Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Balan Rathakrishnan diiktiraf sebagai antara Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2023 oleh Akademi Sains Malaysia (ASM), baru-baru ini.

Pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS itu menyediakan pelbagai latihan, rundingan dan penyelidikan kepada pelbagai jenis organisasi tempatan dan antarabangsa dalam bidang pembangunan belia dan komuniti serta psikologi industri dan organisasi.

Balan berkata, para saintis penyelidikan Malaysia menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui penjanaan dan penyebaran pengetahuan, penciptaan kekayaan dan usaha produktif untuk kecemerlangan saintifik bagi manfaat kemanusiaan.

“Sehubungan itu, pangkalan data TRSM bertujuan mengiktiraf dan mempamerkan pencapaian para saintis penyelidikan Malaysia sebagai pemain peranan dari segi kecemerlangan, mentor kepada generasi akan datang serta pemimpin untuk terus memajukan penyelidikan bidang sains, teknologi dan invovasi (STI),” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Balan, pengiktirafan yang diberikan kepada beliau akan digunakan sebagai satu mekanisme untuk menyedarkan orang ramai tentang kepentingan bidang penyelidikan kemanusiaan seperti bidang psikologi kepada komuniti.

“Saya berhasrat untuk melibatkan lebih banyak penyelidik muda untuk turut serta dalam penyelidikan bidang sains sosial dan kemanusiaan.

“Hasil dapatan ini akan dapat membantu meningkatkan kualiti dan kesejahteraan manusia sejagat serta meningkatkan hasil kreativiti dan inovasi dalam membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti,” ujarnya.

Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terlibat secara langsung dalam bidang penyelidikan selama lebih 20 tahun, Balan turut menyediakan latihan berkaitan pengurusan tekanan, ujian psikometrik untuk pembangunan kerjaya, penyertaan pekerja, pengurusan sumber manusia, skim ganjaran serta kreativiti dan bidang-bidang lain yang berkaitan.

Projek TRSM dibangunkan sebagai sebahagian daripada fokus ASM dalam memupuk budaya kecemerlangan STI.

 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor mengalu-alukan sumbangan daripada para alumni dalam pembangunan universiti itu.

Katanya, sumbangan boleh dihulurkan melalui pelbagai mekanisme seperti idea, tenaga, kepakaran mahupun kewangan ke arah memperkasakan kerjasama antara alumni dan UMS.

“Segala kemahiran, pengalaman dan perkongsian ilmu yang diperoleh oleh para alumni selepas bergraduat harus dikongsi bersama warga kampus.

“Pendapat saya, bukan nilai pada sumbangan yang diberikan kepada universiti, sebaliknya bagaimana bentuk sumbangan itu mampu membawa perubahan kepada pembangunan universiti dan juga kebaikan kepada masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada program Sunset Gathering Alumni UMS, baru-baru ini.

Tambah Kasim para alumni merupakan aset yang amat berharga dan penting kepada sesebuah universiti.

“Hubungan di antara universiti dan alumni perlu diperkukuhkan kerana peranan alumni amat signifikan dalam membantu mengangkat martabat universiti khususnya dalam pengumpulan dana bagi membiayai pembangunan infrastruktur dan kemudahan di universiti.

“Saya amat berharap agar pada masa-masa akan datang, program seumpama ini akan dapat diperluaskan lagi dengan penganjuran pelbagai program yang melibatkan zon dan chapter lain di seluruh negara,” ujarnya.

Kira-kira 180 alumni dan kakitangan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) hadir ke program tersebut yang berlangsung di Desa Tunas Hijau (Desaland) Recreation Village, Labuan.

Terdahulu Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Arif@Kamisan Pusiran berkata program itu antara lain bertujuan memperkukuhkan hubungan dengan alumni-alumni UMS khususnya yang berada dan berkhidmat di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Di samping itu juga, program yang diadakan ini turut memberi peluang pada alumni yang hadir berkongsi pengalaman dan mewujudkan hubungan silaturahim sesama alumni.

“Program ini penting sebagai medan perbincangan antara alumni dan pihak pentadbiran universiti bagi membuka peluang kerjasama yang luas dalam usaha menambah baik agenda pembangunan universiti,” jelasnya.

Program tersebut turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin serta pegawai-pegawai utama dan kanan UMS.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui U-Science menerima peralatan-peralatan Makerspace bernilai RM50,000 daripada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bagi meningkatkan daya saing inovasi dan budaya mencipta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh, sumbangan ini merangkumi pelbagai jenis peralatan Makerspace iaitu komputer, pencetak 3D, Smart TV, pemotong dan pengukir laser, set Arduino dan sebagainya.

“YIM melalui inisiatif pembangunan Ruang Daya Cipta (RDC) bermatlamat sebagai hab perkongsian pengetahuan dan kemahiran.

“Ia termasuklah pengalaman praktikal melalui kaedah Quintuple Helix iaitu gabungan kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena kunjungan hormat beliau bersama pegawai-pegawai YIM ke Pejabat Naib Canselor bagi mengadakan pertemuan bersama Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor baru-baru ini.

Sharmila juga berharap sumbangan itu dapat memberikan manfaat secara menyeluruh terutama kepada semua warga UMS.

“Saya percaya dengan potensi besar masyarakat negeri Sabah untuk menghasilkan sesuatu ciptaan atau inovasi melalui kemudahan atau akses kepada peralatan-peralatan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kasim dalam pertemuan tersebut turut merakamkan penghargaan kepada YIM atas sumbangan yang telah diberikan.

“UMS amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan oleh YIM.

“Ini adalah sumbangan kedua yang diberikan YIM kepada U-Science, yang sebelum ini turut menyumbangkan peranti pintar.

“Saya berharap pelajar-pelajar UMS mahupun komuniti di sekitar UMS dapat mengambil peluang serta memanfaatkan dengan baik peralatan Makerspace ini,” katanya.

Komitmen YIM dalam menyokong U-Science UMS melalui sumbangan peralatan Makerspace, menunjukkan kerjasama antara kedua-dua organisasi inovatif ini dalam memastikan daya kreativiti dan penerokaan terus berkembang di Sabah.

 

Program Youth Leadership Summit (YLS) 2023 anjuran Kelab YOSH Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menyemai jiwa kepimpinan pelajar baharu di UMS.

Menurut Pengarah Program YLS 2023, Ahmad Fauzi Jamaluddin, salah satu yang menarik tentang program itu adalah peserta dilatih untuk memimpin perbincangan dan mengemukakan idea dalam kumpulan.

“Mereka diajar bagaimana merancang program-program di bawah bidang minat masing-masing yang akan dilaksanakan sepanjang tahun.

“Mereka turut diberikan peluang untuk memilih antara dua fokus utama yang dijelaskan oleh Kelab YOSH UMS, iaitu Bahagian Kesukarelawanan dan Pendidikan,” jelasnya.

Ahmad berkata, peserta diberi kebebasan untuk memilih bidang fokus yang sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka untuk mengembangkan kreativiti, kemahiran berkomunikasi, dan memberi tumpuan kepada memupuk jati diri dan mengasah kemahiran kepimpinan para peserta.

“Ia melalui pelbagai aktiviti, bengkel, dan sesi pembentangan oleh pembicara berpengalaman, peserta dapat meningkatkan kemahiran kepimpinan, kerjasama pasukan, penyelesaian masalah, dan komunikasi,” ujarnya.

Tambah beliau, mereka mengadakan lawatan ke “Annur Alternative School” Kampung Abab, berhampiran UMS untuk melatih mahasiswa berkomunikasi khususnya dengan masyarakat setempat.

“Antara aktiviti yang dilakukan adalah “Projek 3M”, yang mana para pelajar akan mengajar anak-anak daripada golongan asnaf untuk membaca, mengira, dan menulis,” katanya.

Sementara itu, menurut salah seorang peserta program tersebut, Farah Nabiilah Izzati, program itu memberi pengalaman yang sangat tidak ternilai melalui aktiviti yang memberi impak positif pada sahsiah dan insaniah diri.

“Melalui program ini juga, saya dapat memupuk lagi bakat kepimpinan sebagai nilai tambah dalam diri saya, sekali gus mampu berkenalan dengan rakan sekeliling serta menjadikan diri lebih peka tentang keadaan masyarakat sekeliling,” katanya.

Seramai 30 orang peserta terdiri daripada pelaja baharu UMS yang mewakili pelbagai latar belakang bidang pengajian di UMS telah menyertai program YLS selama dua hari di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS.

Pada hari terakhir program, turut berlangsung majlis penutupan program yang dirasmikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UMS selaku penasihat II Kelab YOSH UMS, Dr. Razak Mohd Ali Lee.

Lebih 150 ahli profesional, pakar dan pemimpin pemikiran dari seluruh dunia telah menyertai simposium serantau pertama dalam bidang komunikasi perubahan sosial dan tingkah laku (SBCC) mulai hari ini dan esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini.

Program SBCC yang julung kali diadakan ini dianjurkan bersama oleh UNICEF Malaysia dan tiga universiti awam terkemuka iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Wakil UNICEF Malaysia dan Wakil Khas Brunei Darussalam, Robert Gass berkata, simposium ini mengumpulkan pengamal SBCC untuk berkongsi amalan terbaik, meneroka peluang dan membangunkan penyelesaian mampan bersama komuniti.

"Kami berharap dapat memperdalam perkongsian kami untuk mencapai hasil yang lebih baik untuk setiap kanak-kanak di rantau ini. 

"Penyelesaian kepada banyak masalah yang dihadapi oleh generasi hari ini berpunca daripada norma dan tingkah laku sosial.

"Berpandukan mantra ‘nothing about us, without us’, strategi perubahan sosial dan tingkah laku mempunyai potensi untuk memperkasakan individu untuk membuat pilihan yang melindungi hak mereka, membangunkan komuniti dan menggalakkan daya tahan, “ katanya.

Majlis perasmian program yang bertemakan "SBCC di Asia Tenggara dan Pasifik Selatan: Membuka Potensinya untuk Pembangunan dan Daya Tahan Komuniti” ini disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Hj Noor.

Beliau menambah, simposium yang berlangsung selama dua hari ini akan menampilkan 17 program yang merangkumi ucaptama, sesi pleno, pembentangan lisan, zon pengalaman, forum, sandbox, sesi meja bulat selari dan majlis penutup.

“Selain itu, simposium ini turut menampilkan 35 orang penceramah dari tujuh negara iaitu Malaysia, Vietnam, Laos, Thailand, Singapura, Indonesia dan New Zealand.

“Antara penceramah yang terkenal adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Axiata Foundation, Mohamad Kamal Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul dan personaliti media, Kamarul Bahrin Haron.

“Ketiga-tiga penceramah tersebut merupakan ahli panel untuk sesi plenari bertajuk "Kepelbagaian Suara, Perkongsian Wawasan: Strategi Kolaboratif SBCC", yang dijadualkan pada hari pertama simposium,“ jelasnya.

Menurut Robert Gass, Simposium Serantau SBCC Asia Pasifik 2023 mempunyai matlamat untuk membuka peluang pelaburan SBCC di rantau ini, dan mengukuhkan rangkaian SBCC bersama pelbagai pihak berkepentingan, rakan kongsi strategik dan pemain utama di rantau ini bagi menghasilkan pembangunan mampan.

Sementara itu, Pengarah Program UPM-UNICEF C4D, Dr Tham Jen Sern berkata, biarpun penglibatan tiga universiti awam dalam inisiatif SBCC ini mempunyai keistimewaan tersendiri dengan menampilkan kepelbagaian objektif, namun ketiga-tiga institusi ini mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan Malaysia.

“Kami bersama-sama berharap program SBCC dapat dapat memberi sinar, peluang dan harapan yang merentasi pelbagai lapisan masyarakat,” jelasnya.