
Dalam usaha memperkukuh daya tahan komuniti terhadap ancaman gempa bumi dan tanah runtuh, Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menganjurkan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) pada 4 Jun 2026.
Program yang bakal berlangsung Dewan D’Izz Homestay, Kundasang tersebut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran masyarakat setempat dalam menghadapi ancaman gempa bumi dan tanah runtuh.
Pengarah NDRC UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, program itu merupakan kerjasama strategik antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Daerah Ranau menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Ranau.
“Program ini melibatkan pelbagai agensi teknikal dan keselamatan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta NGO tempatan seperti Ranau Four Wheel Drive Association (RFWDA) dan Mesilou Volunteer Club (MEVOC).
“Pendekatan Community-Based Disaster Risk Reduction (CBDRM) diterapkan bagi membina komuniti yang lebih berdaya tahan, responsif dan bersedia menghadapi bencana melalui pengukuhan pengetahuan, kemahiran serta tindakan mitigasi yang berkesan.
“Melalui pendekatan ini, masyarakat bukan sahaja memahami risiko bencana di kawasan mereka, malah berupaya bertindak secara lebih berkesan sebelum, semasa dan selepas berlakunya bencana,” katanya.
Tambah Carolyn, peserta dapat mengikuti pelbagai sesi taklimat berkaitan pengurusan bencana, termasuk peranan agensi dan komuniti, risiko tanah runtuh di Sabah, kawasan berisiko tinggi pergerakan sesar serta ancaman gempa bumi di Kundasang dan Ranau.
“Peserta juga akan didedahkan kepada latihan simulasi gempa bumi, pemetaan risiko tanah runtuh, pertolongan cemas asas serta pengurusan mangsa di kawasan zon merah yang dikendalikan oleh agensi berkaitan.
“Aktiviti ini memberi ruang kepada peserta berinteraksi secara langsung dengan wakil agensi dan NGO bagi meningkatkan kefahaman mengenai peranan masing-masing dalam usaha membina komuniti yang lebih berdaya tahan terhadap bencana,” ujar Carolyn.
Beliau menambah, penganjuran program berkenaan selaras dengan usaha memperluas budaya kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti serta menyokong agenda nasional dalam pengurangan risiko bencana atau Disaster Risk Reduction (DDR).
“Bagi menggalakkan penyertaan komuniti secara lebih inklusif, pelbagai aktiviti pendidikan turut disediakan untuk kanak-kanak termasuk pertandingan mewarna, tayangan animasi dan sesi pembelajaran interaktif berkaitan keselamatan serta pengurusan bencana,” katanya.


