RABU, 9 MAC - Kelab Basikal Kolej Tun Mustapha (TMCCC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan program ‘Tanjung Lipat Fun Ride’ baru-baru ini.
Ianya merupakan program yang julung-julung kali diadakan bagi memberi galakan kepada penghuni kolej kediaman UMS untuk berbasikal secara berkumpulan ke luar kampus.
Perjalanan yang bermula seawal jam 6.30 pagi dari Masjid Universiti Malaysia Sabah ke Tanjung Lipat disertai seramai 16 orang peserta dan diketuai oleh Pengetua Kolej Kediaman Tun Mustapha, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin serta beberapa orang marshal yang menaiki motosikal dan kereta bagi mengawal keselamatan peserta.
Para peserta yang terdiri dari wakil Kolej Tun Mustapha, Kolej Tun Fuad dan Kolej E, seterusnya terlibat dengan berbasikal beramai-ramai dengan masyarakat luar sempena program Sunday Family Ride anjuran Kerajaan Negeri Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di Taman Awam Tanjung Lipat.
Selain aktiviti berbasikal, program tersebut bertujuan untuk menggalakkan mahasiswa UMS mempertingkatkan kemahiran komunikasi dua hala bersama masyarakat luar.
Menurut salah seorang peserta, Muhammad Fadhli Ahadin, beliau sangat berpuas hati kerana dapat menyertai program tersebut yang dilihat santai dan menyeronokkan.
Manakala, bagi Darshene Subraniam pula, beliau menyatakan bahawa program tersebut adalah suatu program yang memberikan pengalaman yang baru buat beliau di samping dapat merasakan keterikatan hubungan silaturahim antara para peserta.
Dr. Mohamad Nizam yang juga pensyarah Sains Sukan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan turut berharap agar lebih ramai lagi yang akan turut menyertai aktiviti berbasikal ini di masa akan datang.
Bagi beliau, sebagai mahasiswa, adalah perlu untuk meluangkan masa untuk beriadah dan aktiviti berbasikal adalah salah satu daripadanya.
“Selain daripada menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan oleh pensyarah, mahasiswa perlu juga menjadikan aktiviti berbasikal sebagai rutin harian seperti ke kuliah sebagaimana saranan membudayakan berbasikal di kampus oleh Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor HEP UMS,” ujarnya.
Sumber: Siti Khodijah Mohd Rashid, KKTM



RABU, 9 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengukuhkan lagi jalinan kerjasama bersama agensi kerajaan melalui kerjasama bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia.
SELASA, 8 MAC - Geran penyelidikan CIMB Foundation yang diberikan kepada tiga pensyarah program Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dimanfaatkan sebaik mungkin dengan penganjuran 3rd CIMB Run For Life.
SELASA, 8 MAC - Exco Pembangunan Sahsiah, Jawatan Kuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Wacana Intelektual Menanggapi Ancaman Ekstremisme yang bertempat di Dewan Serbaguna KKTM baru-baru ini.
ISNIN, 7 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) telah mengadakan kutipan amal bagi membantu dan meringankan sedikit beban mangsa-mangsa banjir di Kuching, Sarawak baru-baru ini.