KHAMIS, 20 SEPTEMBER  – Seramai 15 peserta terdiri daripada pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS), kakitangan UMS, Pramugari MASwings dan Pengacara Astro Awani  menyemarakkan sambutan Hari Malaysia melalui program Kibarkan Jalur Gemilang dan 14 bendera negeri di puncak Gunung Kinabalu, kelmarin.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali berkata, program yang julung kalinya dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) itu bertujuan untuk menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar dan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Selain sebagai salah satu cara menzahirkan rasa “Sayangi Malaysiaku”,  para pendaki ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental dan semangat yang tinggi untuk menawan puncak Gunung Kinabalu sekali gus mengibarkan Jalur Gemilang dan 14 bendera negeri di Malaysia.

“Dalam masa yang sama,  program ini juga satu wadah yang untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pelbagai agensi yang terlibat yang mewujudkan interaksi serta perkongsian ilmu dalam kalangan para peserta pendakian kali ini,” katanya selepas menyempurnakan pelepasan peserta di Timpohon Gate, Kinabalu Park.

Salah seorang pendaki, Cabin Crew MASwings, Leslie Vitalis ketika ditemui media berkata, ia merupakan pendakian pertama kali yang disertainya dan merasa teruja dan sangat bersemangat apatah lagi ia diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia.

“Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada pihak UMS kerana menganjurkan program yang amat bermanfaat khususnya dalam meningkatkan kesedaran dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda hari ini,” ujarnya.

Turut hadir pada program itu, Ketua Jabatan JHEP UMS, Ahmadi Nurdin dan Pegawai Eksekutif Maswings, Aminuddin Zakaria.

RABU, 19 SEPTEMBER - Seramai 95 peserta menyertai Seminar Kelestarian 2018: Ke Arah Masyarakat Lestari yang dianjurkan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Malaysia; Tokushima University, Jepun; dan José Rizal University, Filipina kelmarin.

Seminar dengan kerjasama Jurnal Pembangunan Wilayah BIMP-EAGA itu berlangsung selama sehari di Hotelab FPEP.

Pengerusi penganjur, Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul  berkata, penganjuran Seminar Kelestarian 2018 antara lain diadakan sebagai wacana akademik bagi isu kemampanan yang merupakan isu global pada masa kini.

“Sebanyak tiga ucap utama dan 22 kertas kerja ilmiah dari pelbagai jabatan dari ketiga-tiga universiti di Malaysia, Jepun dan Filipina dibentangkan pada seminar ini.

“Kertas kerja yang dibentangkan antara lain meliputi bidang kelestarian yang terikat dengan isu seperti kemiskinan, reka bentuk sosial, pengkomersialan, penyertaan masyarakat, pendidikan dan kehidupan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada  seminar tersebut.

Dr. Awangku Hassanal berkata, seminar itu juga menghubungkan idea dan hasil penyelidikan antara bidang sains dan kemanusiaan terutamanya dalam aplikasi dan pembangunan kelestarian kepada masyarakat secara menyeluruh.

“Kesemua kertas kerja dari seminar ini akan diterbitkan dalam Jurnal Pembangunan Wilayah BIMP-EAGA,” ujarnya lagi.

Seminar kali ke-4 itu dirasmikan Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Dr. Kamisan Pusiran.

SELASA, 18 SEPTEMBER - Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan seminar mengenai Analisis Mikrodata Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia.

Seminar sehari itu memberi peluang kepada kira-kira 200 pelajar dari FSSA dan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) untuk melihat dengan lebih jelas mengenai kepentingan mikrodata dalam kajian dan penyelesaian pelbagai isu di Malaysia.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, penganjuran julung kalinya itu merupakan kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2015.

“Dengan perubahan pantas yang disebabkan oleh globalisasi dan pembangunan teknologi, terdapat peningkatan yang lebih besar dari segi permintaan data dan maklumat statistik mengenai reaksi pengendali ekonomi individu sama ada dalam perniagaan mahupun isi rumah,” ujarnya.

Tambah beliau, penggunaan mikrodata yang relevan dapat meningkatkan potensi untuk memberikan pandangan-pandangan baharu bagi menggubal dasar di Malaysia.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FSSA, Profesor Dr. Baba Musta.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, Profesor Dr. Ho Chong Mun yang juga merupakan Pengerusi Penganjur berkata, sebanyak lapan kertas kerja dibentangkan pada seminar kali ini.

“Hasil daripada seminar ini bukan sahaja untuk tujuan akademik tetapi juga sebagai input kepada perancangan dan pembangunan masa depan negara,”jelasnya.

Pada seminar tersebut, turut diselitkan forum bertajuk ‘Analisis Mikrodata Malaysia : Isu dan Langkah Seterusnya’ yang menampilkan tiga orang panel iaitu Pengarah Bahagian Integrasi dan Pengurusan Data Jabatan Perangkaan Malaysia, Siti Haslinda Mohd Din; Pengarah Sektor Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Azmel Mahmud serta Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Profesor. Dr. Ong Seng Huat.

SELASA, 18 SEPTEMBER – Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Sesi Dialog Hubungan Antarabangsa dan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) bagi sesi 2018/2019 di Auditorium Pusat Pascasiswazah, baru-baru ini.

Sesi Dialog Hubungan Antarabangsa itu disampaikan oleh Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Dato’ Saifuddin ketika ditemui media berkata, dialog bersama mahasiswa itu mempunyai dua matlamat penting iaitu yang pertama untuk menerangkan tentang Dasar Luar Malaysia.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Dasar Luar Malaysia bukan hanya semata-mata terhadap perkara yang berlaku di luar negara sahaja tetapi ada kaitan sangat rapat dengan apa yang berlaku di dalam negara.

“Dan yang kedua, sesi ini juga adalah sebagai ruangan untuk mendengar pandangan dan idea para mahasiswa berkaitan dengan dasar luar tersebut,” katanya.

Dato’ Saifuddin turut menyempurnakan penyampaian watikah pelantikan kepada 10 Yang Dipertua JAKMAS yang mewakili seluruh JAKMAS kolej kediaman UMS bagi sesi 2018/2019.

Hampir 200 peserta hadir pada majlis tersebut termasuk 94 orang pelajar antarabangsa.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; Pegawai Utama dan Kanan UMS dan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

 

SELASA, 18 SEPTEMBER – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berhasrat untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada masa akan datang.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap sempena lawatan ke Pusat Dialisis UMS-YKN Sabah baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata, pusat itu nanti  akan merangkumi pelbagai inisiatif kebajikan meliputi projek Anjung Kasih, iaitu rumah penginapan sementara bagi keluarga pesakit yang mengiringi dan menemani pesakit yang datang ke pusat dialisis tersebut.

“Selain itu, ia juga merangkumi kerjasama bagi projek Anjung Singgah, iaitu pusat intervensi bagi golongan gelandangan dan social enterprisee," katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew dan Naib Canselor UMS, Prof  Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut menggesa lebih banyak syarikat korporat, badan swasta, institusi kewangan dan institusi pengajian tinggi menjalin kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan dialisis.

Menurutnya, kerjasama pintar dengan pelbagai pihak amat penting demi kebajikan dan kelangsungan hidup kumpulan sasar yang memerlukan rawatan itu.

"Bagi penubuhan dan pengoperasian YKN Dialisis ini, pihak YKN mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat korporat dan badan swasta serta institusi pengajian tinggi sama ada melalui sumbangan mesin dialisis, barangan keperluan dan ubat-ubatan atau penajaan pesakit," jelasnya.

Dr. Wan Azizah berkata, sehingga kini YKN telah menubuhkan enam pusat dialisis di seluruh negara iaitu, YKN Dialisis Lembah Pantai, Kuala Lumpur, YKN Dialisis Rompin, Pahang, YKN Dialisis Kota Bharu, Kelantan, YKN Dialisis Kuala Terengganu, Terengganu dan Pusat Dialisis UMS-YKN.

Beliau berkata pemilihan lokasi pewujudan pusat dialisis adalah berdasarkan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dialisis di sesuatu kawasan dan kemudahan rawatan yang disediakan di setiap pusat dialisis menepati spesifikasi dan peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Perkhidmatan sosial yang diberikan ini dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat yang berpendapatan rendah, khususnya bagi pesakit yang menampung kos rawatan tinggi," katanya.