Wabak Senyap di Poket Sendiri

 

Kemajuan teknologi yang berkembang pesat pada masa kini telah membawa pelbagai kesan terhadap pengguna. Remaja Generasi Z merupakan kumpulan yang paling terdedah kepada penggunaan teknologi melalui gajet telefon pintar. Golongan remaja berada pada tahap perkembangan yang kritikal, di mana tahap kematangan kognitif dan emosi mereka masih belum stabil, menjadikan mereka lebih mudah dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Jika tidak terkawal, ini boleh menyebabkan pendedahan berlebihan kepada media sosial, kecerdasan buatan (AI) melalui cara aplikasi memilih apa yang muncul di skrin remaja kita (algoritma kandungan), serta kandungan agresif dalam aplikasi permainan video. Secara keseluruhannya, pendedahan ini mampu memberi kesan ketara terhadap kesihatan mental dan tingkah laku remaja.

 

Statistik daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 melaporkan bahawa seramai 26.9% remaja 15-19 tahun di Malaysia mengalami simptom kemurungan berdasarkan penilaian kesihatan mental PHQ-9. Angka ini menunjukkan skala krisis yang besar. Ini boleh dikaitkan dengan perkembangan digitalisasi semasa. Penatalan tanpa henti (doomscrolling) dan perbandingan sosial dipacu oleh kandungan paparan kehidupan luar yang kelihatan sempurna walaupun tidak realistik. Situasi ini mendorong kepada rasa rendah diri dan ketidakpuasan kendiri. Ketagihan penggunaan media sosial mencetuskan tekanan psikologi akibat keinginan untuk kelihatan sempurna, meraih reaksi dan komen serta pengiktirafan sosial.

 

Kesan digital ini bukan hanya pada emosi, tetapi turut menjalar ke tingkah laku harian remaja. Komunikasi dalam talian yang berlebihan menyebabkan remaja kurang mahir memahami isyarat sosial dan respons emosi, yang akhirnya menyumbang kepada penurunan empati. Kajian mendapati remaja yang menggunakan media sosial lebih dari 4 jam sehari lebih sukar mengenali emosi orang lain dan kurang responsif secara empati. Mereka menjadi lebih bersikap defensif, lebih cepat marah, dan kurang untuk membantu rakan sebaya yang menghadapi kesukaran. Mereka juga cenderung mengasingkan diri dari persekitaran sekeliling.

 

Permainan video yang mengandungi unsur ganas berpotensi menumpulkan empati dan mendorong tingkah laku agresif dalam situasi kehidupan sebenar. Fenomena ini dapat dilihat melalui peningkatan kes buli, termasuk buli fizikal dan buli siber. Data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) 2024 menunjukkan peningkatan kes buli sebanyak 26% dari tahun sebelumnya yang mencerminkan kesan tersebut.. Revolusi digital telah menyaksikan penggunaan telefon pintar berinternet secara meluas dalam kalangan remaja yang tiada had akses. Berbeza dengan remaja pada masa lalu yang perlu mengunjungi kafe siber untuk mengakses internet atau bermain permainan video. Perubahan fungsi telefon pintar daripada hanya alat komunikasi kepada peranti pelbagai guna, termasuk akses media sosial dan permainan video, menjadikan penggunaannya lebih menarik dan berpotensi mewujudkan ketagihan. Grafik permainan yang semakin realistik turut meningkatkan daya tarikan dan kesan terhadap kesejahteraan mental remaja.

 

Kementerian Komunikasi Malaysia, baru-baru ini mencadangkan langkah berani: melarang akses media sosial untuk kanak-kanak di bawah umur 16 tahun bermula tahun 2026, atau mewajibkan pengesahan identiti (eKYC) yang ketat. Polisi sebegini memberikan signal keras kepada syarikat teknologi untuk bertanggungjawab. Selama ini, mereka mengaut keuntungan daripada perhatian anak-anak kita tanpa mempedulikan kerosakan mental. Undang-undang ini memaksa mereka mengutamakan kesejahteraan pengguna muda. Dari sudut pandang kesihatan awam, ini sama seperti kita mengawal pembiakan nyamuk untuk mencegah denggi. Jika kita tahu media sosial dan permainan video tanpa batasan adalah 'vektor' penyebar kemurungan, kegelisahan, dan tingkah laku ganas, adakah wajar kita membiarkan anak-anak terdedah tanpa perlindungan?

 

Orang ramai memberikan reaksi skeptikal dan ada yang menganggap ini menyekat kebebasan. Pengalaman China pada 2021, memperkenalkan had bermain game hanya pada Jumaat, Sabtu, dan Ahad selama satu jam menunjukkan bahawa polisi kerajaan boleh mengubah tingkah laku, tetapi ia bukanlah penyelesai sempurna. Walaupun timbul penurunan ketara dalam masa bermain, muncul cabaran baharu seperti peralihan ketagihan kepada video pendek. Melarang semata-mata adalah seperti meletakkan plaster pada luka yang dalam, ia membantu menghentikan pendarahan, tetapi tidak menyembuhkan punca penyakit.

 

Kita memerlukan pendekatan "Imunisasi Digital" iaitu strategi komprehensif yang melibatkan ketiga-tiga pemangku kepentingan utama untuk membangun ketahanan remaja terhadap risiko digital. Ini bermakna remaja dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai yang membolehkan mereka menggunakan teknologi dengan bijak dan selamat.

  • Ibu bapa sebagai barisan hadapan, sebagaimana kita tidak membiarkan anak anda memandu kereta di jalan raya tanpa lesen. Mengapa berikan mereka akses kepada lebuh raya maklumat tanpa pengawasan? Ibu bapa perlu kembali memegang autoriti. Bukan sekadar merampas telefon, tetapi mewujudkan zon bebas gajet di rumah.
  • Pendidikan sebagai pendokong besar. Sekolah perlu mengajar literasi AI dan etika digital bukan sebagai subjek elektif, tetapi sebagai subjek teras. Remaja perlu faham bahawa apa yang mereka lihat di TikTok atau Instagram adalah kurasi algoritma, bukan realiti.
  • Polisi yang tegas dengan mengehadkan umur 16 tahun sebagai satu signal keras kepada syarikat teknologi gergasi. Selama ini, mereka mengaut keuntungan daripada perhatian anak-anak kita tanpa mempedulikan kesan yang berlaku. Undang-undang ini memaksa mereka untuk bertanggungjawab.

 

Kesimpulannya, peningkatan kes buli dan keganasan remaja adalah simptom kepada persekitaran digital yang toksik. Kesihatan mental dan keselamatan fizikal lebih berharga daripada jumlah likes atau level permainan mereka. Sudah tiba masanya kita menekan butang pause sebelum terlambat. Teknologi tidak akan berhenti berkembang, tetapi kita masih boleh menentukan bagaimana ia membentuk masa depan anak-anak kita.

 

Artikel Oleh: 

Dr. Nurshafinaz Binti Hj Abu Bakar

MD (Moscow), MPH (UMS)

MMC: 94256

Doctor of Public Health (DrPH) Student in UMS

Department of Public Health Medicine

Faculty of Medicine & Health Sciences

Universiti Malaysia Sabah

Jalan UMS, 88450 Kota Kinabalu

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
01151304453

Dr. Mohammad Azri Bin Bantalani

MD (UKM), MPH (UMS)

MMC: 73451

Doctor of Public Health (DrPH) Student in UMS

Department of Public Health Medicine

Faculty of Medicine & Health Sciences

Universiti Malaysia Sabah

Jalan UMS, 88450 Kota Kinabalu

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
0163945013

  

 

 

Wabak Senyap di Poket Sendiri

22 Disember 2025

Kemajuan teknologi yang berkembang pesat pada masa kini telah membawa...

Tatacara Membuat Aduan Integriti Yang Betul

03 Disember 2025

[ARTIKEL BIUMS Siri 23/2025] Disediakan oleh: Darwis Awang, Pengarah Bahagian...

Warta: Nisan Karier Penjawat Awam

17 Oktober 2025

[ARTIKEL BIUMS Siri 19/2025] Disediakan oleh: Darwis Awang, Pengarah Bahagian...

Undi Parti Lokal, Tolak Parti luar? Pengundi Sabah Perlu Bijak Memilih

15 Oktober 2025

Artikel Oleh: Dr. Haryati Abdul Karim, Penyelidik Unit Kajian Elektoral...