Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Alpro Pharmacy Sdn. Bhd. bekerjasama bagi meningkatkan peluang pekerjaan graduan program Sarjana Muda Pemakanan UMS.

Kerjasama itu dimeterai melalui memorandum perjanjian persefahaman (MoU) yang diadakan baru-baru ini.

Melalui kerjasama tersebut, UMS dan Alpro Pharmacy akan meluaskan kerjasama melalui kepelbagaian aktiviti pengajaran dan pembelajaran termasuk latihan industri serta khidmat masyarakat dalam kalangan pelajar Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS.

Menurut Ketua Progam Pemakanan UMS, Dr. Norliyana Aris, Alpro Pharmacy Sdn. Bhd. menjadi pilihan 40 peratus pelajar Program Pemakanan untuk menjalankan latihan industri mereka.

“Ini kerana Alpro menyediakan platform dan modul latihan yang menyeluruh untuk memastikan pelatih nutritionist bersedia menempuh alam pekerjaan.

“Selain itu, Alpro juga secara aktif mempromosikan penglibatan komuniti melalui pelbagai program promosi pendidikan pemakanan dan kesihatan yang menyasarkan pelbagai peringkat umur selari dengan skop kerja seorang pakar pemakanan,” katanya.

Tambah Norliyana, dengan lebih 260 Alpro Touch Points, farmasi Komuniti, pusat fisioterapi dan klinik kesihatan, perjanjian persefahaman ini akan meningkatkan peluang pekerjaan bagi graduan Program Sarjana Muda Pemakanan dengan Kepujian UMS.

“UMS dan Alpro telah menjalankan beberapa aktiviti bersama sejak tahun 2022 seperti perkongsian latihan industri dan klinik pekerjaan, Career Fair FSMP 2023, dan menandatangani perjanjian surat niat,” jelasnya.

Majlis pertukaran dokumen MoA di antara UMS dan Alpro disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor dan Pengurus Sumber Manusia Alpro Pharmacy Sdn. Bhd. Chong Pay Yi.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Komunikasi Korporat (PKK) menyantuni komuniti luar bandar di Kampung Sayap, Kota Belud dengan mengagihkan 60 bantuan bakul makanan kepada ibu tunggal, warga emas terlantar dan individu kelainan upaya.

Pengarah PKK UMS, Dr. Jakaria Dasan berkata kunjungan pihaknya ke kampung tersebut antara lain bertujuan mempromosikan pelancongan berasaskan pendidikan serta menjalankan beberapa aktiviti bersama penduduk.

“Menerusi kepimpinan Naib Canselor UMS, Profesor Dr. Kasim Mansor, setiap warga UMS digesa untuk sentiasa peka kepada usaha mendekati komuniti bagi melakukan pemindahan dan perkongsian ilmu yang relevan dengan sesebuah komuniti yang didampingi.

“Usaha menyantuni komuniti di luar bandar Sabah dengan program-program sedemikian dilaksanakan bertujuan untuk memperkasa kefahaman warga UMS mengenai Komuniti Madani itu sendiri.

“Di Kampung Sayap, terpampang jelas akan wujudnya ciri-ciri Komuniti Madani. Komuniti di kampung ini mempunyai persatuan atau perkumpulan masyarakat yang sentiasa bersatu padu dalam aktiviti memajukan kampung mereka,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh kakitangan PKK UMS bersama komuniti ialah menganyam atap menggunakan daun kelapa untuk menyiapkan Pondok Malius di Puncak Gloria, menumbuk dan menampi padi serta menghasilkan kraftangan manik.

Tambah Jakaria, PKK UMS merupakan nadi penting universiti yang antara lain terlibat mengurus majlis rasmi universiti serta menyelaras hubungan awam dan publisiti menerusi rakan-rakan strategik media.

“Kesempatan menjejakkan kaki ke Kampung Sayap dan seterusnya peluang berinteraksi dengan komuniti kampung ini adalah pengalaman yang berharga dan tinggi impaknya kepada kakitangan PKK, UMS.

“Program seumpama ini memberi ruang kepada kakitangan pusat ini untuk meningkatkan ilmu berkomunikasi secara efektif dengan komuniti di luar universiti,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Sayap, Aming Gamburus berkata pihaknya bersyukur kerana UMS sering menjadikan Kampung Sayap sebagai pilihan mengadakan program khidmat komuniti.

“Ini menyebabkan kami yang tinggal di kawasan luar bandar sentiasa berasa tidak terpinggir dari arus pembangunan. Kehadiran institusi ilmu seperti UMS mengadakan program secara konsisten benar-benar dirasai oleh penduduk kampung di sini.

“Secara tidak langsung ianya memberi motivasi kepada anak-anak dari kampung ini untuk sentiasa bercita-cita maju dalam pelajaran dan seterusnya memasuki universiti khususnya, UMS,” katanya.

Pada kunjungan tersebut, PKK UMS turut mengadakan perkongsian bertajuk ‘Apa Itu Scam’ kepada komuniti Kampung Sayap serta berkongsi bahaya mengenai penipuan tersebut yang sering menjadikan warga emas dan komuniti luar bandar sebagai mangsa.

Rangkaian Pemimpin Muda Perniagaan dan Industri Sabah (SYBIL) dan Institut Penyelidikan Bioteknologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhasrat untuk menjalin kerjasama dalam meneroka peluang bagi membangunkan industri baharu di negeri ini.

Presiden SYBIL AR James Wong Kein Peng berkata, ia termasuklah dalam meneroka bidang menarik serta membantu meningkatkan ekonomi Sabah dengan lebih efisien.

“Walaupun UMS mungkin telah menjalankan penyelidikan dalam pelbagai sektor yang berpotensi besar untuk pembangunan Sabah, namun mungkin terdapat sedikit kekurangan rakan kongsi atau usahawan yang boleh mengangkat hasil penyelidikan.

“Justeru kita di SYBIL mahu dan berhasrat untuk membawa hasil penyelidikan yang bertujuan bagi mewujudkan kerjasama, perkongsian dan hubungan kerja dengan UMS bagi Bersama-sama membangunkan peluang perniagaan baharu untuk diceburi dan dipertingkatkan oleh pemilik perniagaan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan kunjungan ke Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS.

James berkata, persatuannya berhasrat untuk membangunkan sektor selaras dengan agenda pembangunan ekonomi Kerajaan dan mewujudkan lebih banyak peluang dalam pelbagai bidang.

“Antaranya ialah membangunkan produk keselamatan makanan atau ‘Food Security’ selain meningkatkan hasil produk-produk berkaitan seperti produk makanan, ayam, telur dan pelbagai lagi.

“Selain itu, kita juga berhasrat untuk membangunkan dan mengkormesialkan sumber hiliran produk mentah Sabah yang sedia ada selain pembuatan dan perindustrian untuk dieksport,” katanya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) memfokuskan kepada lima lensa yang akan membantu universiti itu terus meneraju kecemerlangan dalam memenuhi visi dan misi penubuhannya.

Lima lensa tersebut ialah penyediaan bakat; pengukuhan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan; pemindahan dan perkongsian ilmu; pengantarabangsaan serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, perspektif penyediaan bakat UMS melibatkan dua aktiviti utama iaitu program akademik berkelas dunia dan pembangunan kemenjadian mahasiswa.

“Bagi lensa kedua, sepuluh aktiviti pengukuhan akan dilaksanakan untuk memacu kecemerlangan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan; antaranya pewujudan sepuluh living labs, memperbanyak kecemerlangan penerbitan dan pemerkasaaan Kluster Penyelidikan.

“Seterusnya lensa tiga iaitu pemindahan dan perkongsian ilmu. UMS mempunyai tanggungjawab besar untuk memberdayakan komuniti dan industri melalui program pemindahan dan perkongsian ilmu.

“Ini merupakan nilai tambah penting kerana hasil penyelidikan dan keilmuan yang dijana dipulangkan semula dalam bentuk yang membawa manfaat kepada masyarakat dan industi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor UMS Tahun 2024 kepada seluruh warga UMS, pada Khamis.

Tambah Kasim, bagi lensa keempat iaitu Pengantarabangsaan, ia menumpukan kepada strategi meningkatkan daya saing global universiti, pengukuhan perkongsian dengan institusi antarabangsa serta mengembang program mobiliti pelajar.

“Lensa kelima dan terakhir adalah berkaitan Ekosistem Pemboleh Daya yang merujuk kepada mekanisme atau elemen suportif yang menyumbang kepada kecekapan dan keberkesanan pengurusan dalam pencapaian matlamat universiti.

“Dalam konteks UMS, ini merangkumi agenda kelestarian kewangan, kecekapan tadbir urus dan penyampaian, pemantapan teknologi digital dan kampus lestari,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, sebuah buku mewah bertajuk Kembara Antartika Pengalaman melalui Penyelidikan turut dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan UMS tahun ini.

Ia merupakan kisah kembara di Antartika oleh penyelidik UMS Profesor Dr. Justin Sentian yang menjalankan kajian berkaitan perubahan iklim bertajuk “Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika dalam Keadaan Cuaca Melampau” dan telah berjaya direkodkan dalam Malaysia Book of Record (MBOR).

 

Program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program ‘Fun Day Kids 2023’ bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai hak kanak-kanak.

Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPP, Dr. Roslee Talip, penganjuran program itu juga bagi memberi peluang kepada para pelajar UMS untuk menganjurkan program yang melibatkan pihak luar.

“Melalui program ini, para pelajar UMS dapat memupuk sikap kepimpinan, pengurusan masa dan gerak kerja, dan seterusnya saling bekerjasama untuk menjayakan program tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata terdapat tiga aspek perkembangan yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak secara menyeluruh, bersepadu dan seimbang, iaitu melalui penguasaan kognitif, afektif dan psikomotor.

“Kanak-kanak juga harus mengetahui dan belajar tentang langkah-langkah menjaga keselamatan diri apabila berada di sesebuah tempat. Pendidikan seksual dapat memperkasakan kanak-kanak dengan ilmu pengetahuan serta melindungi hak mereka.

“Program ini juga merupakan usaha yang baik oleh para pelajar UMS untuk memberikan kesedaran sosial kepada kanak-kanak supaya dapat menanam dan mengamalkan semangat perpaduan, permuafakatan dan interaksi dengan membentuk sahsiah diri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut yang diadakan di UMS baru-baru ini.

Untuk rekod, seramai 50 kanak-kanak Tabika KEMAS Bolong Baru A dan Baru B Tuaran Sabah serta 32 pelajar PAKK UMS terlibat menjayakan program tersebut.

Hadir sama bagi menjayakan program ini, ialah Ketua Program PAKK FPP UMS Dr. Juppri Bacotang; Prof. Madya Dr. Abdul Said Ambotang dan Saturia Amiruddin.

Antara pengisian menarik program ini ialah aktiviti senamrobik, sukaneka, aktiviti mewarna serta sesi ceramah berkaitan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial

(PEERS) untuk kanak-kanak yang disampaikan oleh Pengetua Tadika Elit Ceria Q-Dees Putatan, Prisca Caroline Pius.