SELASA, 16 OKTOBER - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menyeru agar semua pihak sentiasa berganding bahu menangani masalah penyalahgunaan dadah.

“Penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mampu mengawal situasi ini, perang ke atas penagihan dadah ini baik dari sudut pencegahan, rawatan dan pemulihan perlu mempunyai kesinambungan dan skala yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, bukan setakat itu sahaja, sebaliknya ia harus diperhebat dan diperkasakan lagi.

“Kita telah dikurniakan akal dan lidah yang membolehkan kita menyusun kata, merungkai makna, mengungkap pandangan dan menzahirkan pendapat, maka gunakanlah nikmat tersebut untuk membentuk perjuangan ini untuk memastikan isu ini dapat dituntas sehingga ke akar umbi,” tambahnya.

Beliau berkata demikian sempena majlis perasmian Seminar Interaktif Peringkat Kebangsaan 2018 (SHARP7) anjuran Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Izhar Abu Talib.

Datuk Azis turut menyarankan AADK dan UMS berkolaborasi merangka satu pendekatan untuk menggerakkan seluruh alumni Speciality Program in Alcohol and Drug Abuse (SPADA) khususnya di Sabah bagi membantu di dalam gerakan gelombang pendidikan pencegahan dan rawatan pemulihan.

“Ini bagi membolehkan kemahiran mereka sebagai seorang pakar kaunseling penyalahgunaan dadah tidak sia-sia begitu sahaja,” katanya lagi.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapannya berkata, seminar yang digerakkan SPADA UMS itu berhasrat menjadi pencetus pentas percambahan ilmu seiring dengan hasrat kerajaan dalam membasmi penyalahgunaan dadah secara holistik.

“Penganjuran SHARP7 pada tahun ini bertujuan untuk terus mempergiatkan segala mekanisme, usaha dan strategi bagi memastikan isu penyalahgunaan dadah ini dapat ditangani secara inklusif dan komprehensif.

“Selain itu, kefahaman yang diperoleh dari seminar ini bukan sekadar diperlihatkan di atas sijil penyertaan semata-mata tetapi seharusnya dikembangkan kepada seluruh masyarakat yang berada di luar sana,” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan Hj. A. Malek.

Bertempat di Dewan Resital UMS, seminar itu disertai 450 peserta melibatkan penjawat awam dan pelajar UMS.

Hadir sama Pengarah UMS Kampus Antabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Murnizam Hj. Halik dan Pengarah SHARP7 2018, Majer Ismail Merah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

KHAMIS, 11 OKTOBER – Program  Entrepreneur Talk anjuran Pusat Kerjaya Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung di Auditorium Pascasiswazah baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar dan alumni UMS.

Pengarah Pusat Kerjaya UMS, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng berkata, penganjuran program itu bertujuan memberi maklumat dan pendedahan keusahawanan secara langsung kepada peserta melalui interaktif antara peserta dan ahli panel.

“Program ini turut memberi ruang kepada alumni UMS berkongsi pengalaman, kejayaan dan cabaran dalam pembangunan keusahawanan di samping sebagai platform perbincangan untuk mengenali lebih dekat tentang keusahawanan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Dr. Lai turut menyuarakan harapan agar program sedemikian dapat dilaksanakan pada masa-masa akan datang bagi memberi peluang kepada pelajar UMS untuk menimba ilmu daripada mereka yang  telah berjaya sebagai usahawan.

“Menerusi program ini, empat ahli panel telah didatangkan khas dalam satu sesi forum santai iaitu Ketua Pegawai Eksekutif G&A Group Sabah, Dato’ George Lim Su Chung; Medical Doctor Medisinar Klinik and Surgeri (Cawangan Menggatal), Dr. Moy Chun Keat (M.D); Pemilik Martial Art and Fitness Centre, Johan Julian Lee Abdullah; serta Produser dan Pengarah Filem dari Froggy Planet Sdn Bhd, Katak Chua,” jelasnya.

Program sehari itu dihadiri 130 peserta dan dikendalikan seorang moderator yang juga alumni UMS yang merupakan Pengurus Sriho Autoparts Sdn Bhd, Wong Tze Sheng.

 

KHAMIS,  11 OKTOBER - Tadbir urus yang baik dalam pentadbiran pendidikan mampu meningkatkan penyampaian dalam sistem pendidikan, sekali gus memperkukuhkan keyakinan masyarakat dan seterusnya menggalakkan mereka untuk lebih berusaha mencapai taraf pendidikan yang lebih baik.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, elemen komunikasi yang baik dalam tadbir urus di antara institusi pendidikan dan masyarakat amatlah perlu dalam menyampaikan maklumat pendidikan yang tepat.

“Komunikasi tidak dapat dipisahkan dengan aktiviti pelaporan yang menjadi medium utama dalam proses penyampaian maklumat.

“Dengan komunikasi yang baik, tadbir urus yang baik dalam institusi pendidikan dapat ditonjolkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang yang mewakili beliau merasmikan Seminar Kreativiti, Inovasi dan Kualiti dalam Sektor Pendidikan Awam Di Negeri Sabah di Dewan Bankuasi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pagi tadi.

Tambah beliau, bagi mencapai objektif penyampaian maklumat ke semua peringkat masyarakat, maka penganjuran seminar itu bertepatan dalam menggalakkan perbincangan dan perkongsian ilmu dan idea tentang cabaran yang dihadapi oleh institusi pendidikan secara keseluruhannya bagi mengetengahkan penyampaian maklumat pendidikan kepada masyarakat.

Terdahulu, Pendaftar UMS, No’man Haji Ahmad ketika berucap mewakili Naib Canselor UMS,  Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, penganjuran seminar buat julung kalinya itu adalah komitmen Bahagian Pengurusan Kualiti, Jabatan Pendaftar UMS dalam mempromosi dan menyebarluaskan dasar, program dan inisiatif berkaitan kreativiti dan inovasi kepada semua lapisan rakyat.

“Semua dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan di sektor awam adalah bertujuan untuk memudahkan urusan pelanggan dan menyebarluaskan penyampaian maklumat menerusi penggunaan aplikasi ICT secara maksimum.

“Untuk itu, program ini dirancang sebegitu rupa bagi membolehkan banyak peluang, maklumat, pendedahan dan perkembangan yang dikongsi kepada para peserta yang hadir,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif Kaizen Institute, Dato’ Shahril Goh Fadhil dan Ketua Kecemerlangan Operasi Sime Darby, Azman Shah Mohamed Noor sebagai penceramah jemputan.

KHAMIS, 11 OKTOBER - Pihak pengurusan Pusat Pendidikan Perubatan Desa (PPPD), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan sesi latihan kebakaran (Fire Drill) di PPPD Sikuati, Kudat baru-baru ini.

Menurut Ketua PPPD, Prof. Madya Dr. Tin Tin Aye, latihan yang mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Kudat itu melibatkan 27 kakitangan PPPD dan 12 anggota bomba.

“Latihan kebakaran ini bertujuan untuk memberi latihan  dan mengukur kesiapsiagaan kakitangan dan pelajar di PPPD dalam menghadapi ancaman risiko kebakaran,” katanya.

Dalam pada itu, Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree memaklumkan bahawa sesi latihan kebakaran ini akan diteruskan secara berkala.

“Ini adalah bagi memastikan pengurusan risiko FPSK berada dalam tahap terbaik, selain memastikan kakitangan serta pelajar sentiasa bersedia menghadapi situasi kecemasan seperti itu.

“Setinggi-tinggi terima kasih juga diucapkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Kudat yang telah memberikan bimbingan dan kerjasama padu dalam menjayakan sesi latihan kebakaran ini,” ujar beliau.

KHAMIS, 11 OKTOBER  - Proses Penamaan Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjalan lancar kelmarin di kampus induk UMS termasuklah di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) dan Kampus Cawangan Sandakan.

Penamaan Calon  itu yang bermula pukul 9.00 hingga 11.00 pagi menyaksikan seramai 25 calon bakal bertanding bagi merebut 10 Kerusi Umum pada PMPP yang dijalankan serentak pada 17 Oktober ini.

Daripada jumlah tersebut, 17 calon akan bertanding bagi tujuh kerusi di UMS Kota Kinabalu, lima calon untuk dua kerusi di UMSKAL dan tiga calon bertanding untuk satu kerusi di UMS Kampus Sandakan.

Bagi Kerusi Fakulti, sebanyak lima fakulti di kampus induk telah mencatatkan kemenangan calon tanpa bertanding.

Fakulti tersebut ialah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Turut merekodkan calon menang tanpa bertanding ialah Kerusi Fakulti untuk Pusat Pengajian Pascasiswazah.

Fakulti selebihnya iaitu Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) masing-masing akan ditentukan pada proses pemilihan nanti.

Dalam pada itu, di UMSKAL calon-calon akan bertanding bagi merebut dua kerusi Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan satu kerusi untuk FKI Labuan.

Senario itu turut dirasai di Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS Kampus Sandakan menerusi empat calon yang bertanding untuk dua Kerusi Fakulti.

Sehubungan itu, para pelajar UMS yang layak mengundi dipelawa untuk menunaikan tanggungjawab bagi membuang undi pada tarikh ketetapan tersebut.