Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan tradisi tahunan pada bulan Ramadan dengan mengagihkan sebanyak 4,000 pek bubur lambuk sebagai juadah berbuka puasa kepada kakitangan, pelajar, dan orang awam menerusi penganjuran program “Bah! Sungkai Kita Bubur Lambuk 2025".
Menurut kenyataan dari Pusat Minda Lestari (PML), program yang mendapat sokongan tajaan dari Adabi Sdn. Bhd. itu dijayakan oleh kakitangan dari PML, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), Fakulti Pengajian Islam (FIS), Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), serta Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS).
“Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk mengeratkan hubungan dan memupuk semangat kerjasama antara warga PML dan kakitangan UMS yang terlibat, sekali gus dapat bersama-sama meraih keberkatan dan fadhilat yang ada dalam bulan Ramadan.
“Selain itu, ini juga adalah bertujuan untuk memperkukuh amalan jariah dengan berkongsi rezeki bersama seluruh komuniti kampus khususnya pelajar-pelajar UMS,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Penyediaan bubur lambuk tersebut diadakan secara bergotong-royong di kawasan perkarangan PML, yang kemudiannya diagihkan ke pejabat dan kolej kediaman di kampus UMS.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor turut memberikan sokongan terhadap penganjuran program tersebut dengan membantu pengagihan bubur lambuk di pintu utama UMS.
Turut serta dalam agihan tersebut Pengurus Adabi Sabah, Muhammad Zahari Muhammad Nasir; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan FPKS, Prof. Dr. Mohd. Dahlan A. Malek; Dekan FIS, Prof. Dr. Muhamad Suhaimi Taat; Dekan PPIB, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng; Pengarah PML, Dr. Suwaibah Zakaria; dan Pengarah PPST, ChM. Dr. Newati Wid.



Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MoA) selama tiga tahun bersama Power Transcoteq and Services Sdn Bhd. (PTSSB) bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan teknologi peranti pintar untuk alat ubah (transformer) kuasa, baru-baru ini.
Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited dalam membudayakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan pelajar, khususnya di kolej-kolej kediaman.
Program Pensijilan Kepimpinan dan Governan Eksekutif yang dibangunkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menjadi inisiatif baharu universiti dalam memperkukuhkan keupayaan kepimpinan dan melahirkan pemimpin masa hadapan untuk negeri Sabah.
Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggerakkan program STI 100 on the Power of Three (STI 100^3) di dua buah sekolah rendah di negeri Sabah bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangunkan bidang STEM dalam memacu perkembangan ekonomi negara.