingkatkan pengetahuan saintifik berhubung ekosistem samudera serta  mengenal pasti elemen yang dapat memupuk budaya mengaplikasi penyelesaian inovatif bagi permasalahan yang berkaitan penghasilan sumber makanan laut.

Ia juga memberikan peluang kepada dialog pihak-pihak berkepentingan berorientasikan pembentukan penyelesaian kreatif pada cabaran penyelidikan, polisi dan program yang belum diselesaikan, dan membawa kesedaran serta komitmen bagi memenuhi keperluan untuk sinergi antara sains dan keusahawanan berkaitan sumber biologikal marin.

Penganjuran ICOMSA kali ketiga ini, dijangka akan menarik penyertaan dari universiti dan pusat penyelidikan dalam dan luar Asia Tenggara.

ICOMSA 2016 bakal menyaksikan pembentangan lisan dan poster termasuk syarahan utama dari Naib Pengerusi dan Pengarah Bebas, Sutera Harbour Group Sdn. Bhd., Malaysia, Francis Lee Choon Hui dan tiga syarahan plenari oleh Prof. Dr. Shi-Yen Shiau (Profesor Kursi Anugerah Nasional Sepanjang Hayat, National Taiwan Ocean University, Taiwan), Prof. Dr. Michael Borowitzka (Profesor Emeritus Fikologi Marin, Murdoch University, Australia) dan Prof. Dr. Shigeharu Senoo (Profesor, Fisheries Institute, Kinki University).

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web kami dengan mengimbas kod QR di bawah, atau taip http://www.ums.edu.my/ipmbv2/icomsa/index.html, atau hubungi Sekreteriat Persidangan di 088-320000 samb. 2589.

SELASA, 26 JANUARI – Kontinjen Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya meraih pingat emas pertama Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2016 menerusi sukan Taekwondo yang bermula sejak 24 Januari lalu.

Pingat emas tersebut disumbangkan Raymond Toh Meng Hui, Ahmady Radi dan Lee Kim Qin melalui acara Poomsae Berpasukan lelaki.

Dengan kutipan 6.98 mata, gandingan mantap ketiga-tiga atlet berkenaan menyingkirkan pencabar utama daripada peserta HELP University yang meraih 6.56 Mata untuk pingat perak.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan pasukan Taekwondo UMS berjaya mengekalkan pingat emas dalam kategori tersebut buat kali ketiga berturut-turut sejak tahun 2012.

Pingat gangsa pula masing-masing dimenangi oleh pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Pencapaian itu terus disemarakkan pasukan Taekwondo Wanita UMS yang mempamerkan aksi cemerlang dalam acara yang sama.

Walau bagaimanapun, UMS  yang diwakili Cheong Pui Siong, Goh Chai Loon dan Fiona Ng Wen Yah terpaksa akur dengan hanya meraih pingat perak setelah tewas tipis dengan 6.75 mata kepada pasukan HELP University yang meraih 6.97 mata untuk pingat emas.

UMS turut menyasarkan kilauan pingat emas dalam acara Poomsae kategori campuran yang menyaksikan Ahmady Radi dan Cheong Pui Siong turun beraksi bagi usaha mencapai misi tersebut.

Berlangsung di beberapa venue sukan sekitar Johor Bahru, SUKIPT 2016 yang memperlihatkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai tuan rumah kejohanan turut disertai beberapa universiti dari negara jiran seperti Thailand, Myanmar, Indonesia, dan Laos.

UMS menyertai 10 daripada 25 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu sukan taekwondo, silat, olahraga, karate, bola tampar pantai, lawan pedang, badminton, petanque, boling padang dan tenpin boling. -MA-

Kredit foto: SUKIPT

Oleh Salbinous Saribun

ISNIN, 25 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus maju ke hadapan apabila melonjak 72 anak tangga untuk tersenarai pada kedudukan ke-173 ranking terbaik dunia dalam penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2015.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, lonjakan itu merupakan yang tertinggi berbanding ranking pada tahun sebelumnya di kedudukan 245 terbaik dunia.

“Pencapaian itu merupakan satu kebanggaan bagi warga UMS yang kini dalam landasan yang tepat ke arah mencapai pelbagai lagi kecemerlangan pada masa akan datang,” ujarnya ketika mengulas mengenai pencapaian itu.

Menurutnya, UMS dilihat mampu meningkatkan lagi ranking berkenaan berdasarkan usaha-usaha yang giat dijalankan khususnya dalam aktiviti berkaitan dengan kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar.

“Pelbagai aktiviti mesra alam sekitar yang kita laksanakan seperti penggunaan tenaga yang cekap serta peningkatan fasiliti dan penggunaan basikal di kampus selain pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran dan penyelidikan.

“Penubuhan Pusat Kitar Semula di dalam kampus selain bakal mempraktikkan konsep Ecofarm juga sangat diyakini akan menjadi kekuatan untuk universiti meningkat lebih jauh dalam penarafan ranking pada tahun ini,” tambah Datuk Harun.

Penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2015 yang diumumkan pada Jumaat lalu disertai 407 universiti daripada 66 negara berbanding 360 daripada 62 negara pada tahun lalu.

Ia menyaksikan UMS berada pada ranking ketujuh bagi Universiti Awam dan swasta di Malaysia dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) berada pada kedudukan ranking pertama.

Penarafan kelestarian alam sekitar yang mengukur komitmen setiap universiti dalam membangunkan infrastruktur mesra persekitaran mempunyai lebih daripada 40 indikator yang meliputi 6 skop utama iaitu infrastruktur (15%), tenaga dan perubahan cuaca (21%), sisa buangan (18%), air (10%), pengangkutan (18%) dan pendidikan (18%).

JUMAAT, 22 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyasarkan kutipan enam pingat emas pada Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2016 yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor, bermula 29 Januari ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, penyertaan UMS dalam 11 acara sukan tahun ini diharap dapat mencipta sejarah baharu sekali gus meningkatkan kutipan pingat serta memperbaiki kedudukan UMS dalam kejohanan tersebut.

“UMS memberikan kepercayaan yang tinggi kepada anda semua, bertandinglah dengan semangat kesukanan yang padu serta berikan yang terbaik dalam mengharumkan nama universiti,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Profesor Madya Dr. Ismail Ali pada Majlis Amanat dan Penyerahan Bendera Kontinjen di Galeri Majlis Bangunan Canselori, kelmarin.

Seramai 50 atlet UMS akan berangkat ke UTM pada 24 Januari ini untuk bertanding dalam acara Taekwando Poomsae, Taekwando Kyorugi, Olahraga, Boling, Badminton, Karate-do, Lawan Pedang, Pencak Silat, Petaque, Boling Padang dan Bola Tampar Pantai Lelaki.

Selain penyerahan bendera, turut diadakan bacaan ikrar yang dibacakan oleh ketua kontinjen, Max Anzie Jetol.

Hadir sama, Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd. Asyraaf Abdullah dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat.

Foto: Musaab Umair

 

ISNIN, 25 JANUARI - Keputusan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) yang dikeluarkan baru-baru ini menyaksikan pencapaian cemerlang secara keseluruhan oleh Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut kenyataan PPST, daripada 300 pelajar yang menduduki ujian, 270 pelajar (90.3%) mencapai tahap Band 3 dan ke atas, iaitu 18 pelajar mencapai Band 5 (6%) berbanding dengan 8 pelajar daripada 319 pelajar dari kohort sebelumnya (2.5%), manakala 108 pelajar mencapai Band 4 (36%), 144 pelajar mencapai Band 3 (48%) dan 29 orang pelajar mencapai tahap Band 2 (9.7%).

Bagi pencapaian keseluruhan calon MUET di Sabah iaitu seramai 787 pelajar daripada 44,276 calon seluruh Malaysia, PPST telah menyumbang sebanyak 40.9% daripada Band 5, diikuti 39.1% daripada Band 4 dan 18.3% daripada Band 3. 

Pelajar yang mencapai Band 5 adalah Elsieeli Duasin, Arnold Marshall Molujin, Zachary Zeno Henry, Eric Gabriel Funk, Mohd Helmie Janong, Muhammad Aiman Ismail, Hafiqah Syazwani Hassanudin, Maryam Rosman, Nazleen Diana Ismail, Sophia Yong Chiu Hung, Annabelle Gissong, Haizal Danial Esah, Sarah Nafisa Rosli, Firas Mohamad Azaini, Nurliyanah Atiqah Shah Fenner Khan, Nur Haziqah Erdina Abd Razak, Nur Nabilah Muhammad Mukhtar dan Fatin Munirah Mohd.

Menurut kenyataan itu lagi, PPST bukan sahaja komited untuk meningkatkan pencapaian MUET tetapi juga penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Tambahan lagi, bahasa inggeris juga dijadikan sebagai perantaraan dalam pengajaran dan pembelajaran di PPST kerana ia penting untuk persediaan mereka ke program sains diperingkat ijazah.

Pengarah PPST, Prof. Madya Dr Sazmal Effendi Arshad turut mengucapkan tahniah kepada pelajar atas keputusan yang cemerlang dan menggalakkan mereka terus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai medium loncatan untuk mencapai kecemerlangan dalam program ijazah yang mereka kehendaki. -SS

Sumber: PPST