
Universiti Malaysia Sabah (UMS) kembali menjadi tuan rumah edisi ke-2 Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Sabah (SUIPTS) yang menghimpunkan sebanyak 23 kontinjen dari seluruh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Sabah, satu peningkatan berbanding 19 kontinjen pada edisi sulung tahun lalu.
Penyertaan atlet pada edisi kali ini juga mencatat peningkatan dengan penglibatan seramai 1,980 orang atlet yang bakal merebut 46 pingat emas dari 10 acara sukan yang dipertandingkan.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata, penyertaan yang memberangsangkan itu membuktikan bahawa sukan terus menjadi medium terbaik dalam menyatukan mahasiswa tanpa mengira institusi, latar belakang dan bidang pengajian.
“UMS percaya bahawa pengajaran secara berterusan akan memberikan impak yang besar kepada pembangunan bakat sukan mahasiswa di Sabah.
“Di IPT inilah medan yang berjaya melahirkan ramai atlet yang mewakili Malaysia ke kejohanan Sukan peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapan sempena perasmian kejohanan sukan tersebut di Dewan Canselor, UMS.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Raman Nordin.
Menurut Kasim, UMS memiliki ramai atlet yang berbakat dan berpotensi besar dalam mengembangkan kelebihan masing-masing namun tidak semua berpeluang untuk menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa disebabkan kekangan kos perjalanan dan logistik yang tinggi.
“Penganjuran SUIPTS amat signifikan kerana ia menyediakan peluang yang lebih dekat, mudah diakses dan lebih inklusif kepada mahasiswa Sabah untuk menunjukkan bakat serta kemampuan mereka,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ahmad Rizal Adnan dalam ucapan perasmiannya menyatakan harapan agar kejohanan tersebut membolehkan atlet IPT untuk mempamerkan bakat dan menyemarakkan semangat kesukanan yang tinggi, sekali gus memperkasakan nilai tambah dan sahsiah mahasiswa.
“Menang atau kalah bukanlah ukuran utama, sebaliknya pengalaman, disiplin dan semangat juang yang dibina sepanjang pertandingan inilah yang akan menjadi aset berharga pada masa hadapan,” ujar beliau.
Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Faridah Mustafa.
SUIPTS 2026 akan berlangsung selama empat hari dan berakhir pada 21 Jun ini.


