Pilih bahasa anda

Language

MUZAKARAH 2026 Platform Perkukuh Ekosistem Kewangan Islam Serantau

Penganjuran Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara 2026 (MUZAKARAH 2026) yang dijayakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama INCEIF University mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri Sabah sebagai platform strategik dalam memperkukuh pembangunan ekosistem kewangan Islam serta memperluas jaringan kerjasama antara kerajaan, universiti dan industri.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penganjuran muzakarah yang memasuki edisi ke-20 itu membuktikan komitmen berterusan universiti dan institusi berkaitan dalam memperkukuh wacana ilmu serta pembangunan industri kewangan Islam di Malaysia dan rantau Nusantara.

Katanya, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah persidangan bukan sahaja mengangkat Sabah sebagai medan pertemuan para ilmuwan, penggubal dasar, pengawal selia dan pengamal industri, malah membuka ruang kepada pertukaran ilmu, pembinaan jaringan kerjasama serta penerokaan peluang baharu yang memberi manfaat kepada pembangunan negeri dan negara.

“Menerusi kejayaan penganjuran muzakarah ini, diharapkan lebih banyak program akademik dan profesional bertaraf antarabangsa akan terus dianjurkan di Sabah bagi memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi ilmu dan pusat pertemuan pakar daripada pelbagai bidang.

“Kerajaan Negeri Sabah komited memperkukuh pembangunan modal insan melalui pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat, termasuk dalam bidang kewangan Islam.

“Kami percaya pembangunan industri kewangan Islam memerlukan ekosistem yang menyeluruh, merangkumi institusi pendidikan yang berkualiti, penyelidikan yang relevan, pembangunan bakat yang berterusan serta kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis makan malam muzakarah tersebut, di sini.

Arifin menambah, Sabah mempunyai potensi besar untuk terus membangunkan ekosistem kewangan Islam berikutan kekuatan sektor agromakanan, sumber asli dan faktor majoriti penduduk beragama Islam.

“Instrumen kewangan Islam seperti pembiayaan mikro, zakat, wakaf dan kewangan sosial Islam mampu memperkasa usahawan, meningkatkan kesejahteraan komuniti serta menyokong pembangunan sosioekonomi negeri.

“Program Asnafpreneur Sabah Bank Rakyat - UMS 2.0 umpamanya menjadi platform strategik dalam merapatkan jurang akses kepada modal, ilmu keusahawanan, teknologi dan pasaran dalam kalangan usahawan asnaf di Sabah,” katanya.

Ujar beliau, MUZAKARAH 2026 diharap mampu mencapai objektif dalam melahirkan idea baharu, memperkukuh kerjasama antara institusi serta menyumbang kepada pembangunan industri kewangan Islam yang mampan.

Turut hadir pada majlis berkenaan Mufti Negeri Sabah; Sahibus Samahah Datuk Dr. Ustaz Hj. Bungsu @ Aziz Haji Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah; Dato’ Syeikh Haji Zakaria Othman; Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University; Professor Emeritus Dato' Dr. Mohd Azmi Omar; dan Dekan Fakulti Pengajian Islam UMS, Prof. Dr. Muhamad Suhaimi Taat. 

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda