- Jumlah paparan: 468
Program Kunjung Kasih 3.0 Inisiatif KKTF UMS Santuni Penduduk Kampung Gentisan, Sepanggar
Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) turun padang bagi menyantuni penduduk Kampung Gentisan, Sepanggar menerusi Program Kunjung Kasih 3.0.
Menurut pengarah program, Sumiraa Amir, pelaksanaan program itu merupakan satu program legasi anjuran Exco Hal Ehwal Wanita dan Kemasyarakatan (HELWA) Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) melibatkan 40 warga UMS bersama-sama penduduk kampung.
“Program ini antara lain bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengalaman secara langsung kepada mahasiswa tentang kehidupan masyarakat luar bandar, terutamanya penduduk kampung, melalui perspektif yang lebih dekat.
“Secara tidak langsung, usaha ini dapat memupuk nilai-nilai murni seperti empati, kasih sayang dan keprihatinan seterusnya menyumbang kepada pembentukan jati diri mahasiswa yang holistik.
“Penganjuran program ini juga membuka ruang untuk mempraktikkan kemahiran komunikasi interpersonal dalam kalangan mahasiswa,” katanya.
Sumiraa turut memaklumkan, program tersebut telah berjaya mengagihkan sebanyak 25 buah Sumbangan Bakul Rahmah kepada golongan memerlukan.
“Kami yakin dan percaya dengan agihan yang kami lakukan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan di Kampung Gentisan, Sepanggar.
“Justeru itu, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada penduduk kampung atas kesudian menerima kehadiran serta bersama-sama menjayakan program ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Dr Aliakhbar Gulasan ketika menyempurnakan perasmian program tersebut berkata, inisiatif oleh pelajar UMS itu bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada penduduk kampung, tetapi juga berupaya mengeratkan lagi hubungan antara warga universiti dan komuniti setempat dalam aktiviti berbentuk kesukarelawan.
“Saya difahamkan pelbagai aktiviti telah dijalankan merangkumi aktiviti gotong-royong, ceramah agama, sukaneka, ziarah kasih dan juga aktiviti yang menyasarkan pendekatan bersama penduduk kampung.
“Aktiviti ziarah kasih umpamanya bukan sahaja mampu mendidik mahasiswa akan sikap cakna kepada golongan yang kurang bernasib baik malahan dapat membentuk diri jati diri mahasiswa yang lebih prihatin tentang keadaan masyarakat setempat dan hal ini penting bagi membentuk seseorang pemimpin.
“Ini secara tidak langsung dapat memangkin usaha melahirkan mahasiswa yang lebih progresif dan aktif,” ujar beliau.
Hadir sama pada program tersebut Pengetua KKTF, Dr Abdul Khair Beddu Asis dan Ketua Kampung Gentisan, Haji Talawi Saat.



Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memupuk semangat cinta terhadap seni dan warisan budaya dalam kalangan pelajar universiti dan sekolah.
Program Komuniti Jalinan Kasih anjuran sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kampung Indarason Laut, Kudat baru-baru ini menjadi satu platform dalam memupuk dan mengeratkan hubungan antara siswa-siswi dengan komuniti luar bandar khususnya dengan penduduk kampung tersebut.
Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkasa generasi muda apabila seramai 57 pelajar Tingkatan lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya dan SMK Taman Tun Fuad menyertai Program Kelas Bimbingan STEM Living Lab Edu-Xperiential, baru-baru ini.
Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Confucius Institute (CI) buat julung kalinya telah menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Chinese Bridge 2025, satu inisiatif memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China menerusi pendidikan.