Pilih bahasa anda

Language

Gangguan Seksual Di Kampus: Pencegahan, Aduan Dan Tanggungjawab Bersama

[ARTIKEL BIUMS Siri 5/2026]

 

Disediakan oleh: Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS

Gangguan seksual bukan sekadar isu peribadi, tetapi ancaman serius terhadap keselamatan, maruah dan budaya integriti di tempat kerja serta bilik kuliah. Universiti sebagai institusi ilmu mesti menjadi ruang selamat, bukan medan ketakutan. Namun, laporan terkini menunjukkan kes gangguan seksual masih berlaku di dalam kampus, melibatkan pensyarah, kakitangan sokongan dan pelajar.

 

 

APA ITU GANGGUAN SEKSUAL?

 

Gangguan seksual merangkumi kata-kata, perbuatan, isyarat atau tingkah laku yang berunsur seksual dan menyinggung perasaan orang lain. Ia boleh berlaku secara fizikal, verbal, atau melalui media digital. Contoh terkini, termasuk mesej berbaur seksual dihantar melalui aplikasi WhatsApp atau komen tidak senonoh di platform pembelajaran dalam talian.

 

 

PENCEGAHAN BERMULA DENGAN KESEDARAN

 

Pensyarah dan pegawai:

Elakkan interaksi yang boleh disalah tafsir, pastikan komunikasi profesional.

 

Pelajar:

Berani menolak dan melaporkan tingkah laku yang tidak wajar.

 

Institusi:

Wujudkan polisi jelas, latihan kesedaran, dan saluran aduan yang mudah diakses.

 

Pencegahan bukan sekadar slogan, tetapi tindakan konkrit. Misalnya, Jabatan atau Fakulti boleh mengadakan bengkel tahunan mengenai etika komunikasi dan menyediakan poster peringatan di ruang kuliah.

 

 

SALURAN ADUAN DAN HUKUMAN

 

Universiti mesti menyediakan mekanisme aduan yang telus dan melindungi pengadu daripada diskriminasi. Aduan boleh dibuat melalui Bahagian integriti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Keselamatan atau Pejabat Kolej Kediaman.

 

Mengikut Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605), kakitangan yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk:

 

1.     Amaran atau teguran bertulis;

2.     Denda atau surcaj;

3.     Penurunan pangkat;

4.     Pembuangan kerja;

 

Bagi pelajar, tindakan disiplin boleh berupa:

1.     Amaran keras;

2.     Penggantungan pengajian; atau

3.     Dibuang daripada universiti.

 

Dalam kes serius, tindakan jenayah juga boleh dikenakan.

 

Hukuman ini bukan sekadar menghukum, tetapi memberi mesej jelas bahawa gangguan seksual tidak akan ditoleransi.

 

 

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

 

Kakitangan dan Pensyarah:

Menjadi teladan, melindungi pelajar, dan melaporkan kes yang diketahui.

 

Pelajar:

Menyokong rakan yang menjadi mangsa, tidak menormalisasi jenaka atau budaya “victim-blaming”.

 

Institusi / UMS:

Memastikan dasar anti-gangguan seksual dilaksanakan, bukan sekadar di atas kertas.

 

Gangguan seksual adalah pengkhianatan terhadap nilai integriti dan amanah ilmu. Universiti yang membiarkan isu ini tanpa tindakan akan kehilangan kepercayaan masyarakat.

 

 

KESIMPULAN 

Budaya hormat dan integriti mesti menjadi asas kehidupan kampus. Pencegahan, aduan dan hukuman adalah tiga(3) tiang utama dalam menangani gangguan seksual. Semua pihak iaitu pensyarah, pegawai, kakitangan sokongan dan pelajar, hendaklah memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan universiti kekal sebagai ruang selamat, bermaruah dan berintegriti.

 

 

#GangguanSeksual

#IntegritiKampus

#TanggungjawabBersama

#UMSSelamat  

#AntiGangguanSeksual

 

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda