JUMAAT, 14 SEPTEMBER - Persidangan Jubli Emas Konsortium Akademik Kesihatan Awam Asia Pasifik (APACH) diharap mampu menjadi pemangkin bagi pengurusan yang lebih baik dalam cabaran kesihatan awam di rantau ini.

Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusuf Yacob berkata, kewujudan APACH sangat membantu semua negara di rantau Asia Pasifik, termasuk Sabah dan Malaysia amnya untuk meningkatkan pengurusan isu kesihatan awam ke tahap yang lebih baik.

“Walaupun Malaysia telah banyak mencapai peningkatan dalam penjagaan kesihatan, tetapi kami masih mempunyai beberapa ancaman kesihatan terutama dari segi penyakit berjangkit dan tidak berjangkit,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis makan malam persidangan itu di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu, semalam.

Datuk Dr. Yusuf turut mengucapkan tahniah kepada APACH atas pencapaian untuk menganjurkan persidangan jubli emas tersebut.

“Saya tahu ia memerlukan ketekunan yang tinggi dan kerja keras untuk mencapai tahap ini.

“Saya yakin persidangan ini pastinya menjadi pemangkin ke arah meningkatkan kapasiti serantau untuk meningkatkan pengurusan dan membendung secara berterusan cabaran kesihatan awam yang utama,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Dekan FPSK UMS, Prof. Dr. Saffree Jeffree; dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merangkap Ketua Jabatan Komuniti dan Perubatan Keluarga, Datuk Dr. Yusof Haji Ibrahim.    

JUMAAT, 14 SEPTEMBER - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Dekan Kesihatan Universiti Awam (UA) Malaysia kali ke-2 tahun 2018.

Mesyuarat yang berlangsung semalam itu dihadiri 12 Dekan Fakulti Sains Kesihatan dengan dipengerusikan oleh Prof. Dr. Bariah Mohd. Ali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohd. Saffree Jeffree dalam ucapannya berkata, pihak UMS sangat mengalu-alukan kehadiran semua ahli Majlis dan berterima kasih atas penghormatan yang diberikan untuk menjadi hos mesyuarat kali ini.

“Kita boleh berbangga atas pemilihan sebagai tuan rumah, dan UMS sentiasa dengan tangan terbuka sekiranya dipilih lagi sebagai hos mesyuarat pada masa-masa akan datang,” katanya.

Semua ahli mesyuarat turut dibawa melawat Muzium Perubatan, Makmal Simulasi FPSK, Perpustakaan FPSK serta Akuarium dan Muzium Marin UMS.

Hadir sama Timbalan Dekan Akademik dan Pengantarabangsaan FPSK, Dr. Fairrul Kadir dan Setiausaha Mesyuarat dari UKM, Khairatul Nadia Ramli.

 

Sumber: FPSK

 

JUMAAT, 14 SEPTEMBER - Pusat Minda Lestari  (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak ketinggalan menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan kanak-kanak menjelang Sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Menurut Pendaftar UMS, No’man Haji Ahmad, program tersebut dapat membentuk semangat perpaduan, semangat kekitaan, keharmonian serta perasaan kasih sayang yang kukuh kepada negara.

“Kita bangkit bersama membina semangat Sayangi Malaysiaku dalam menempuh segala dugaan dan rintangan. Tanpa rasa curiga, semua anggota masyarakat perlu bersatu padu memacu keutuhan ummah kearah memartabatkan bangsa dan negara,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Sementara itu, Pengarah PML Aidah Noordin berkata sebagai rakyat Malaysia, perasaan cintakan negara perlu dipupuk ke dalam diri setiap kanak-kanak di negara ini yang mempunyai hak pendidikan sama rata walaupun mereka berbeza kaum dan agama.

"Kita haruslah berbangga dengan negara kita, bukan sekadar mendengar atau melaungkan 'Merdeka' tetapi perlu difahami, dijiwai dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian kita," ujarnya.

Katanya adalah penting juga bagi rakyat di negara ini memupuk semangat ingin merdeka daripada pemikiran negatif untuk diri sendiri serta menanam semangat sama dalam kalangan kanak-kanak, keluarga, organisasi dan juga negara.

Program anjuran bersama Putra Associates itu bertujuan menerapkan semangat patriotik ke dalam diri lebih 160 kanak-kanak yang berusia antara lima dan enam tahun di pusat berkenaan.

Antara aktiviti lain yang turut diadakan sempena sambutan tersebut ialah perarakan kemerdekaan mengibarkan Jalur Gemilang, pertandingan menghasilkan buku skrap merdeka, pertandingan nyanyian lagu-lagu patriotik dan pertandingan pakaian etnik.

KHAMIS, 13 SEPTEMBER - Cabaran yang menghalang kemajuan bidang perubatan di rantau Asia Pasifik boleh ditangani dengan perubahan pemikiran yang lebih inovatif.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, sudah tiba masanya untuk semua pihak berkepentingan saling bekerjasama dalam pembangunan kesihatan awam.

“Penyelidikan saintifik yang berterusan dalam bidang kesihatan awam mampu menghasilkan kajian yang lebih baik,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata pengamal perubatan awam juga dapat menjalani latihan yang sewajarnya serta mencapai tahan kesihatan terbaik di rantau ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pembukaan Kali ke-50 Persidangan Jubli Emas ‘Asia-Pasific Academic Consortium For Public Health’ (APACPH) 2018 yang menampilkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai tuan rumah pada tahun ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif.

“Saya percaya, visi APACPH untuk mendapat tahap kesihatan yang tinggi di semua negara dalam rantau Asia Pasifik mampu tercapai. Usaha ini juga sudah tentu membawa manfaat luas kepada seluruh negara di rantau ini termasuklah Sabah secara khususnya,” tambah beliau.

Katanya, menerusi pelbagai usaha, Malaysia telah berjaya memperoleh pencapaian yang memberangsangkan dalam memperbaiki tahap kesihatan rakyat.

“Malaysia mempunyai sistem penyampaian penjagaan kesihatan sama rata yang merangkumi liputan perkhidmtaan komprehensif,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata penjagaan kesihatan pada hari ini perlu lebih berinovatif untuk menangani isu semasa.

“Menerusi persidangan ini, ia mampu menjadi platform terbaik untuk menyelesaikan palbagai isu dan cabaran berkaitan kesihatan awam,”ujarnya.

Beliau turut menambah, pelbagai pihak perlu mengambil peluang untuk mendapatkan perkembangan terkini dan belajar dari amalan semasa yang terbaik serta strategi kesihatan awam yang memberi kesan di rantau Asia-Pasifik.

KHAMIS, 13 SEPTEMBER - Seramai 14 pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan promosi kesihatan di Kampung Kalumpang, Pitas baru-baru ini.

Kesemua pelajar daripada bidang perubatan dan kejururawatan itu berkampung selama 10 hari bagi menjalankan pemeriksaan dan taklimat kesihatan kepada penduduk setempat.

Program anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung  itu dan FPSK telah dirasmikan oleh Pegawai Perpaduan Daerah Kota Marudu/Pitas, Nasiruddin Ahmad.

Dalam ucapannya, Nasiruddin memuji usaha kedua-dua pihak atas penganjuran program yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya penduduk kampung.

Sementara itu, Penyelaras Program merangkap Pensyarah Kanan FPSK,  Dr. Meryll Grace Lansing, sambutan dan kerjasama daripada penduduk kampung adalah  amat memberangsangkan.

Bagi Dekan FPSK, Prof. Dr. Saffree Jeffree pula memaklumkan program sedemikian akan diteruskan dari masa ke semasa sebagai wadah  untuk pelajar dan warga UMS menabur bakti kepada masyarakat setempat.

Turut hadir ke majlis perasmian itu, Pengerusi KRT Kampung Kalumpang, Dzulfikri Mohd. Hairi dan Penolong Pegawai Perpaduan Daerah, Alvin Roy Ibrahim.