Pilih bahasa anda

Language

MAHEPA Ke-27 UMS Iktiraf Kecemerlangan Mahasiswa dan Organisasi Pelajar

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengiktiraf pencapaian cemerlang mahasiswa dan organisasi pelajar menerusi Majlis Anugerah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (MAHEPA) Kali Ke-27 Tahun 2026 yang berlangsung baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang diwakili Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.

Pada majlis itu, Yusuf Naim Muhammad Idris Lutfi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa UMS 2026, manakala Clearin Johinis menerima Anugerah Tokoh Komuniti Siswa. Bagi kategori berkumpulan, Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha menerima Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata MAHEPA merupakan platform penting universiti dalam menghargai sumbangan dan pencapaian mahasiswa yang telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan mahasiswa serta kecemerlangan universiti.

Beliau berkata kejayaan mahasiswa dalam bidang akademik, kepimpinan, kesukarelawanan, penyelidikan, inovasi, keusahawanan dan pembangunan komuniti mencerminkan potensi besar generasi muda sebagai pelapis kepimpinan masa depan negara.

"Pencapaian ini turut membuktikan keberkesanan ekosistem pendidikan yang dibangunkan universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek intelektual, malah memiliki sahsiah, integriti dan daya kepimpinan yang tinggi," katanya.

Menurut beliau, pembangunan modal insan perlu terus diperkasa selaras dengan keperluan dunia yang semakin dinamik dan kompetitif.

Katanya, kecemerlangan mahasiswa pada masa kini tidak lagi dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya memerlukan keseimbangan antara ilmu pengetahuan, kemahiran profesional serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

"Kemahiran seperti kepimpinan, komunikasi berkesan, pemikiran kritis, kerja berpasukan, kreativiti serta literasi digital merupakan antara kompetensi yang semakin penting dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan dan kehidupan masa hadapan," tambahnya.

Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian 14 anugerah individu dan satu anugerah berkumpulan kepada mahasiswa serta organisasi pelajar yang menunjukkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun.

Selain Anugerah Tokoh Siswa UMS yang diterima Yusuf Naim Muhammad Idris Lutfi, turut menerima pengiktirafan ialah Nurin Batrisya Abdullah (Tokoh Keusahawanan Siswa), Jason Avinash A/L John Palmer (Tokoh Sukan Rekreasi Siswa), Ahmad Afif Hakimi Abdul Mukim (Tokoh Bicara Siswa), Thisant Ragu (Tokoh Daya Inovasi Siswa), Nurulhuda Nabilah Abdul Aziz (Tokoh Sukarelawan Siswa), Clearin Johinis (Tokoh Komuniti Siswa), Nurkhairunnisa Nazhimah Waja (Tokoh Inklusif Siswa), Beldron Feadrek (Tokoh Perpaduan Siswa) dan Mohd Asran Lataga (Tokoh Kelestarian Siswa).

Dalam kategori sukan, Haiqal Yazeed dinobatkan sebagai Olahragawan UMS, manakala Hizillawaty Jamain menerima Anugerah Olahragawati UMS. Chia Faang Jann pula menerima Anugerah Khas Sukan (OKU).

Bagi kategori berkumpulan, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha menerima Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa yang membawa trofi, wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Kesemua penerima anugerah individu menerima trofi, wang tunai RM500 serta sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan sumbangan mereka kepada universiti serta masyarakat.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda