KHAMIS, 21 JANUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima tiga anugerah pada Majlis Anugerah Seni yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) 2015, baru-baru ini.

Majlis anugerah yang diadakan di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu itu bertujuan memberi penghargaan kepada para pelajar dan pegawai MAKUM yang telah memberikan komitmen dalam memastikan semua aktiviti yang dirancang pada tahun 2013-2015 berjaya dilaksanakan dengan lancar.

Pada majlis tersebut, pelajar Fakuti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Puteri Norain Faradin Nordin menerima Anugerah Bonang Emas manakala Kelab Kebudayaan dan Kesenian UMS menerima Anugerah Gambang Mustika.

Satu lagi anugerah iaitu Anugerah Gendang Sari diberikan kepada Pegawai MAKUM UMS, Mohd. Khairuddin Ahmad dan Alan James.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom.

Turut hadir, Pengerusi MAKUM 2013-2015 merangkap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSZA, Profesor Dr. Nik Wan Omar.

Sumber : Norhana Nordin

KHAMIS, 21 JANUARI – Pusat Alumni, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan satu program ‘Temu Santai Alumni’ bertempat di Cafe D’Sireh, UMS kelmarin.
Perjumpaan tersebut dihadiri lebih 100 alumni yang majoritinya terdiri daripada kakitangan UMS sendiri.
Presiden Persatuan Alumni UMS yang juga Pengarah Kastam Sabah, Dato’ Dr. Janathan Kandok berkata, beliau bersama para alumni lain akan berusaha menyelaraskan semua program yang dirancang Pusat Alumni  untuk faedah ahli-ahlinya.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Alumni UMS, Mohd. Raffie Hj. Janau menekankan kepentingan sokongan padu daripada alumni untuk merealisasikan objektif pusat itu.
“Kami telah merancang pelbagai aktiviti dan akan berhubung dengan lebih ramai alumni di seluruh negara termasuk alumni antarabangsa,” katanya.
Temu santai kali ini turut diselitkan dengan sesi perkongsian tentang pencapaian para alumni selain meminta pandangan dan cadangan untuk menarik lebih ramai alumni berbakti kepada alma mater mereka. - FL

RABU, 20 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari ini telah mengadakan Taklimat Formula Pendanaan Baharu dan Petunjuk Prestasi Utama UMS 2016 kepada seluruh warga kakitangan universiti.

Bertempat di Dewan Canselor UMS, taklimat tersebut disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Akademik (PPSA), UMS, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Taklimat ini antara lain bertujuan untuk berkongsi maklumat berkenaan pengurangan peruntukan belanja mengurus (OPEX) bagi tahun 2016 dan formula pendanaan baharu, dua aspek penting untuk Universiti Awam(UA) mulai tahun 2016.

Taklimat tersebut adalah selaras dengan keperluan untuk berkongsi status semasa dan senario akan datang berkaitan belanjawan  universiti sebagai persediaan kepada warga kerja UMS untuk bersedia dan mengharungi cabaran serta memikul tanggungjawab yang bakal dihadapi mulai tahun ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Mohd Harun Abdullah dalam ucapan dasarnya sempena majlis taklimat tersebut menjelaskan, walaupun universiti berdepan dengan kekangan kewangan, namun UMS akan terus komited untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai peneraju pendidikan tinggi yang disanjung, serta menjayakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Untuk itu, saya menyeru semua warga UMS untuk berubah dan mengubah, baik dari aspek minda, sikap, tabiat mahupun amalan bekerja. 

“Marilah kita berganding bahu untuk berusaha ke arah kelestarian kewangan, lonjakan produktiviti dan kecemerlangan Universiti Malaysia Sabah,” ujarnya. -MA-

Foto oleh: Ramdan Saleh Nain

RABU, 20 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari ini mengukuhkan lagi jaringan industri dan jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa melalui pemeteraian perjanjian bersama dua buah agensi, iaitu Yun Fook Resources Sdn Bhd dan Zunyi Medical University, People’s Republic of China.

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yun Fook Resources Sdn Bhd, kedua-dua pihak akan menjalinkan kerjasama dalam bidang perladangan tenusu dari segi pembelajaran dalam perladangan tenusu, latihan pengurusan keselamatan makanan, latihan praktikal dan industri, penyelidikan dan perundingan dan pertukaran pelajar serta kakitangan.

MoU kedua-dua pihak ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah mewakili UMS, manakala Yun Fook Resources diwakili oleh Datuk Yap Yun Fook.

Sementara itu, Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Zunyi Medical University, People’s Republic of China. Pula menyaksikan kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam penubuhan “The International Joint Laboratory for Ethnomedicine”.

Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk memfokuskan kerjasama dalam penyelidikan saintifik peringkat antarabangsa, latihan dalam bidang sains dan teknologi, penubuhan sebuah pasukan akademik antarabangsa, penubuhan satu sistem pengurusan serta memberi sumbangan terhadap pembangunan ekonomi wilayah Guizhou dan Malaysia melalui melalui penjanaan sumber.

MoA tersebut ditandatangani oleh wakil dari Zunyi Medical University, Professor Lu Yuan Fu. -MA-

Foto oleh: Musaab Umair

ISNIN, 18 JANUARI - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjemput warga universiti untuk mengambil bahagian dalam urus niaga secara Car Boot Sales yang diadakan pada 25 Januari depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FPSK, program yang dijangka mendapat sambutan hangat ini  akan diadakan di tempat letak kereta  fakulti berkenaan  bermula pukul 8.30 pagi hingga 2.30 petang.

Penjualan yang dilakukan melalui kenderaan masing-masing ini mengenakan yuran sebanyak RM20 untuk setiap peserta.

Bagi penyertaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Nurul Izza Md Nordin ditalian 013-8500362.

Orang ramai turut dialu-alukan hadir membeli barangan yang ditawarkan pada program tersebut.