Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuka peluang kolaborasi antarabangsa dengan menerima kunjungan rasmi delegasi dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universitas Tanjungpura (UNTAN), Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.

Delegasi UNTAN diketuai Ketua Program Pengurusan, Dr. Heriyadi dan turut disertai oleh Dr. Wenny (Setiausaha Program Pengurusan), Prof. Dr. Nur Afifah (Ketua Program Pascasiswazah), serta empat pensyarah lain iaitu Dr. Ilzar, Dr. Titik Rosnani, Prof. Ramadania, dan Harry Setiawan.

Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Profesor Madya Dr. Mohd Rahimie Abdul Karim ketika menerima ketibaan delegasi di Bilik Mesyuarat Utama FPEP menyambut baik kehadiran delegasi tersebut dalam membincangkan kerjasama antara kedua-dua institusi.

“Kunjungan ini antara lain bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, mobiliti pelajar, serta program pertukaran kakitangan antara kedua-dua institusi.

“FPEP UMS kerap menerima kunjungan daripada universiti antarabangsa, khususnya dari Indonesia, dan UNTAN bakal menjadi satu lagi rakan strategik bagi UMS dalam usaha memperkukuh kerjasama akademik antara kedua-dua universiti yang terletak di Pulau Borneo ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Heriyadi dalam ucapannya menyatakan bahawa lawatan itu merupakan langkah awal untuk menjalin kerjasama strategik yang melibatkan bidang penyelidikan, program mobiliti pelajar, dan pendedahan industri bagi pelajar.

“Kerjasama ini juga akan memberikan peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dengan komuniti setempat, baik di Malaysia mahupun di Indonesia.

 “Walaupun delegasi yang hadir adalah dalam kalangan pensyarah program pengurusan ekonomi, namun input yang diperoleh hasil dari lawatan ini akan kami kongsikan kepada fakulti lain di UNTAN, dengan harapan agar kerjasama ini dapat diperluaskan ke bidang akademik yang lebih luas,” katanya.

Ujar beliau, usaha ini adalah langkah awal untuk manfaat yang lebih besar bagi pelajar dan pensyarah kedua-dua institusi.

Terdahulu, delegasi UNTAN diberi taklimat mengenai UMS oleh Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, yang antara lain memperkenalkan visi dan misi UMS dalam membina jaringan kerjasama serantau.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPEP, Profesor Madya Dr. Suddin Lada kemudiannya memberi taklimat berkaitan program akademik yang ditawarkan FPEP serta peluang penyelidikan yang dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua universiti.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Jakaria Dasan turut memperkenalkan konsep pembelajaran berasaskan pengalaman yang dijalankan di FPEP, iaitu satu pendekatan dalam memberi peluang kepada pelajar untuk menerapkan teori yang dipelajari dalam kelas kepada situasi sebenar bersama komuniti, di samping memperoleh pengetahuan baharu dari masyarakat setempat yang menyumbang kepada pengalaman pembelajaran mereka.

 

Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) diseru untuk memberi kembali dan menyumbang kepada universiti sama ada dari segi kewangan mahupun akademik.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan berkata, perjalanan UMS dari awal penubuhan hingga menjadi institusi yang dihormati adalah hasil usaha kolektif komuniti dan sebagai alumni, kita adalah sebahagian penting daripada komuniti itu.

“Bukan rahsia lagi bahawa universiti berkembang bukan hanya dengan pembiayaan kerajaan dan yuran pengajian tetapi dengan sokongan mereka yang pernah menganggapnya sebagai rumah iaitu alumni.

“Walaupun UMS telah membuat kemajuan yang mengagumkan, kita tahu bahawa masih banyak lagi potensi yang belum direalisasikan,” ujarnya.

Katanya, untuk merealisasikan potensi itu, ia memerlukan kepakaran, rangkaian dan sokongan kewangan dari alumni.

Beliau turut menceritakan kisah seorang rakan sekelasnya yang telah berjaya dalam bidang penyelidikan, menerima biasiswa untuk menyambung pengajian di UMS dan tanpa bantuan itu, perjalanan akademiknya mungkin berakhir lebih awal.

“Ini adalah contoh nyata bagaimana sokongan kita boleh mengubah hidup seseorang itu dan akhirnya menyumbang kepada kemajuan masyarakat secara keseluruhan.

“Kita perlu sedar bahawa sumbangan kita boleh memberi kesan langsung kepada kualiti pendidikan, kemudahan dan peluang yang ditawarkan oleh UMS kepada pelajar sekarang dan masa hadapan.

“Apabila kita menyokong UMS, kita mencipta kitaran pertumbuhan yang memberi manfaat bukan sahaja kepada universiti tetapi juga kepada komuniti dan wilayah secara keseluruhan,” katanya semasa berucap merasmikan Malam Anugerah Ikon Alumni 2024 baru-baru ini.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin berkata, para alumni merupakan aset yang bernilai buat universiti yang mampu membantu memperkenalkan imej universiti di mata masyarakat luar.

“Pengurusan UMS melihat para alumni universiti ini sebagai rakan kongsi dan pemegang taruh yang berpotensi untuk memberi nilai tambah kepada universiti ini.

“Justeru, Malam Anugerah Ikon Alumni UMS 2024 ini julung-julung kali diadakan sebagai manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada alumni yang menunjukkan pencapaian tertinggi dan boleh dijadikan inspirasi kepada alumni lain dan bakal alumni,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, sebanyak lapan kategori anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Ikon Alumni Ideal yang dimenangi oleh Profesor Dr. Saw Phei Er; Anugerah Ikon Alumni Kesukarelawanan dimenangi oleh Nur Heliza Helmi; Anugerah Ikon Alumni Keusahawanan dimenangi oleh Azizul Julirin dan Anugerah Ikon Alumni Akademik dimenangi oleh Profesor Dr. Ahmad Zaharin Aris.

Sementara itu Anugerah Ikon Alumni Pengurusan dimenangi oleh Dr. Hyginus Lester Junior Lee; Anugerah Ikon Alumni Kesenian dimenangi oleh Jasmi Rasit; Anugerah Ikon Alumni Sukan dimenangi oleh Raymond Toh Meng Hui dan Anugerah Ikon Alumni Antarabangsa dimenangi oleh Carla Goncalves De Oliveira Sarmento.

Turut hadir ahli LPU UMS, Samasuddin Yusof; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Shahril Yusof; Timbalan Presiden Pertubuhan Alumni UMS, Mohammad Pauzi Jhumat dan Pengarah Alumni UMS, Dr. Arif@Kamisan Pusiran

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) baru-baru ini.

Kunjungan hormat diketuai oleh Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil bersama kakitangan.

Dalam sesi kunjungan hormat tersebut, Ketua Kluster Gempa Bumi dan Tsunami NDRC, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith yang berada di Table Top Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) Kundasang telah memberikan penerangan ringkas mengenai NDRC dan kejadian gempa bumi di Sabah.

Sheena berkata, peristiwa gempa bumi bermagnitud 6.0 yang berpusat di Gunung Kinabalu pada bulan Jun 2015 lalu membuka mata pelbagai pihak tentang kepentingan pengetahuan bencana gempa bumi serta persiapan dari aspek teknikal mahupun kesedaran awam sebelum, semasa dan selepas gempa bumi.

“NDRC UMS aktif menjalankan penyelidikan dan kesedaran awam berkaitan gempa bumi di Sabah.

“Ini merupakan salah satu fokus penyelidikan pusat ini, selain terlibat secara aktif bersama dengan beberapa Felo Penyelidik NDRC dalam penyediaan Malaysia National Annex to Eurocode 8: Design of structure of earthquake resistance-Part 1: General rules, seismic actions and rules for buildings,” katanya.

Tambah Sheena, standard ini juga diguna pakai dalam pembinaan bangunan di Malaysia sejak tahun 2017 lagi.

Katanya sejak tahun 2015, NDRC giat melaksanakan program kesedaran awam berkaitan gempa bumi melibatkan komuniti di beberapa daerah di Sabah seperti Ranau, Kudat, Lahad Datu, Kunak, Tawau, dan Semporna.

“Di samping itu, NDRC juga aktif dalam memberikan pendidikan gempa bumi di peringkat sekolah rendah dan menengah di Sabah semenjak tahun 2018 hingga kini,” ujar Sheena.

Sementara itu Khairul Faizi berkata, lawatan tersebut diadakan untuk mendapatkan maklumat komprehensif kejadian gempa bumi sebelum ini yang melanda negara khususnya negeri Sabah dan Borneo.

Tambah Khairul, Khidmat Malaysia akan menganjurkan program mega tahunan di Sabah pada pertengahan tahun hadapan.

“Program yang dikenali sebagai Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT) yang akan memasuki siri keenam ini bertujuan memberi latihan di lapangan kepada semua petugas dan sukarelawan seluruh negara dalam menghadapi bencana yang pelbagai,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairul berharap lawatan kerja Khidmat Malaysia ke NDRC kali ini dapat membuka lembaran baru dalam menjadikan Khidmat Malaysia agar lebih berkemahiran dalam mengendalikan bantuan untuk pelbagai jenis bencana termasuk bencana gempa bumi.

Katanya, Khidmat Malaysia akan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak terutamanya NDRC dalam menjalankan tanggungjawab sosial agar dapat memberikan kesedaran dan pengetahuan berkaitan dengan bencana gempa

Hadir sama dalam kunjungan hormat ini, Setiausaha Khidmat Malaysia; Mohd Ashrul Hisyam Abdul Jalil, Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Sabah; Sahar Abdul Majid serta Pegawai Penyelidik NDRC; Eldawaty Madran.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sekali lagi memperkukuhkan kerjasama dalam mengembangkan keusahawanan digital melalui penganjuran program Kembara eUsahawan 2024: Zon Borneo yang berlangsung di UMS baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, hubungan yang erat antara MDEC dan UMS bermula sejak tahun 2018, apabila MDEC memberi peluang kepada pensyarah UMS untuk menjalani latihan dalam bidang keusahawanan digital.

“Hasil latihan ini telah diintegrasikan ke dalam kurikulum akademik UMS bagi mencipta asas yang kukuh dalam mendidik pelajar UMS mengenai keusahawanan digital.

“Usaha ini telah membuahkan hasil yang amat membanggakan apabila seramai 16,616 pelajar UMS telah dilatih dalam program eUsahawan dan berjaya mencatatkan jualan lebih daripada RM5.9 juta, dan pada tahun lalu sahaja, pelajar kita mencatat jualan lebih daripada RM664,000.

“Ini adalah satu pencapaian besar bagi UMS, mencerminkan usaha gigih dan dedikasi semua pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian program tersebut yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

Kasim menambah, hasil kerjasama tersebut juga, MDEC telah melatih 53 pensyarah UMS, terutama dengan menjadikan pensyarah-pensyarah ini sebagai jurulatih modul eUsahawan Siswa yang berkualiti dan terus membimbing pelajar ke arah kejayaan keusahawanan digital.

Kerjasama ini terus melangkah ke hadapan, dengan UMS kini sedang dalam proses untuk diiktiraf sebagai eUsahawan Hab.

“Pengiktirafan ini diharap akan membuka jalan bagi UMS untuk menjadi pusat sokongan agenda digitalisasi ekonomi negara dalam kalangan komuniti tempatan, khususnya dalam membantu usahawan kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan mereka di platform digital.

“eUsahawan Hab akan menjadi hab menyediakan kemahiran keusahawanan digital yang dinamik dengan pelbagai bimbingan dan latihan yang akan menguntungkan komuniti setempat serta memberi impak besar kepada UMS khasnya,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Naib Presiden Bahagian Pemerkasaan Industri Digital MDEC, Ir. Wan Murdani Wan Mohamad dan Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Sidah Idris

 

Pesta Buku Borneo 2024 (PBB 2024) akan diadakan pada 13 hingga 17 November di Kinabatangan Hall III, Sabah International Convention Centre, dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

PBB 2024 kali ini diadakan dengan tema “Borneo Membaca,” yang menggambarkan kepentingan membaca dalam pembangunan ilmu dan pendidikan di Borneo.

Objektif utama pesta ini adalah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat Sabah dan meluaskan pasaran penerbitan di negeri ini. Dijangka beberapa buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang dan Papar akan berkunjung ke PBB.

Pesta buku terbesar di Borneo ini terdiri dari lebih 90 reruai pempamer penerbit buku komersial dan akademik antarabangsa dan tempatan, pempamer alat bantu mengajar dan produk inovasi.

Selain Penerbit UMS sendiri selaku penganjur dan pempamer, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, PTS Publishing, Popular Book, MAPIM, FIXI, The Patriot, Naseehat dan banyak lagi penerbit dan pengedar buku terkenal turut menyertai pesta buku ini.

PBB turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik khusus untuk semua lapisan masyarakat. Antaranya ialah bicara buku, forum buku, pelancaran buku, bengkel STEM, persembahan teater, pertandingan mewarna, cabutan bertuah, kuiz dan sebagainya. Para pengunjung juga berpeluang bertemu dengan penulis tempatan dan menebus baucar buku Madani di pesta buku ini.

Menurut Penerbit UMS, pesta buku ini menyediakan platform terbaik bagi pembekal dan penerbit untuk memperkenalkan karya terbaru mereka kepada masyarakat, selaras dengan objektif untuk memartabatkan bahan bacaan ilmiah tempatan.

Masuk adalah percuma. Untuk maklumat terkini mengenai aktiviti dan acara sepanjang PBB 2024, orang ramai boleh merujuk ke laman Facebook rasmi Pesta Buku Borneo atau menghubungi Penerbit UMS untuk pertanyaan lanjut di talian 088-3204500.