Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan pihak teknologi digital sebagai langkah memperkasa advance tecnology melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama Switch (Apple Premium Partners).

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, kerjasama tersebut antara lain bertujuan merealisasikan hasrat objektif Dasar Pendidikan Tinggi Negara bagi meningkatkan kemahiran teknikal.

Katanya, MoU selama tiga tahun itu merupakan inisiatif untuk memastikan warga UMS dan graduan memiliki kemahiran teknikal dan soft skills yang relevan dalam industri.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) serta Pusat e-Pembelajaran UMS atas usaha memperkukuhkan kandungan kreatif untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran di negara ini.

“Ini merupakan kali pertama majlis menandatangani MoU diadakan oleh Apple Premium Partners dengan agensi pendidikan di Borneo.

“MoU UMS dan industri teknologi Apple dijangka akan memberi impak yang tinggi dalam pembangunan kandungan kurikulum dengan teknologi iOS, latihan praktikal, sesi khas dan bengkel, sumber pembelajaran, serta jaringan dan kolaborasi,” ujarnya.

Tambah Kasim, UMS komited untuk menggalas serta merealisasikan dasar dan hasrat kerajaan mendigitalkan Malaysia dalam semua sektor.

“MoU ini turut menggariskan hasrat untuk memberikan akses kepada teknologi dan pembangunan kandungan digital bagi menuju ke arah pendigitalan Pengembangan Aplikasi Mudah Alih iaitu pengetahuan dalam pengembangan aplikasi iOS merupakan teknologi maju yang diperlukan oleh graduan mengikut keperluan industri.

“Saya percaya kepakaran dan teknologi yang diperkenalkan daripada kerjasama ini akan lebih menggalakkan lagi penggunaan teknologi dan mencipta inovasi dan seterusnya meningkatkan kualiti dan produktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Mengulas lanjut Kasim berkata, usaha tersebut akan membuka potensi kepada seluruh anak-anak di Sabah untuk memacu inovasi, mengubah industri dan membentuk Malaysia yang lebih terhubung.

“Semua yang kita lihat sekarang bukan sekadar kemajuan teknologi semata-mata tetapi lebih kepada masa depan inovasi, keterhubungan serta pembangunan sosioekonomi,” katanya.

Pada MoU tersebut, UMS diwakili Kasim dan Pendaftar, Luqman Ridha Anwar, manakala pihak Switch diwakili oleh Pengurus Kanan Perniagaan Switch, Goh Shen U dan Pengurus Kanan Jualan Korporat Switch, Nur A’shikin Kamal Shah.

Turut menyaksikan penandatangan MoU, Ketua Menteri Sabah merangkap Pro-Canselor UMS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan; Pengurus Perniagaan dan Pendidikan Apple, Kartini Mohd. Basri serta Pengurus Kepimpinan dan Pembelajaran Apple, Wan Noraini Wan Daud.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus berusaha menjadikan penyelidikan serta inovasi sebagai alat memperbaiki kualiti hidup masyarakat setempat.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, penyelidikan merupakan salah satu usaha secara langsung yang dapat memberikan impak yang positif dan nyata dalam kehidupan.

Katanya, penyelidikan bertujuan mengenal pasti keperluan dan cabaran yang dihadapi di samping mencari solusi yang inovatif dan praktikal.

“Hari ini kita dapat saksikan bagaimana penyelidikan serta inovasi dalam bidang pertanian, kesihatan, pendidikan dan sumber asli boleh membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.

“Contohnya, penyelidikan dalam teknik pertanian moden boleh membantu meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan penggunaan bahan kimia yang berbahaya,” ujar beliau.

Tambah Kasim, UMS sentiasa komited untuk memastikan hasil penyelidikan tidak terperuk dalam laporan akademik sahaja bahkan manfaatnya akan dikongsi kepada masyarakat.

“Di sinilah pentingnya peranan penyelidikan dan inovasi kerana dengan menerapkan pendekatan penyelidikan yang berfokus pada cabaran-cabaran ini, kita dapat mencari solusi mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan daya saing perdagangan dalam negeri.

“Misalnya dalam sektor pertanian, penyelidikan kita boleh memfokuskan kepada pembangunan teknik pertanian yang lebih efisien dan mampan.

“Ini termasuk penggunaan teknologi baru yang boleh meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan kos operasi, seperti penggunaan baja dan racun yang lebih efisien, serta sistem pengairan yang lebih canggih,” katanya.

Tambah beliau cara tersebut dapat mengurangkan kos pengeluaran serta membantu menurunkan harga barangan keperluan dan meningkatkan pendapatan para petani.

Beliau berkata demikian pada Program Khidmat Masyarakat Berteraskan Penyelidikan Tahun 2024 yang dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, baru-baru ini.

Program Khidmat Masyarakat Berteraskan Penyelidikan dianjurkan bersempena Simposium Penyelidikan UMS-RES 2 Tahun 2024 yang turut membentangkan sebanyak 57 kertas penyelidikan.

Simposium Penyelidikan UMS-RES 2 Tahun 2024 merupakan kesinambungan dari penganjuran tahun lalu yang berlangsung di Kudat sebagai usaha berterusan Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS mengadakan Pemantauan Geran Dalaman bagi geran UMS Great.

 

Seramai 4,545 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi 2024/2025 yang mula mendaftar pada 28 hingga 29 September 2024.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor, jumlah tersebut melibatkan 3,640 pelajar di UMS Kampus Kota Kinabalu, 701 pelajar di UMS Kampus Antarabangsa Labuan, dan 204 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.

“Jumlah ini merangkumi 3,286 (72.3%) pelajar dari Sabah, 718 (15.8%) dari Semenanjung Malaysia, 470 (10.3%) dari Sarawak, dan 56 (1.2%) dari Wilayah Persekutuan Labuan.

“15 pelajar selebihnya merupakan pelajar antarabangsa dari lima buah negara, iaitu Negara China, Jepun, Brunei, Pakistan dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan pendaftaran pelajar di sini, hari ini.

Kasim turut memaklumkan, berdasarkan statistik tersebut, sejumlah 1,468 orang atau 32 peratus adalah pelajar lelaki, manakala 3,077 orang atau 68 peratus merupakan pelajar perempuan.

“Pengambilan pelajar pada sesi ini turut merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UMS iaitu sebanyak 2,579 bagi pelajar B40 ambilan UPUonline, 9 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), 11 atlet sukan, dan 2 orang asli.

“Kesemua pelajar baharu akan mengikuti program Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 6 Oktober ini sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri dalam suasana kehidupan kampus,” katanya.

Dalam pada itu, Kasim ketika melakukan tinjauan di kolej-kolej kediaman memaklumkan, kemudahan-kemudahan yang terdapat di kolej kediaman termasuk bekalan air pada tahap yang baik dan bersedia untuk menampung keperluan pelajar pada sesi pengajian ini.

“Pentadbiran universiti juga telah menetapkan masa-masa tertentu yang berbeza bagi urusan pendaftaran antara pelajar baharu sebagai usaha untuk mengelakkan kesesakan pada hari pendaftaran.

“Justeru, dapat dilihat suasana dan proses pendaftaran pada hari ini begitu teratur hasil penambahbaikan yang dilakukan,” ujar beliau.

 

Sembilan pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari pelbagai negara menyahut cabaran untuk mendaki Gunung Kinabalu menerusi program “Pengantarabangsaan Melalui Warisan 2024: Perjalanan Antarabangsa Ke Puncak” baru-baru ini.

Sembilan pelajar antarabangsa tersebut merupakan pelajar dari pelbagai negara, antaranya dari Jepun, Timor Leste, Bangladesh, Yaman, Pakistan, China, Brunei Darussalam, Filipina dan Indonesia.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, program anjuran Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) bersempena dengan sambutan ulang tahun UMS ke-30 tahun ini adalah inisiatif dalam mempromosikan UMS khususnya, dan negeri Sabah kepada pelajar antarabangsa.

“Pendakian Gunung Kinabalu oleh pelajar-pelajar antarabangsa ini adalah bagi memperkenalkan UMS dan negeri Sabah di mata dunia, bahawa negeri ini memiliki banyak khazanah yang perlu diterokai bukan hanya dimanfaatkan untuk pengajaran dan pembelajaran tetapi perlu dialami dan dipelopori.

“Kita telah memilih sembilan orang pelajar antarabangsa disebabkan UMS merupakan universiti kesembilan daripada 20 universiti awam di Malaysia,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan acara pelepasan ekspedisi para pelajar di Foyer Bangunan Canselor, UMS.

Menurut beliau, misi pendakian ini menunjukkan bahawa kepimpinan UMS prihatin terhadap kebajikan dan keperluan pendedahan kepada pelajar antarabangsa supaya mereka juga diberi peluang dan kesempatan untuk menghayati keindahan alam semula jadi yang ada di Sabah.

Terdahulu, Pengarah PPPG, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din memaklumkan para peserta bersemangat dan telah membuat persiapan rapi dalam menjayakan ekspedisi tersebut.

“Mereka menawarkan diri untuk menyertai tanpa sebarang paksaan kerana mendaki Gunung Kinabalu bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan ketahanan fizikal dan mental.

“Para peserta dipilih mengikut aspek fizikal dan mental, dan mereka telah berlatih beberapa minggu sebagai persediaan untuk ekspedisi ini,” ujarnya.

Hadir sama pada acara pelepasan tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof.

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) terima sumbangan Mesin Rehabilitasi (Mesin Painbot) bernilai RM380,000 daripada Syarikat Jetama Sdn. Bhd.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, mesin tersebut bukan sekadar alat perubatan, tapi satu bentuk sokongan dan harapan kepada pesakit yang bergantung kepada rawatan inovatif untuk mengatasi kesakitan yang dialami.

“Sejak diperkenalkan di Hospital UMS pada bulan Disember 2023, Mesin PainBot telah digunakan sebanyak 627 kali untuk pesakit yang menjalani rawatan di Pusat Rawatan Rehabilitasi HUMS.

“Ini adalah satu pencapaian signifikan yang menunjukkan penerimaan positif dan keberkesanan mesin ini dalam pengurusan kesakitan.

Mengulas lanjut, Kasim berkata, mesin ini berperanan mempercepatkan proses pemulihan pesakit dan membantu menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Selain daripada mengurangkan masa pemulihan, Mesin PainBot membantu mengurangkan penggunaan ubat penahan sakit yang sememangnya meninggalkan kesan sampingan jangka panjang.

“Sekali lagi, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Syarikat Jetama Sdn. Bhd. atas sumbangan yang sangat bermakna ini,” katanya.

Kasim berharap kerjasama ini akan menjadi contoh kepada lebih banyak syarikat untuk menyokong usaha memajukan sektor kesihatan di Sabah dan Malaysia secara amnya.

Kasim menyempurnakan gimik penyerahan Mesih Painbot yang turut disaksikan oleh Pengerusi Jetama Sdn. Bhd, Datuk Yussof Abd Manan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn. Bhd, Ahmad Naim Uddang berkata, Mesin Painbot yang diserahkan kepada HUMS merupakan peralatan terkini dalam bidang rawatan rehabilitasi yang pertama, bukan sahaja di Sabah, malahan di seluruh kepulauan Borneo.

Katanya Mesin Painbot tersebut dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai AI yang khusus untuk rehabilitasi pesakit.

“Diharapkan juga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu tenaga pengajar serta pelajar-pelajar secara khususnya dan UMS secara amnya untuk meningkatkan lagi pengetahuan serta kemahiran setara dengan peningkatan penggunaan teknologi baru ini.

Jetama Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat berkaitan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan Negeri Sabah yang berperanan pemangkin ekonomi dan membantu kerajaan membangunkan sosioekonomi di Sabah.