Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Seni dan Teknologi Kreatif (PASTIK23) di Theatrette Ahmad Nisfu, ASTiF baru-baru ini. 

Persidangan dua hari yang bertemakan Seni, Kreativiti dan Teknologi Memartabatkan Budaya itu menghimpunkan sebanyak 68 kertas kerja merangkumi pelbagai tajuk yang berkait dengan seni, sastera lisan dan moden, tarian, teater, filem serta industri kreatif.

Ucaptama persidangan ini disampaikan oleh Pengasas Studio Ace Production, Geoffrey Sinn Chun Hou yang bertajuk Navigating Relevance: Creative Workers in the Transformative Era.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, PASTIK23 merupakan usaha ASTiF yang cemerlang dalam konteks mempromosikan penyelidikan khususnya dalam bidang seni kreatif.

“Peranan seni kreatif sebagai satu medium yang mengangkat budaya, adat dan tradisi pemangkin masyarakat perlulah diteruskan dengan mengimplimentasikan teknologi seni kreatif bagi memperkasa adat dan tradisi warisan menerusi pertemuan para pengkaji dan ahli akademik yang menjadi satu platform perbincangan dan perkongsian informasi dalam sejagat kebudayaan.

“Pakar seni haruslah mengambil peluang dengan menggabungkan disiplin ilmu seni dalam bidang reka bentuk grafik, sains dan industri melalui penggunaan teknologi komputer untuk menghasilkan penerbitan akademik yang berkualiti,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Tambah beliau, implementasi teknologi dalam bidang seni mampu membuka horizon baharu kepada para pengkaji seni untuk lebih kreatif dengan menggabungkan berbagai elemen visual, audio dan interaktif.

Katanya, gabungan disiplin ilmu dalam penyelidikan dan penerbitan penting untuk mengintelektualkan ilmu seni, sekali gus mampu melonjakkan martabatnya secara global.

PASTIK23 dianjurkan buat kali ketiga melibatkan seramai 123 peserta dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UITM) termasuk UMS serta universiti antarabangsa dari Brunei, Indonesia dan China.

Turut hadir Dekan ASTiF, Prof. Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam dan Pengerusi PASTIK23, Prof. Dr. Low Kok On.

 

Dalam usaha untuk terus menyemai dan menyuburkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan masyarakat, Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama-sama komuniti pustakawan di negeri Sabah telah menjayakan Program Kembara Merdeka 2023 baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pustakawan Malaysia dengan kerjasama Perpustakaan UMS, Perpustakaan Negeri Sabah, Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd Fuad Stephens, Yayasan Sabah serta Kelab Pemilik Basikal Retro Membakut (KROM).

Program tahunan itu antara lain bertujuan untuk meyemarakkan semangat patriotik dan nilai kecintaan kepada bangsa dan negara, selain menjadi medan meningkatkan jalinan ukhuwah dikalangan pustakawan dan warga perpustakaan sekitar Kota Kinabalu dengan bekerjasama menggembleng tenaga menjayakan program tersebut.

Menurut Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif, Kembara Merdeka itu sudah menjadi acara anjuran tahunan oleh Persatuan Pustakawan Malaysia kumpulan Sabah dan pada tahun ini diadakan di Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Membakut.

“Pihak kami akan sentiasa bersedia untuk menyokong program-program yang berkaitan, dengan harapan program seumpama ini membawa harapan yang besar untuk memberi impak positif kepada masyarakat.

“Ia bukan hanya merayakan sejarah kita, tetapi juga menggalakkan kesedaran akan kepentingan ilmu dan pengetahuan dalam pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks perasmian yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih Ching Yaw.

Tambah beliau, melalui penganjuran program tersebut, masyarakat dapat bersatu dalam semangat persatuan dan keharmonian yang telah menjadi ciri utama Malaysia khususnya di Sabah.

“Melalui program ini juga, masyarakat dapat menghayati kembali perjuangan yang telah membawa kita kepada kemerdekaan dan mengapresiasi kesepakatan antara kaum yang membentuk negeri dan negara kita yang unik,” ujarnya.

Program Kembara Merdeka 2023 bermula di Stesen Keretapi Tanjung Aru sehingga ke Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Membakut yang diadakan bersempena dengan Hari Malaysia.

Untuk rekod, seramai 120 orang yang terdiri daripada peserta dan jemputan telah menghadiri majlis perasmian program tersebut.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kecil Membakut, Ibrahim Terki dan Ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md Salleh.

 

Pementasan ‘Muzikal 1963’ anjuran Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menggamit kenangan perjuangan pemimpin negeri memerdekakan Sabah.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, universiti berperanan sebagai medium dalam membantu negara menerapkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

“Pementasan ‘Muzikal 1963’ merupakan inisiatif UMS dalam membawa rakyat Sabah mengenang kembali perjuangan dan pengorbanan pemimpin dalam membangun negeri Sabah melalui pendekatan yang lebih mudah, interaktif, dan menghiburkan serta memberi impak melalui mesej dan pengajaran yang dimuatkan dalam pementasan malam ini.

“Secara peribadi, pementasan malam ini amat saya nantikan. Saya ingin melihat transisi era kemodenan negeri Sabah dari sudut yang berbeza.

“Ini mencerminkan demokrasi yang subur di negeri ini kerana rakyat Sabah sentiasa meraikan perbezaan. Ia juga memberi isyarat yang jelas bahawa semangat perpaduan di negeri ini amat jitu,” ujarnya ketika ditemui selepas pementasan selesai di Dewan Resital, UMS.

Tambah Rahman, pihaknya berharap pementasan muzikal ini akan mendapat sambutan di samping menyuntik semangat patriotik dalam jiwa masyarakat Sabah.

“Saya juga berharap agar pementasan ini memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kemerdekaan dengan menzahirkan rasa cinta kepada negeri dan negara ini.

“Di samping itu, ia juga diharap dapat menyuburkan ingatan kita mengenai perjuangan pemimpin terdahulu dalam membangunkan negeri kita,” katanya.

Pementasan “Muzikal 1963” berlangsung sehingga 23 September 2023 di Dewan Resital, UMS.

Hadir sama, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor; Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Haji Aliasgar Haji Basri dan Samasuddin Haji Yusop; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin serta Dekan ASTiF, Prof. Madya Dr. Zairul Anwar Md Dawam.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menambah sebanyak lapan buah bas baharu dengan kos pembelian sebanyak RM4.9 juta untuk kegunaan dan keselesaan warganya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak tujuh buah bas adalah berkapasiti 45 tempat duduk dan sebuah bas coaster berkapasiti 25 tempat duduk.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, penambahan bas tersebut adalah untuk kegunaan warga UMS khususnya bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

“Selain itu juga, penambahan bas ini adalah sebagai salah satu persiapan bagi menyambut kemasukan pelajar baharu di UMS yang akan mula mendaftar pada 30 September nanti.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, UMS juga akan menggunakan bas-bas ini untuk menjemput pelajar-pelajar baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Stesen Bas Inanam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Perasmian Bas Baharu UMS di Dataran Dewan Canselor, baru-baru ini.

Tambah Kasim, pihak Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS telah berusaha sejak tahun 2021 untuk memastikan perolehan dan pembelian bas baharu itu berjaya direalisasikan.

“Saya berharap dengan adanya bas baharu ini, ia akan membantu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan UMS, sekali gus menjamin keselesaan pelajar dan warga UMS di samping memberi imej yang tinggi kepada universiti,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir Dr. Rosalam Hj. Sarbatly; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin; Pengarah JPP UMS, Ir. Ts. Mohd Ari Nazrul Abd Rahman serta Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Jeeva Cassandra Abdul Mumin.

 

Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 3 Oktober 2023 hingga 2 Oktober 2025.

Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi satu kenyataan, semalam, menyatakan Prof Dr. Kasim telah mula menyandang jawatan Naib Canselor UMS pada 3 Oktober 2022.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Indiana State, Terra Haute, Amerika Syarikat (AS) manakala Ijazah Kedoktoran (PhD) Ekonomi dari University of Wisconsin, AS.

Prof. Dr. Kasim adalah seorang tokoh akademik yang dihormati di negeri Sabah dan telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang telah berjaya melonjakkan reputasi UMS di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Di bawah kepimpinan beliau, UMS telah berjaya menempatkan diri pada kedudukan ke-55 dalam Asian University Ranking 2023 dan berada di kedudukan antara 251-260 terbaik Asia dalam QS Asia University Ranking 2023.

Dengan pelantikan semula Prof. Dr. Kasim sebagai Naib Canselor, Kementerian yakin UMS akan terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara universiti komprehensif terbaik di Malaysia dan terus menyumbang kepada pembangunan Negeri Sabah melalui aktiviti akademik dan penyelidikan universiti.