KHAMIS, 28 JUN - Amerika Syarikat (AS) meluaskan kerjasamanya dengan Malaysia dalam pelbagai isu, terutama perkara berkaitan alam sekitar, kesihatan awam dan keselamatan.

Duta Besar Amerika Syarikat, Kamala Shirin Lakhdhir berkata, selain itu kedutaan AS di Malaysia turut memberi fokus terhadap pembelajaran bahasa Inggeris untuk anak muda di Sabah dan menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran di AS.

“Kami ingin menggalakkan lebih ramai warga Sabah untuk memohon menyertai program Inisiatif Pimpinan Muda Asia Tenggara (YSEALI) bagi menyemarakkan hubungan di rantau ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program sehari bersempena ‘America Day Field Trip’ di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah kelmarin.

Menurut beliau sehingga kini, lebih 7,000 rakyat Malaysia menyertai program AS di bawah YSEALI.

Program bersempena ‘America Day Field Trip’ di UMS tersebut turut diisi dengan pelbagai aktiviti seperti kursus permainan papan selaju (skateboarding), ceramah kerjaya sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta seminar tentang pengajian di AS.

“Program ini mendorong pelajar sekolah menengah untuk berfikir tentang apa yang ingin mereka lakukan pada masa akan datang di universiti dan kolej serta membuka peluang untuk mereka melanjutkan pembelajaran di Malaysia dan AS,” tambahnya.

Beliau turut berkesempatan membuat kunjungan hormat ke pejabat Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin di Bangunan Canselori.

Turut mengiringi beliau, Ketua Pustakawan UMS, Puan Dayang Rukiah Awang Amit.

RABU, 27 JUN - Menteri Belia dan Sukan Sabah, Frankie Soon menyokong penuh kerjasama rapat kementeriannya dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya kerjasama itu penting untuk membangunkan dan meningkatkan lagi prestasi sukan di negeri ini.

“Ini merupakan contoh hubungan yang baik dalam memberi sokongan kepada atlet-atlet khususnya sebagai persiapan menjelang temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada September ini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke UMS pada Isnin.

Pada lawatan itu, Frankie turut memberi kata-kata galakan dan sokongan kepada atlet-atlet Sukma yang sedang membuat latihan di UMS.

Beliau turut diberi taklimat oleh pakar fisiologi dan Ketua Penyelaras untuk Pusat Pemulihan Kecergasan Fizikal, Prof. Madya Dr. Dayang Maryama Ag Daud.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS.

SELASA, 26 JUN - Seramai 26 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula Ogos ini.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kesemua mereka akan melanjutkan pengajian selama 18 bulan di universiti tersebut.

“Selain UMS, TLDM juga menerima tawaran daripada beberapa universiti tempatan dan swasta lain dan kami dalam proses pemilihan akhir untuk pakej-pakej terbaik yang ditawarkan untuk pegawai-pegawai kami di Kuala Lumpur, Lumut, Kuantan dan Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau  berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan tugas antara Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman dan Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob di Pangkalan TLDM Sepanggar, kelmarin.

Ahmad Kamarulzaman turut memaklumkan seramai 120 anggota TLDM telah mendaftar dalam program separuh masa Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) menerusi program khas dengan universiti tempatan.

ISNIN, 25 JUN - Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST),  Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru  ini menerima kemasukan seramai 312 pelajar baharu bagi Program Asasi Sains sesi 2018/2019.

Pengarah PPST, Prof. Madya Dr. Sazmal Effendy Arshad berkata, kesemua mereka yang berasal dari seluruh negeri di Malaysia telah menjalani Minggu Suai Mesra dan bakal memulakan pengajian dalam Program Asasi Sains di PPST, UMS minggu ini.

“Pihak PPST akan memikul tanggungjawab dan amanah untuk sentiasa mendahulukan agenda universiti dan akan memberikan pendedahan asas sains yang kukuh kepada para pelajar sejajar dengan kemudahan-kemudahan universiti yang telah disediakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan MSM di Bangunan PPST.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapan perasmiannya berkata, kemasukan ke program Asasi Sains bakal menjadi titik mula memperkukuhkan asas dalam bidang sains dan teknologi sebelum melangkah ke program ijazah kelak.

“Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang terpilih untuk meneruskan pengajian dalam program Asasi Sains di PPST, UMS ini.

“Yakinlah bahawa ini bukanlah tempat persinggahan semata-mata tetapi jadikanlah pengalaman di kampus ini sebagai suatu memori indah untuk bekalan masa hadapan,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Program MSM Sesi 2018/2019 PPST UMS, Nur Hazwani Dahon.

 

RABU, 13 JUN - Alumni Fakulti Psikologi dan Pendidikan (AFPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Majlis Iftar sambil Beramal di Hotel Dreamtel Kota Kinabalu baru-baru ini.

Pengarah Program Hajah Hairuni Haji Kasuagi berkata, penganjuran majlis itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada kalangan pensyarah dan mahasiswa Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) tetapi juga daripada pegawai-pegawai kerajaan serta orang awam yang sama-sama hadir mengimarahkan majlis berbuka puasa.

“Majlis ini bukan sekadar iftar biasa tetapi untuk berkongsi kegembiraan dan kesyukuran kepada mahasiswa FPP dalam menyambut bulan Ramadan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang kian menjelang tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, program itu merupakan aktiviti yang keempat dianjurkan oleh AFPP sambil berharap agar program sedemikian dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang.

“Program-program yang dianjurkan AFPP memberi manfaat dan kebaikan kepada individu dan masyarakat khususnya dalam memupuk semangat perpaduan dan keharmonian.

“Dalam masa yang sama, program seumpama ini boleh dijadikan platform perkongsian pengalaman, kepakaran dan kemahiran antara alumni kepada pelajar UMS,” tambah Hajah Hairuni.

Hadir sama pada majlis itu, Dekan FPP, Prof. Dr. Mohd Dahlan Haji A. Malek dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPP, Dr. Soon Singh Bikar Singh.

 

Sumber: FPP