Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyumbangkan sebanyak 78 bakul bantuan kepada mangsa kebakaran Kg. Tanjung Batu Laut Logpond, Tawau di Dewan Kompleks Sukan Tawau.

Kandungan bakul bantuan terdiri daripada kit pembersihan diri (hygene kit) serta barangan keperluan asas untuk menyambut ketibaan Ramadan adalah hasil sumbangan Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf (CIEW), Pusat Islam UMS, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), warga UMS serta orang perseorangan yang ikhlas memberikan sumbangan.

Proses penghantaran serahan sumbangan ini diusahakan oleh Bahagian Keselamatan UMS diketuai Ketuanya, Kolonel (Kes) Abdul Talib Arifin; Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS 4WDVC) diketuai Presidennya, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan HUMS diwakili Timbalan Pengarah Pengurusan dan Operasi, Samsuidin Nurdin.

Sumbangan diserahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMS, Samasudin Yusop dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof kepada Pegawai Pertahanan Awam Daerah Tawau, Kapten PA Japli bin Haji Siping untuk diagihkan kepada semua mangsa terlibat.

Sementara itu, antara mangsa yang turut terkesan dengan musibah yang berlaku pada 6 Mac lalu ialah dua pelajar UMS iaitu pelajar tahun satu Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Nur Syafiqah Amani binti Abri dan pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Muhd Iqmal bin Hamsah.

Kedua-dua mereka menerima sumbangan tunai daripada JHEP untuk membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi.

Semoga bantuan ini sedikit banyak dapat meringankan beban mangsa kebakaran terutamanya menjelang bulan Ramadan.

Warga UMS berdoa agar semua mangsa diberikan ketabahan dan cekal menghadapi musibah ini.

Persidangan Perhutanan Tropika (TF2024) menyediakan platform perkongsian pengetahuan bagi meneroka langkah penyelesaian cabaran hutan tropika.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, persidangan itu menjadi wadahpertukaranmaklumat berkenaan isu penebangan hutan, perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan keperluan untuk pembangunan hutan yang mampan.

"Adalah penting untuk memelihara hutan tropika yang masih hid up dan melindungi kawasan tersebut daripada dit ukar kepada guna tanah lain agar fungsi terhadap alam sekitar, masyarakat serta ekonomi terpelihara.

"Saya dimaklumkan bahawa persidangan ini adalah yang kedua dianjurkan oleh Fakulti Perhutanan Tropika, Universiti Malaysia Sabah (UMS) selepas Persidangan Perhutanan Tropika yang pertamadiadakansecaramaya pada tahun 2021 (TF2021).

"Persidangan dua hari ini menghimpunkan 97 peserta terdiri daripada 87 rakyat Malaysia dan 10 peserta antarabangsa dari Indonesia, Thailand, Ethiopia, Bangladesh, serta Jepun yang akan menyampaikan dan berkongsi ilmu dalam pelbagai tema pembentangan," ujarnya ketika merasmikan Persidangan Perhutanan Tropika (TF2024) di UMS.

Beliau berharap peserta akan memanfaatkan sepenuhnya persidangan tersebut bukan hanya untuk berkongsi penemuanpenyelidikan, malah meningkatkan rangkaian penyelidikan di peringkat tempatan dan antarabangsa selain menjadikan pengurusan dan pemuliharaan perhutanan tropika di rantau ini berjaya dan mampan.

Persidangan TF2024 menampilkan Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Frederick Kugan dan Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr. Wan Mohd Shukri Wan Ahmad sebagai pembentang utama manakala Pengerusi Eksekutif Jawala Corporation Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Majid Khan dan Pengurus Projek Pengurusan Mampan Ekosistem Tanah Gambut di Malaysia (SMPEM), Prof Dr Ahmad Ainuddin Nuruddin selaku pembentang jemputan.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor; Dekan Fakulti Perhutanan Tropika UMS, Prof. Madya Dr Normah Awang Besar @ Raffie; Timbalan Ketua Konservator Hutan (Perancangan dan Pengurusan) Jabatan Perhutanan Sabah, Indra P. H. Sunjoto; dan Pengerusi Penganjur Persidangan TF2024, Prof. Madya Dr Maria Lourdes T. Lardizabal.

Hampir 100 kakitangan menjayakan Majlis Apresiasi Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 2024 di Grand Ballroom, Palm Beach Resort & Spa.

Majlis yang diadakan sempena Ulang Tahun Jubli Perak ke-25 itu dirasmikan oleh Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abd Hamid.

Dr Mohamad Rizal ketika berucap pada majlis iru berkata, UMSKAL telah melalui pelbagai cabaran dan kejayaan serta suka duka sepanjang penubuhan kampus ini.

Jelas beliau, sebagai sebuah pasukan, kita perlu berusaha dan bekerja dengan sedaya upaya untuk memastikan UMSKAL terus cemerlang dalam pelbagai bidang sekaligus turut mengharumkan nama UMS sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

“Budaya integriti perlu disemai dan ditanam dalam diri kita sebagai penjawat awam dengan menghindari sebarang isu salah guna kuasa, rasuah, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, berpecah belah, bersifat perkauman atau kenegerian dan sikap negatif yang lain”, katanya.

Jelasnya, pada tahun 2023, UMSKAL telah menempah pelbagai kejayaan antaranya Anugerah Inovasi Kategori Pengurusan Organisasi Terbaik, Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan (tempat ketiga), Pencapaian Cemerlang dalam Audit EKSA 2023 dan Penarafan Lima Bintang dalam Pemeriksaan Mengejut Pengurusan Kewangan PTJ UMS.

Pada majlis itu, Anugerah Ikon Kepimpinan dan Kualiti 2023 kategori Kumpulan Ahli Akademik disandang oleh Prof. Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Mas Adi Alimin (Kumpulan Pengurusan dan Profesional) serta Mohd Abdullah Manggul dan Faridah Adam (Kumpulan Pelaksana).

Manakala Anugerah Ikon Aspirasi kategori Kumpulan Ahli Akademik dimenangi oleh Prof. Madya Dr Hanudin Amin. Ismet Zulfiqar Ahmad Shaffe (Kumpulan Pengurusan dan Profesional) serta Khatijah Ayub, Asmah Abdullah dan Azmy Idris (Kumpulan Pelaksana).

Sementara itu, seramai 11 kakitangan menerima Anugerah Penghargaan Sanjungan Bakti Setia iaitu kakitangan yang telah mencapai tempoh perkhidmatan selama 25 tahun bersama UMSKAL pada tahun ini yakni bermula dari pembukaan dan pengambilan kumpulan pertama pelajar di UMSKAL pada tahun 1999.

Mereka ialah Abdillah Hamid, Asli Ukal, Che Din Md Salleh, Johari Safar, Ismet Zulfiqar Ahmad Shaffe, Salawati @ Syahmira Abd Hamid, Saradli Arsat, Malai Zaidee Bakar, Rahman @ Abd Rahman Ibrahim, Suriah Kahar dan Sulaiman Abdullah.

Anugerah Pejabat Terbaik pula dimenangi Sektor Pengurusan Kolej Kediaman diikuti Sektor Kewangan dan Sektor Perpustakaan.

Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah dan Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia UMSKAL, Mas Adi Alimin selaku Penyelaras Majlis.

Hadir sama Ketua-ketua Sektor, pensyarah dan kakitangan.

 

Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH) di bawah Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan lawatan kerja penanda aras dan kunjungan hormat ke Halal Development Corporation Berhad (HDC), Halvec Laboratories Sdn. Bhd., Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) dan Institut Fatwa dan Halal, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi merangka gerak kerja dan peluang kerjasama.

Pengarah PPPH, Dr. Noorakmar Ab Wahab berkata, program itu antara lain bertujuan memperkenalkan dan mewujudkan sinergi positif di antara PPPH UMS bersama agensi terlibat dalam memperkasakan industri dan seterusnya ekosistem halal di Sabah.

Katanya, ruang dan peluang dalam mengembangkan perkhidmatan halal terutamanya latihan dan kursus yang diperlukan oleh pengusaha makanan sama ada di peringkat kotej, kecil dan sederhana dan perusahaan besar untuk ditawarkan oleh PPPH telah dikenal pasti, antaranya latihan asas dan profesional sertu.

“Peluang penggunaan platform bersepadu halal yang dimaklumkan HDC membolehkan penyertaan PPPH untuk berhubung lebih dekat dengan ekosistem dan pihak berkepentingan halal.

“Selain itu, perbincangan strategik di antara PPPH bersama Halvec Laboratories Sdn. Bhd dan MyHAC adalah satu permulaan yang baik bagi merangka hala tuju dan persediaan PPPH dalam menubuhkan perkhidmatan analisis makmal. Selain latihan kompetensi kakitangan, kerjasama penyelidikan dan latihan industri pelajar juga merupakan antara perkara yang dibincangkan.

“Di samping itu, ia juga bagi mendapatkan maklumat terkini terutama daripada Bahagian Sekretariat Majlis Halal Malaysia dan Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Noorakmar, pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada PPPH selaku penyedia latihan halal (PLH) di Sabah telah dilanjutkan baru-baru ini.

Selain itu, potensi kolaborasi penyelidikan serta perkhidmatan latihan pada masa hadapan turut dibincangkan.

“Dalam perbincangan yang sama, Dekan FSMP, Prof. Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi terlibat atas kesudian menerima kunjungan hormat dan memberi sepenuh sokongan kepada PPPH dalam merangka serta menjalankan aktiviti penyelidikan dan perkhidmatan halal.

“Pengukuhan hubungan rakan strategik ini amat penting bagi membentuk hala tuju PPPH yang lebih mampan serta akan memberi manfaat kepada negeri Sabah,” katanya.

Hadir sama, ahli-ahli PPPH iaitu Mohd Hazim Mohd Yusof, Ts. Dr. Nor Qhairul Izzreen Mohd Noor dan Mohd Fadhil Nanun.

 

Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjenamakan semula Bilik Mesyuarat Utama pusat tersebut sebagai Bilik Mesyuarat Ahmat Adam, sempena nama pengasas PPIB, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof berkata, program itu antara lain bertujuan sebagai inisiatif PPIB dalam mengiktiraf dan menghargai jasa dan sumbangan pengasas serta pemimpin PPIB.

Katanya, pemilihan penjenamaan bilik mesyuarat tersebut dipilih dengan sangat teliti sebagai mencerminkan nilai-nilai kebersamaan dan keharmonian yang diharapkan akan diterapkan dalam setiap perbincangan pada masa akan datang.

“Bilik Mesyuarat Ahmat Adam akan menjadi tempat di mana idea-idea cemerlang bersatu, keputusan dibuat dengan bijak dan kolaborasi berkembang. Diharapkan agar ruang ini akan menjadi tempat di mana segala perbincangan berlangsung dengan penuh hormat, kejujuran, dan kefahaman.

“Di samping itu, penjenamaan bilik ini juga untuk memperingati perjalanan PPIB sebagai sebuah organisasi yang menggambarkan usaha bersama dalam membina hubungan yang kukuh dan mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni.

“Semoga PPIB berkomitmen untuk terus memperkukuhkan hubungan ini demi mencapai matlamat dan visi bersama,” katanya.

Dalam majlis itu juga, Dekan PPIB, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng turut membacakan ucapan khas daripada Profesor Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam yang pencen dari UMS pada tahun 2006 bagi menzahirkan rasa penghormatan dan penghargaan yang besar kepada UMS dan PPIB.

“Hidup ini adalah ibarat sebuah perjalanan, bukannya sebuah destinasi. Ia penuh dengan pengajaran, seksaan jiwa, kegembiraan, perayaan, dan saat-saat istimewa yang akan menghala ke arah destinasi kita, tujuan kita dalam kehidupan.

“Saya pun tidak menduga kepemimpinan saya suatu masa dahulu di PPIB telah dihargai dan dirakamkan dengan menamakan bilik mesyuarat pusat ini dengan nama saya.

“Sesungguhnya, sewaktu saya mengendalikan pengurusan PPIB serta cuba memperkukuhkan konsep ilmu yang menyangkut padanya, saya tidak akan berupaya mengerjakannya tanpa sokongan dan dukungan padu kawan-kawan sekalian,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar PPIB akan terus menyebarkan ilmu yang memanfaatkan bukan sahaja kepada para pelajar UMS tetapi semua orang yang mencintai ilmu pengetahuan yang berteraskan kemanusiaan dan kesejagatan pemikiran yang berunsur kesarjanaan.

“Di hari tua saya sekarang yang kini saya lalui, saya pun cuba sedaya yang mungkin untuk meneruskan budaya penataran (yakni ertinya “upgrading”) ilmu dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan, dengan harapan sumbangan saya yang tak seberapa ini akan memanfaatkan masyarakat dan negara yang tercinta,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Hubungan Antarabangsa), Profesor Madya Dr. Mohd. Azri Ibrahim; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Khidmat Komuniti) PPIB, Dr. Kavitha A/P Ganesan serta Ketua Pentadbiran PPIB, Alna Tugon