One Health Student Club (OHSC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan program kesedaran Kerintangan Antimikrobial (AMR) bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Bawang, Tamparuli, baru-baru ini.

Program kesedaran kerintangan antimikrobial yang dinamakan “Empowering Rural Primary Students Mind Regarding Antimicrobial Resistance (AMR) Control through Interactive Water Sanitation Hygiene (WASH) Education” merupakan satu usaha bersama antara OHSC UMS dan Southeast Asian One Health University Network (SEAOHUN), Malaysia One Health University Network (MyOHUN).

Menurut Penasihat OHSC, Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad, program tersebut bertujuan mempromosikan kesedaran dan pemahaman mengenai konsep ‘One Health’ serta kesihatan manusia, haiwan, dan alam sekitar dalam bidang penyakit kerintangan terhadap antimikrobial.

Katanya, untuk memastikan program yang berkonsepkan kerintangan antimikrobial ini berlangsung secara menyeronokkan dan mudah difahami, tentatif program diisi dengan aktiviti seperti pertandingan membuat poster Superbug Art Attack, Germ Tag dan Glitter Germ yang memberi gambaran mudah kepada pelajar berkenaan penularan mikrob dan cara sanitasi yang baik.

“Para pelajar juga diberi peluang untuk menyaksikan sendiri sampel-sampel bakteria secara terus melalui mikroskop dengan bimbingan daripada fasilitator yang berpengalaman.

“Seramai 55 orang pelajar Tahap 2 dari SK Bawang, Tamparuli, Sabah yang sebahagian besarnya berasal dari kawasan pedalaman ini telah memanfaatkan sepenuhnya peluang ini.

Majlis perasmian penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Bawang Norjaip Hj. Daip.

Berucap pada perasmian tersebut, Norjaip menegaskan bahawa isu kerintangan antimikrobial ini sememangnya harus disemat dan difahami dengan baik oleh anak-anak muda seawal bangku sekolah lagi.

“Komitmen penuh sekolah ini dalam membantu menjayakan program sepanjang dua hari ini menjadi simbolik bahawa kesedaran terhadap kerintangan antimikrobial dan sanitasi yang baik perlu disebarkan dan dihayati oleh seluruh komuniti,” katanya.

Salah seorang murid, Mohamad Razmi Rino berkata, beliau dan rakan-rakan amat seronok dengan perkongsian dan ilmu baharu yang dipelajari dalam program tersebut termasuk cara mencuci tangan dan cara pengambilan ubat antibiotik yang betul.

Hadir sama, Penolong Kanan Pentadbiran SK Bawang, Georgena Sipan Manson dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Bawang, Cornee Malek.

 

Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan sifar kes kusta tempatan baharu menjelang tahun 2030.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata setakat 4 Mei lalu, negara masih mencatatkan 66 kes kusta di seluruh negara termasuk 24 kes di Sabah.

"Aktiviti mengesan serta memberi rawatan awal membabitkan kes kusta secara bersasar di lapangan perlu dipertingkatkan sebagai langkah untuk mencapai sasaran.

"Antara pendekatan KKM adalah menerusi pelaksanaan pemberian rawatan Profilaksis Single Dose Rifampicin kepada kontak rapat dan komuniti berisiko.

"Ia seiring saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai langkah pencegahan dan penularan penyakit kusta," katanya.

Dr Dzulkefly berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaria, Tibi dan Kusta Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sementara itu, Dr Dzulkefly menyarankan masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh mewujudkan kesedaran mengenai penyakit berjangkit seperti malaria, tibi dan kusta.

Menurutnya, persekitaran positif dan memberikan sokongan kepada pesakit atau individu yang terkesan dengan penyakit berjangkit amat diperlukan supaya kualiti hidup pesakit dapat dipertingkatkan.

"Stigma dan diskriminasi haruslah dihentikan dan sasaran 'Hentikan Tibi menjelang tahun 2035' dan 'Sifar Kes Kusta Baharu Tempatan' dapat dicapai," katanya.

 

Sekumpulan penyelidik Institut Biologi Tropika dan Konservasi (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Taman-Taman Sabah menemui semula kehadiran Kodok Anak Sungai Mesilau, Kundasang, haiwan yang dikategorikan sebagai terancam, baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari IBTP, spesies kodok Ansonia Guibei yang menghuni Gunung Kinabalu itu dibimbangi pupus selepas gempa bumi kuat yang berpusat di gunung tertinggi Asia Tenggara itu pada 2015.

 

Bencana alam itu yang menyebabkan tanah dan batuan runtuh, selain banjir lumpur turut memusnahkan habitat haiwan amfibia berkenaan yang sebelum itu mudah ditemui di sekitar Gunung Kinabalu.

Penyelidik IBTP UMS, Prof Madya Dr Evan Quah yang mengetuai kajian baharu terhadap spesies itu pada tahun lalu berkata, kajian terdahulu di Mesilau, Kundasang pada 2017 gagal mengesan sebarang spesimen haiwan itu.

Katanya, ia menyebabkan spesies berkenaan disenaraikan sebagai haiwan terancam yang kritikal oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

"Dengan dana daripada Asian Species Action Partnership (ASAP), satu kajian baharu dilaksanakan pada akhir tahun lalu bagi menilai semula status spesies berkenaan.

"Hasil kajian itu pada September 2023, kumpulan penyelidik menemui semula satu spesimen Kodok Anak Sungai Mesilau separuh dewasa, selain berudu kodok berkenaan di Sungai Mesilau dan anak Sungai Tibabar, Kundasang," kata kenyataan itu.

Penemuan itu disifatkan sebagai satu perkembangan yang positif memandangkan ia bukan saja menandakan spesies berkenaan selamat, malah membiak.

Evan berkata pasukan penyelidik terus memantau kehadiran kodok berkenaan di Mesilau bagi mendapatkan lebih banyak data ekologi mengenai spesies itu selepas gempa bumi, sembilan tahun lalu.

Katanya, spesies kodok berkenaan masih berdepan banyak ancaman, termasuk mempunyai julat yang sangat terhad dan hanya terhad kepada kawasan tadahan air Mesilau di Gunung Kinabalu yang menjadikannya terdedah kepada sebarang perubahan besar alam sekitar.

"Kedua, data awal yang dikumpul menunjukkan habitat kodok itu belum pulih sepenuhnya selepas gempa bumi pada 2015. Tanah runtuh masih kerap berlaku terutama ketika musim hujan.

"Air larian dan kelodak daripada tanah runtuh menjejaskan kualiti air di laluan air yang menjadi tempat kodok membiak.

"Akhir sekali, sama seperti endemik pergunungan yang lain, Kodok Anak Sungai Mesilau juga berdepan ancaman perubahan iklim.

"Sebagai spesies yang menghuni kawasan sejuk dan lembab di tanah tinggi, ia terdedah kepada perubahan yang dibawa pemanasan iklim," katanya.

Berikutan itu, katanya data yang dikumpulkan menerusi kajian yang sedang dijalankan sangat penting dalam melaksanakan pelan konservasi bagi memastikan kesinambungan hidup spesies berkenaan.

Katanya, maklumat lengkap mengenai penemuan itu baru diterbitkan dalam jurnal Zootaxa pada minggu ini.

Lebih 2,000 pengunjung dan pelajar hadir memeriahkan sambutan Hari Raya Mutiara Universiti Malaysia Sabah (UMS) ‘Klasik Raya’ yang diadakan di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2 di sini hari ini.

Majlis yang dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin itu turut dihadiri isterinya Toh Puan Norlidah Tan Sri R.M. Jasni.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor,  Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Timbalan Speaker, Brigader Jeneral Datuk Al Hambra Juhar dan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.

Dr Kasim ketika berucap berkata, sambutan yant diadakan itu adalah bertujuan bagi mewujudkan semangat kekeluargaan selain mampu digunakan sebagai medan pertemuan yang paling kukuh dan padu demi memupuk keharmonian.

Katanya, ini adalah antara keunikkan Malaysia yang berjaya menyuburkan perpaduan dan keharmonian menerusi sambutan perayaan seperti ini dan juadah yang dihidangkan membuktikan yang makanan menjadi pengerat hubungan dan keakraban masa kini.

“Justeru, kehadiran kaum pelbagai bangsa dan agama dalam majlis sambutan seperti ini berupaya mewujud dan mengukuh silaturahim yang sedia terjalin selama ini.

“Saya yakin dan percaya, majlis ini berjaya menyatukan kepelbagaian agama dan budaya, menunjukkan keharmonian berbilang latar belakang kaum dan kepercayaan, yang akhirnya mencetuskan kesatuan dan muhibbah dalam kalangan warga.

“Majlis sebegini boleh dijadikan batu loncatan untuk kita merapatkan kembali hubungan, saling bermaafan dan bersedia membuka lembaran baru bagi mewujudkan permuafakatan yang lebih utuh lagi,” katanya.

 

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah terlibat dalam menjayakan Seminar Pergerakan Kesatuan Sekerja Di Malaysia yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Bangi baru-baru ini.

Bertemakan “Pekerja KESUMA Bangsa”, seminar tersebut turut dijayakan bersama oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dan Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr. Mahadirin Ahmad yang merupakan pensyarah FSSK UMS, seminar itu adalah penting untuk mengupas hala tuju pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia.

"Objektif seminar ini adalah selari dengan agenda pemerkasaan pekerja seiring dengan kerangka Malaysia Madani dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), serta turut bertepatan dengan tema sambutan Hari Pekerja iaitu Pekerja Kesuma Bangsa.

"Seminar ini juga menyaksikan acara penyerahan Resolusi 100 Tahun Kesatuan Sekerja Di Malaysia: Dulu dan Masa Depan," katanya.

Beliau menambah, seminar itu juga telah menarik penglibatan daripada pelbagai kategori peserta baik kesatuan sekerja, majikan, ahli akademik, mahupun mahasiswa sebagai usaha kepada kelestarian ilmu dalam bidang pemerkasaan pekerja.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dalam satu kenyataan menyokong penganjuran seminar tersebut yang dilihat penting bagi meneliti pencapaian dan kepentingan kesatuan sekerja di Malaysia pada ketika ini.

“Ini juga seiring dengan misi strategik 3K KESUMA iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan pekerja.

“Di samping itu, seminar ini adalah diharapkan mampu mengumpul dan menyatukan pandangan daripada pelbagai perspektif khususnya daripada kesatuan-kesatuan sekerja kerana para pekerja merupakan aktor penting dalam hubungan pekerjaan di negara ini,” katanya. 

Sim turut memaklumkan hasil seminar tersebut tiga resolusi berjaya dicapai iaitu solidariti dan tindakan kolektif kesatuan sekerja yang lebih baik; para pekerja dan kesatuan sekerja bekerja dengan lebih giat; serta para pekerja dan kesatuan memperbanyakkan bacaan, meningkatkan ilmu dan berfikiran lebih kritis.

“Ketiga-tiga resolusi ini secara tidak langsung mencerminkan keutamaan bersama bagi kesatuan-kesatuan sekerja di negara ini dalam memperjuangkan kepentingan dan hak-hak pekerja.

“Justeru itu, KESUMA akan sentiasa memberikan sokongan dan menghormati sumbangan para pekerja dan kesatuan sekerja di Malaysia,” ujar beliau.

Seramai hampir 200 peserta pelbagai kategori seperti sektor awam, swasta dan badan berkanun hadir menyertai seminar yang berlangsung di Dewan Tan Sri Lee Lam Thye, Menara NIOSH itu.

Antara ahli akademik dan penyelidik FSSK UMS yang terlibat dalam seminar tersebut Dr Kee Y Sabariah Kee Mohd Yussof, Dr Norhuda Salleh, Bazley Bee Basrah Bee dan pelajar sarjana FSSK UM, Nassiah Gaong.

Turut sama menjayakan seminar tersebut pensyarah dari FSSK UKM, Dr Sharifah Nursyahidah Syed Annuar, dan penyelidik dari kesatuan sekerja, Engrit Liaw.