KHAMIS, 11 APRIL 2019 – Seramai 60 orang kakitangan pentadbiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari pelbagai skim perkhidmatan telah dinaikkan pangkat dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Kafe D’Sireh, UMS hari ini.

Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof berkata, proses penilaian kenaikan pangkat yang bermula sejak 2 Januari 2019 lalu turut memperkenalkan pendekatan 360 darjah.

“Selain dari proses temu duga dan penilaian daripada ketua jabatan, penilaian unik ini turut mengambil input dari rakan sepejabat kakitangan yang memohon kenaikan pangkat ini.

“Menerusi proses tersebut juga, kakitangan diuji dengan beberapa kemahiran termasuklah berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, selari dengan UMS sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang bertaraf global.

“Selain memberi motivasi, kita percaya bahawa proses yang telah dilalui oleh kakitangan ini berupaya mencungkil dan memantapkan lagi bakat kepimpinan sedia ada mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, Jabatan Pendaftar akan berbincang dengan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UMS mengenai usaha meningkatkan kemahiran berbahasa lain kepada kakitangan seperti bahasa Mandarin yang kian meningkat popular sebagai bahasa perniagaan global sesuai dengan kapasiti UMS yang tuntas meningkatkan keterlihatannya di peringkat antarabangsa.

Dalam majlis tersebut juga, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin memuji usaha Jabatan Pendaftar kerana berjaya meningkatkan peratusan kenaikan pangkat tahun ini kepada 61 peratus.

“Ini memberikan indikasi bahawa UMS sentiasa melihat proses kenaikan pangkat ini sebagai satu usaha yang boleh meningkatkan lagi daya saing kakitangan terlibat.

“Saya juga menyeru agar semua kakitangan menunjukkan prestasi yang membanggakan dan mengagumkan agar bakat kepimpinan yang ditunjukkan sebelum ini dapat memberikan manfaat kepada universiti, masyarakat dan negara amnya,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul; Ketua Pustakawan, Zawawi Tiyunin; Ketua Bahagian Sumber Manusia, Mohd Raffie Janau serta pegawai-pegawai kanan UMS.

 

KHAMIS, 11 APRIL - Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menganjurkan Ceramah Kesedaran Insolvensi Penjawat Awam untuk warganya, baru-baru ini.

Ceramah yang bertujuan memberi kesedaran kepada para kakitangan tentang risiko muflis akibat keberhutangan serius itu disampaikan oleh Ketua Cawangan Jabatan Insolvensi Sandakan, Syamsul Amri Nordin.

Menurut Syamsul, keberhutangan serius bukan sahaja menjejaskan prestasi seseorang kakitangan malah boleh membawa kepada kes berat seperti gejala rasuah.

"Membendung daripada awal adalah langkah bijak bagi menghindarkan diri daripada terjerumus dalam kancah hutang," jelasnya.

Pada ceramah tersebut, beliau turut berkongsi pengalaman dalam mengendalikan kes-kes tertentu, khususnya kaedah menyelesaikan hutang bagi individu yang telah diisytiharkan muflis.

Selain itu, Syamsul turut berkongsi teknik pengurusan kewangan yang betul terutama dalam pembelian aset hartanah seperti rumah.

Ceramah tersebut diadakan bertepatan dengan hasrat Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof yang dikongsikan pada Majlis Aspirasi Pendaftar baru-baru ini tentang pentingnya menekankan peningkatan dalam perkhidmatan berkaitan kakitangan UMS.

KHAMIS, 11 APRIL - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk K.Y Mustafa menasihatkan setiap warga UMS agar menanamkan semangat kenegaraan dalam apa juga aktiviti yang dijalankan.

“Sebagai rakyat sesebuah negara, nilai integriti yang tinggi adalah perkara terpenting yang mesti dipahat dalam diri,” ujarnya ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Fakulti Pertanian Lestari Kampus UMS Sandakan, baru-baru ini.

Pada perjumpaan bersama lebih 400 kakitangan FPL itu, beliau turut melahirkan rasa bangga dengan peranan UMS sebagai pemacu perkembangan bidang pertanian negara.

“Pertanian adalah penting dan perlu ditingkatkan kerana makanan merupakan sumber keperluan asas kepada hidupan,” katanya.

Kehadiran julung kali beliau ke fakulti itu turut dimeriahkan dengan acara memasang pelekat pada kenderaan universiti sempena sambutan 25 tahun penubuhan UMS.

Turut hadir, Naib Canselor Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin serta Pegawai-pegawai Utama dan kanan universiti.

 

RABU, 10 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) cemerlang dalam pertandingan MIFT 11th National Food Science and Technology Competition apabila muncul sebagai juara kategori Food Bowl Quiz yang berlangsung di Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak baru-baru ini.

Pasukan A UMS yang diwakili oleh Wong Jia En, Wong Zheng Mun, Loi Sin Harn dan Tan Yaw Pang menewaskan 25 pasukan lain pada pertandingan tersebut, yang turut disertai 16 universiti di Malaysia antaranya Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Teknologi MARA, Universiti Sultan Zainal Abidin, Monash University, University College of Technology Sarawak, UCSI University, Taylor’s University, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Kuala Lumpur, Tunku Abdul Rahman University College, Management and Science University, dan Universiti Tun Hussein Onn.

Kejayaan tersebut sekali gus melayakkan mereka untuk mewakili Malaysia ke pertandingan Food Bowl Quiz peringkat ASEAN yang akan diadakan pada 15-18 Oktober 2019 di Bali, Indonesia bersempena dengan 16th ASEAN Food Conference 2019.

Pertandingan MIFT 11th National Food Science and Technology Competition merupakan acara yang dianjurkan setiap dua tahun oleh Malaysian Institute of Food Technology (MIFT) dengan kerjasama universiti awam dan swasta yang menawarkan program Sains dan Teknologi Makanan.

Pada pertandingan tersebut, peserta UMS turut diiringi oleh delegasi UMS yang diketuai Dekan FSMP, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani dan disertai beberapa kakitangan akademik yang lain termasuk Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FSMP, Prof Madya Dr. Hasmadi Mamat dan pensyarah kanan FSMP, Prof. Dr. Chye Fook Yee.

KHAMIS, 11 APRIL 2019 - Pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini telah dilengkapi dengan program Pensijilan Profesional Huawei Certified ICT Associate (HCIA) daripada syarikat teknologi komunikasi terkemuka dunia itu sebagai nilai tambah kepada mereka.

Dekan FKI, Prof. Madya Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim (gambar) berkata, ia merupakan antara inisiatif UMS dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui jalinan kerjasama pihak industri di dalam kampus.

“Bagi menjayakan program pensijilan ini,  FKI dan Huawei telah menubuhkan Huawei ICT Academy yang mana semua kursus dan latihan dijalankan dalam ruang akademi yang terletak di tingkat 5, bangunan FKI.

“Pelajar UMS sangat beruntung kerana program HCIA yang bernilai belasan ribu ini, memberikan latihan, kemahiran dan pengetahuan berasaskan produk sebenar Huawei” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah, di sini hari ini.

Menurut Prof. Madya Dr. Ag. Asri, program pensijilan profesional itu terbuka kepada semua pelajar yang berminat khususnya pelajar program Ijazah Sains Komputer (Kejuruteraan Rangkaian).

Katanya, program ini bukan mudah dan memerlukan peserta sekurang-kurangnya mempunyai pengetahuan dalam sistem rangkaian komputer.

“Hanya mereka yang lulus dalam peperiksaan yang dilaksanakan oleh pihak Huawei sendiri sahaja yang akan menerima sijil profesional yang akan menjadi satu kelebihan apabila bergelar graduan kelak.

“Seperti yang kita sedia maklum, para majikan masa kini amat menitikberatkan pengalaman atau nilai tambah dalam mencari pekerja di organisasi masing-masing.

“Sehubungan dengan itu, pelajar yang mempunyai sijil profesional ini mempunyai peluang yang lebih tinggi berdasarkan kemahiran yang diiktiraf di samping ijazah sarjana muda yang dimiliki,” katanya.