RABU, 3 JUN – Forum Bicara Ad-Din, yang menampilkan Mufti Sabah, Ustaz Bungsu Aziz dan Pengacara Al-Kuliyyah TV3, Ustaz Fauzi Mustafa menyemarakkan lagi Karnival Cinta Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung selama seminggu baru-baru ini.Membicarakan tajuk “Solat, Selamat dan Sihat di Masjid”, perasmian forum disempurnakan oleh Pengarah Pusat Islam UMS, Dr. Muhammad Suhaimi Taat.
Menurutnya, bicara forum tersebut adalah bertepatan dengan penganugerahan Pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan bagi OHSAS 18001:2007 yang diperoleh Pusat Islam UMS pada 7 Mei lalu.
“Amat penting menjaga kebersihan dan keselamatan dalam masjid untuk keselesaan jemaah masjid terutamanya jemaah perempuan.
“Keadaan Masjid yang bersih tanpa sampah dan ciri-ciri keselamatan yang teratur menjamin solat selamat dan sihat”, jelas beliau.
Lebih 500 jemaah masjid terdiri daripada warga kakitangan dan pelajar UMS serta masyarakat setempat hadir bagi mendengar sesi bicara tersebut.
Hadir sama Pemangku Pendaftar UMS, No’man Hj. Ahmad. -SM-
Bahagian Media dan Citra



RABU, 03 JUN - Seramai 59 orang pelajar tahun dua program Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengikuti Karnival Kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) baru-baru ini. Kursus berkenaan bertujuan melatih para pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan dengan menggunakan kreativiti serta idea-idea yang baru. Menurut Pensyarah Kanan Program Sains Sukan UMS, Mohd Nizam Nazarudin, penerapan sains sukan dalam APK adalah bertujuan untuk mempromosikan ilmu pengetahuan tentang sains sukan yang dilihat terdapat kekurangan dalam pasaran sukan pada masa kini. “Aplikasi sains sukan dalam APK pada tahun ini membolehkan para pelajar dan pengunjung karnival meneroka dan mempelajari sedikit sebanyak komponen-komponen yang ada dalam sains sukan,” ujar beliau. Pada tahun-tahun sebelumnya, APK kebanyakannya dibanjiri dengan jualan makanan, minuman, pakaian, aksesori, kraf tangan dan sebagainya. Antara permainan yang yang dianjurkan pada APK tersebut termasuklah ujian kecergasan, ketangkasan dan masa reaksi antaranya mystery box, golf destination, ‘panahan asmara’, ‘roda impian’ dan headshot bottle. Bagi salah seorang peserta APK, Fredee Jaulis, dengan adanya program yang menawarkan kursus keusahawanan ini para pelajar sains sukan dapat menerapkan ilmu-ilmu sains sukan yang telah dipelajari semasa kuliah ke dalam bidang keusahawanan.
RABU, 03 JUN - Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia (Kesukma UKM) mengukuhkan lagi kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui lawatan ke universiti di Negeri di Bawah Bayu itu, baru-baru ini. Lawatan Kesukma UKM Bangi yang diketuai oleh Timbalan Presidennya, Hasnan Musa bersama kira-kira 85 ahli itu mengadakan kunjungan kepada Pemangku Pendaftar UMS, No’man Hj. Ahmad yang mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah. Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden Kesatuan Kakitangan Am UMS (KEKAUMAS), Amat Jutrah Musnih mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kesukma UKM kerana memilih UMS sebagai tumpuan utama lawatan mereka. Katanya, hubungan antara UKM dengan UMS memang sudah lama terjalin dalam kalangan pegawai pengurusan mahupun staf pelaksana memandangkan ramai staf yang bertugas di UMS berasal dari UKM Kampus Cawangan Sabah dahulu.Sementara itu, No’man berharap kesemua peserta lawatan bergembira dengan kunjungan mereka ke UMS.
SELASA, 02 JUN