SELASA, 7 MEI – Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaysia Sabah (KEKAUMAS) terus komited dalam usaha membela nasib ahli-ahlinya melalui sumbangan bantuan kebajikan kepada kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang telah berpencen serta sumbangan khairat kematian kepada kakitangan yang kehilangan ahli keluarga.

Sumbangan disampaikan oleh Presiden KEKAUMAS, Abdul Jalil Sapli kepada 12 penerima bantuan yang terlibat dalam satu majlis yang berlangsung di Perpustakaan Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS baru-baru ini.

Menurut Abdul Jalil, diharapkan sumbangan tersebut mampu membantu meringankan beban yang dipikul oleh ahli-ahli KEKAUMAS yang menerima bantuan tersebut.

“Kepada para pesara UMS, diharap anda semua tetap sihat dan berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi selepas bersara dari perkhidmatan,” katanya.

Hadir sama menyaksikan penyerahan bantuan tersebut para ahli jawatankuasa KEKAUMAS.  

SELASA, 7 MEI - Pihak pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan kolej kediaman perlu melakukan audit keselamatan dan melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang efisien bagi mencegah kemalangan, kejadian berbahaya dan penyakit.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata audit keselamatan secara tahunan perlu diwajibkan untuk kolej kediaman yang berusia lebih 10 tahun.

Katanya, audit keselamatan secara berkala serta budaya penyelenggaraan amat penting bagi memastikan aspek keselamatan terjamin sepanjang masa.

"Kita tidak tahu tahap keselamatan di kolej-kolej kediaman seluruh negara kerana tiada kajian menyeluruh dibuat.

"Mungkin perlu dilaksanakan audit keselamatan di semua kolej kediaman ini agar dapat dinilai tahap keselamatan dan segala kelemahan dapat diperbaiki," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Seminar KKP di Kolej Kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat ke-2, UMS.

Tambah beliau, beberapa kajian yang dijalankan di kolej kediaman sebelum ini menunjukkan pelbagai kelemahan termasuk ketiadaan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP), pintu rintangan api serta alat pemadam api tidak mencukupi manakala tempat berkumpul serta papan tanda arah keluar juga tidak kelihatan.

"Ada juga kolej kediaman yang langsung tidak melaksanakan latihan kebakaran atau "fire drill" manakala tahap kesedaran KKP masih rendah dalam kalangan penghuni yang terdiri daripada para siswa-siswi," katanya.

Justeru, beliau berkata NIOSH menyokong hasrat Pusat Perumahan Pelajar dan Hospitaliti (PPPH) UMS untuk memperolehi Pensijilan ISO45001:2018 dan ini merupakan langkah proaktif yang wajar dicontohi IPT lain termasuk yang telah memperolehi pensijilan OHSAS 18001 atau pensijilan yang lain.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali ketika menyampaikan teks ucapan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, seminar yang dijayakan oleh PPPH bersama-sama Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) UMS dan Majlis Pengetua-Pengetua Kolej Kediaman (MaPeK) UMS adalah bertujuan untuk memberi kesedaran akan kepentingan KKP di Kolej Kediaman berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Di samping itu, kita juga mahu meningkatkan pemahaman pelajar dan kakitangan tentang tanggungjawab berkaitan KKP di tempat kerja, selain pengetahuan terhadap prinsip asas pencegahan kemalangan dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil, serta membudayakan kerja selamat dan sihat dalam kalangan pelajar dan kakitangan,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah PKKP, Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman; Pengerusi MaPeK, Dr. Fredie Robinson; dan Pengarah PPPH, Talib Abdullah Shani.

ISNIN, 6 MEI - Fasa kedua projek ‘Twinning Water Village Sabah and Brunei’ berjaya dianjurkan baru-baru ini oleh pelajar Projek Rundingcara Perhubungan Awam (PRPA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kampung Tamoi, Brunei.

Pengarah Projek, Saufi Akmaluddin Sabli berkata, projek ini bermatlamat mewujudkan konsep kampung air berkembar yang melibatkan Kampung Weston, Beaufort, Sabah dengan Kampung Tamoi, Brunei dari aspek budaya dan tradisi yang merangkumi jenis makanan tradisional, tarian tradisi dan sebagainya.

“Projek ini juga berfungsi bagi mewujudkan kerjasama antara kedua-dua kampung air ini dengan Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS),” katanya.

Penghulu Mukim Tamoi, Pengarah Awang Haji Mokti Mohd. Salleh pula berkata, sememangnya tidak wujud perbezaan dari segi budaya makanan dan tarian antara Kampung Weston dengan Kampung Ayer di Brunei ketika menonton video yang menayangkan aktiviti yang dilaksanakan oleh pelajar PRPA semasa fasa pertama di Weston sebelum ini.

“Saya amat berterima kasih dengan penganjuran program ini dan berharap agar ia dapat dijadikan kenangan sehingga akhir hayat,” tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PMBS, Haji Saat Awang Damit berkata, sekiranya projek ini terus dilaksanakan, ia mampu menyatukan kedua-dua masyarakat Brunei yang tinggal di Sabah dan negara Brunei.

“Tentu sekali program ini yang bermaksud ‘twin’ dapat melihat dan menyerap kedua-dua kemajuan dan persamaan di antara kedua-dua kampung air ini sebagai satu model pembangunan masyarakat.

“Kerjasama dan keharmonian hidup antara masyarakat Kampung Air di Tamoi dan Weston mampu menjadi teladan yang boleh dicontohi,” katanya lagi.

Antara kebudayaan masyarakat Kampung Tamoi yang diperkenalkan kepada para pelajar PRPA 2019 adalah aktiviti ‘Bermukun’ dan anyaman ‘Bayung Tambuni’ yang merupakan kesenian Brunei, dan pembuatan kuih ‘Penyaram’ dan kuih ‘Calak’ yang merupakan makanan tradisi Brunei.

Turut hadir ke acara ini, Penaung PRPA 2019, Dr. Syahruddin Awang Ahmad dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej Kediaman Excellent UMS.       

Acara ini juga turut mendapat tajaan dari Sriho Auto Parts Sdn. Bhd.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

                                                                                                                  

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

ISNIN, 6 MEI - Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Teknik Penghasilan Kompos di SK Tambulaong, di sini, baru-baru ini.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKJ, Dr. Abu Zahrim Yaser berkata, ia merupakan salah satu inisiatif fakulti dalam melaksanakan  pemindahan ilmu (knowledge transfer) dari universiti kepada komuniti.

"Pada program ini FKJ menyampaikan hasil penyelidikan dan inovasi kepada pihak sekolah serta komuniti di Kampung Tambulaong tentang teknik pengkomposan dan pengurusan sisa pepejal di Sabah. 

"Selain dapat mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, pengkomposan juga adalah teknik bagi menukarkan sisa organik kepada baja.

"Dalam masa yang sama, aktiviti ini turut memberi peluang kepada para pelajar UMS untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat dan seterusnya meningkatkan kemahiran insaniah mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Pada program tersebut, Dr Abu Zahrim yang juga merupakan penyelidik yang berjaya menghasilkan penyelidikan dan inovasi berkenaan turut melakukan demonstrasi  kepada semua yang hadir tentang penggunaan tong kompos yang direkabentuk di Fakulti Kejuruteraan.

Sementara itu, Guru Besar SK Tambulaong, Noraida Hj. Lamsari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada FKJ UMS atas penganjuran program yang sangat bermanfaat dan memberi pengetahuan baru kepada pihak sekolah dan penduduk kampung.

"Saya berharap kerjasama ini dapat dipergiatkan lagi pada masa akan datang agar komuniti menjadi lebih cakna dan berpengetahuan mengenai kompos," katanya.

Fakulti Kejuruteraan UMS turut menyampaikan tong kompos kepada SK Tambulaong sebagai simbolik kolaborasi.

Program sehari itu juga dijayakan oleh 24 pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Kimia UMS yang mengadakan pembentangan poster.

Hadir sama Biro Pendidikan dan Inovasi, Edwin Lumbating; Ketua Kampung Tambulaong, Kungin Lout; serta para ibu bapa dan pelajar SK Tambulaong. 

 

JUMAAT, 03 MEI -  Program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protege) menyasarkan untuk memberi latihan keusahawanan dan kebolehpasaran kepada sekurang-kurangnya 15,000 mahasiswa seluruh negara pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata program Protege berperanan dalam membimbing belia dengan kerjasama industri ke arah melahirkan ramai usahawan kompetitif selain bersedia ke pasaran global dengan kemahiran bagi memenuhi keperluan industri semasa.
Program itu, katanya dilihat mampu menjadi platform dalam merealisasikan fokus kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan.
“Protege mampu memberi kesan tinggi dalam melahirkan usahawan yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa kerana program ini turut disokong oleh beberapa agensi lain termasuk MAGiC (Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia) selain programnya juga menyeluruh.
“Selain itu, kita (tidak mustahil) mampu mewujudkan sehingga 60,000 peluang pekerjaan menerusi mahasiswa dilatih menjadi usahawan di bawah program Protege ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada program kesedaran Protege di Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.
Turut hadir Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin dan Ketua Sekretariat Protege Norashikin Ismail.
Program kesedaran Protege itu berjaya menjangkau seramai 17,000 mahasiswa seluruh negara sejak ia dilancarkan pada 28 Jan lepas, dan UMS adalah universiti terakhir bagi penganjurannya pada penggal ini sebelum ia disambung semula mulai September depan di enam lagi universiti.
Mohd Redzuan berkata kementeriannya komited untuk memastikan belia Malaysia tidak hanya bergantung kepada makan gaji, sebaliknya memilih bidang keusahawanan sebagai bidang kerjaya apabila menamatkan pengajian.
Belia juga perlu lebih proaktif selain menjadikan diri mereka sebagai pencipta pekerjaan dan bukan pencari pekerjaan bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran, katanya.

Sumber: BERNAMA