KHAMIS, 20 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjalinkan satu kolaborasi pintar bersama agensi kerajaan dan syarikat swasta yang menjadi pemain industri dalam bidang asas tani.

Kolaborasi pintar tersebut yang melibatkan UMS bersama pemain industri akuakultur, Enrich Marine Sdn. Bhd., Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah dan Yun Fook Resources Sdn. Bhd. dimeterai dalam satu majlis yang berlangsung di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.

UMS diwakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menandatangani dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) bersama JPV Sabah, manakala JPV Sabah diwakili pengarahnya, Ir. Harun Hj Abas.

Prof. Datuk D Kamarudin kemudiannya menandatangani Surat Hasrat (LoI) bersama-sama kedua-dua syarikat, dengan Enrich Marine Sdn. Bhd. diwakili pengarah projek, Wu Lian; dan Yun Fook Resources Sdn Bhd diwakili pengarah urusan, Datuk Yap Yun Fook.

Pemeteraian MoU bersama JPV Sabah menyaksikan pelbagai aktiviti seperti perkongsian haiwan ternakan, guna sama fasiliti makmal dan perkongsian kepakaran dalam pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan dijalankan Fakulti Pertanian Lestari UMS dan JPV Sabah.

Bagi kerjasama dengan Enrich Marine Sdn. Bhd., syarikat itu memperuntukkan RM1 juta  untuk kedua-dua pihak terlibat dalam penyelidikan berkaitan udang kara, dengan projek penyelidikan ini akan membangun teknologi penternakan udang kara secara mampan mengguna pakai kemudahan dan kepakaran yang ada di Institut Penyelidikan Marin Borneo, UMS dan Enrich Marine.

Kerjasama bersama Yun Fook Resources Sdn. Bhd. pula menyaksikan UMS melalui Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan akan mengadakan program kerjasama khas universiti-industri untuk membangunkan Projek Ladang Penyelidikan dan Arboretum Germplasma Durian, dengan Arboretum dan ladang penyelidikan durian tersebut akan menempatkan klon hampir sembilan spesies durian dengan sebahagian daripada durian liar tersebut hanya boleh didapati di Sabah dan sekitar Borneo.

Hadir sama menyaksikan pemeteraian kerjasama tersebut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Dato’ Haji Salahuddin Ayub.

KHAMIS, 20 SEPTEMBER  – Seramai 15 peserta terdiri daripada pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS), kakitangan UMS, Pramugari MASwings dan Pengacara Astro Awani  menyemarakkan sambutan Hari Malaysia melalui program Kibarkan Jalur Gemilang dan 14 bendera negeri di puncak Gunung Kinabalu, kelmarin.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali berkata, program yang julung kalinya dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) itu bertujuan untuk menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar dan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Selain sebagai salah satu cara menzahirkan rasa “Sayangi Malaysiaku”,  para pendaki ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental dan semangat yang tinggi untuk menawan puncak Gunung Kinabalu sekali gus mengibarkan Jalur Gemilang dan 14 bendera negeri di Malaysia.

“Dalam masa yang sama,  program ini juga satu wadah yang untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pelbagai agensi yang terlibat yang mewujudkan interaksi serta perkongsian ilmu dalam kalangan para peserta pendakian kali ini,” katanya selepas menyempurnakan pelepasan peserta di Timpohon Gate, Kinabalu Park.

Salah seorang pendaki, Cabin Crew MASwings, Leslie Vitalis ketika ditemui media berkata, ia merupakan pendakian pertama kali yang disertainya dan merasa teruja dan sangat bersemangat apatah lagi ia diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia.

“Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada pihak UMS kerana menganjurkan program yang amat bermanfaat khususnya dalam meningkatkan kesedaran dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda hari ini,” ujarnya.

Turut hadir pada program itu, Ketua Jabatan JHEP UMS, Ahmadi Nurdin dan Pegawai Eksekutif Maswings, Aminuddin Zakaria.

RABU, 19 SEPTEMBER - Seramai 95 peserta menyertai Seminar Kelestarian 2018: Ke Arah Masyarakat Lestari yang dianjurkan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Malaysia; Tokushima University, Jepun; dan José Rizal University, Filipina kelmarin.

Seminar dengan kerjasama Jurnal Pembangunan Wilayah BIMP-EAGA itu berlangsung selama sehari di Hotelab FPEP.

Pengerusi penganjur, Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul  berkata, penganjuran Seminar Kelestarian 2018 antara lain diadakan sebagai wacana akademik bagi isu kemampanan yang merupakan isu global pada masa kini.

“Sebanyak tiga ucap utama dan 22 kertas kerja ilmiah dari pelbagai jabatan dari ketiga-tiga universiti di Malaysia, Jepun dan Filipina dibentangkan pada seminar ini.

“Kertas kerja yang dibentangkan antara lain meliputi bidang kelestarian yang terikat dengan isu seperti kemiskinan, reka bentuk sosial, pengkomersialan, penyertaan masyarakat, pendidikan dan kehidupan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada  seminar tersebut.

Dr. Awangku Hassanal berkata, seminar itu juga menghubungkan idea dan hasil penyelidikan antara bidang sains dan kemanusiaan terutamanya dalam aplikasi dan pembangunan kelestarian kepada masyarakat secara menyeluruh.

“Kesemua kertas kerja dari seminar ini akan diterbitkan dalam Jurnal Pembangunan Wilayah BIMP-EAGA,” ujarnya lagi.

Seminar kali ke-4 itu dirasmikan Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Dr. Kamisan Pusiran.

SELASA, 18 SEPTEMBER - Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan seminar mengenai Analisis Mikrodata Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia.

Seminar sehari itu memberi peluang kepada kira-kira 200 pelajar dari FSSA dan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) untuk melihat dengan lebih jelas mengenai kepentingan mikrodata dalam kajian dan penyelesaian pelbagai isu di Malaysia.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, penganjuran julung kalinya itu merupakan kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2015.

“Dengan perubahan pantas yang disebabkan oleh globalisasi dan pembangunan teknologi, terdapat peningkatan yang lebih besar dari segi permintaan data dan maklumat statistik mengenai reaksi pengendali ekonomi individu sama ada dalam perniagaan mahupun isi rumah,” ujarnya.

Tambah beliau, penggunaan mikrodata yang relevan dapat meningkatkan potensi untuk memberikan pandangan-pandangan baharu bagi menggubal dasar di Malaysia.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FSSA, Profesor Dr. Baba Musta.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, Profesor Dr. Ho Chong Mun yang juga merupakan Pengerusi Penganjur berkata, sebanyak lapan kertas kerja dibentangkan pada seminar kali ini.

“Hasil daripada seminar ini bukan sahaja untuk tujuan akademik tetapi juga sebagai input kepada perancangan dan pembangunan masa depan negara,”jelasnya.

Pada seminar tersebut, turut diselitkan forum bertajuk ‘Analisis Mikrodata Malaysia : Isu dan Langkah Seterusnya’ yang menampilkan tiga orang panel iaitu Pengarah Bahagian Integrasi dan Pengurusan Data Jabatan Perangkaan Malaysia, Siti Haslinda Mohd Din; Pengarah Sektor Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Azmel Mahmud serta Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Profesor. Dr. Ong Seng Huat.

SELASA, 18 SEPTEMBER – Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Sesi Dialog Hubungan Antarabangsa dan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) bagi sesi 2018/2019 di Auditorium Pusat Pascasiswazah, baru-baru ini.

Sesi Dialog Hubungan Antarabangsa itu disampaikan oleh Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Dato’ Saifuddin ketika ditemui media berkata, dialog bersama mahasiswa itu mempunyai dua matlamat penting iaitu yang pertama untuk menerangkan tentang Dasar Luar Malaysia.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Dasar Luar Malaysia bukan hanya semata-mata terhadap perkara yang berlaku di luar negara sahaja tetapi ada kaitan sangat rapat dengan apa yang berlaku di dalam negara.

“Dan yang kedua, sesi ini juga adalah sebagai ruangan untuk mendengar pandangan dan idea para mahasiswa berkaitan dengan dasar luar tersebut,” katanya.

Dato’ Saifuddin turut menyempurnakan penyampaian watikah pelantikan kepada 10 Yang Dipertua JAKMAS yang mewakili seluruh JAKMAS kolej kediaman UMS bagi sesi 2018/2019.

Hampir 200 peserta hadir pada majlis tersebut termasuk 94 orang pelajar antarabangsa.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; Pegawai Utama dan Kanan UMS dan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).