
Pameran interaktif Mobile Exhibition ‘Experiencing Science, Enlightening Innovation’ yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilihat mampu menjadi platform penting dalam memperkenalkan pengalaman pembelajaran sains yang lebih interaktif, kreatif dan mudah diakses oleh masyarakat.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata, program hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) bersama Guangxi Science and Technology Museum (GSTM) China itu adalah salah satu usaha memperkukuh pembudayaan sains teknologi dan inovasi melalui pendekatan yang lebih dinamik serta merentas sempadan antarabangsa.
“Kolaborasi ini membuka ruang kepada perkongsian ilmu, teknologi dan inovasi yang mampu memberi manfaat besar kepada pembangunan modal insan serta generasi masa hadapan.
“Selaras dengan aspirasi UMS untuk memperkukuh pendidikan STEM dan inovasi, inisiatif seperti ini diharap dapat mencetuskan minat, rasa ingin tahu serta semangat eksplorasi khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Melalui pendekatan pembelajaran secara langsung dan interaktif, usaha ini juga diharap dapat membudayakan pemikiran kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi sempena perasmian program tersebut di Perpustakaan UMS.
Dalam pada itu, Kasim berkata sokongan dana KPSTI dalam pelaksanaan Program Professor@School UMS membolehkan institusi ini mampu melibatkan sebanyak 33 buah sekolah di seluruh Sabah pada tahun 2025 dengan penyertaan lebih 69,000 orang.
Menurutnya, UMS akan sentiasa komited dan bersedia untuk menyokong pelbagai program dan inisiatif Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang diterajui oleh KPSTI
untuk melaksanakan program yang berimpak tinggi sekaligus bermanfaat kepada masyarakat di seluruh negeri.
“Melalui U-Science, UMS kini menyediakan platform pembelajaran yang interaktif, menyeronokkan dan percuma kepada semua lapisan masyarakat untuk meneroka pelbagai aktiviti dan pameran pembelajaran yang disediakan.
“UMS sentiasa mengalu-alukan kunjungan pelajar, guru, institusi pendidikan serta komuniti untuk menikmati ruang dan kemudahan yang terdapat di UMS untuk dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan, pembelajaran dan pembudayaan sains dalam kalangan masyarakat”, ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap I, KPSTI, Doria Tai Yun Tyng menyeru seluruh warga UMS dan Kota Kinabalu agar mengambil peluang sepenuhnya yang disediakan melalui pameran ini.
“Marilah kita bersama-sama menyemarakkan budaya ilmu, inovasi dan pemikiran saintifik demi membina masa depan generasi Sabah yang lebih cerah dan berdaya tahan”, katanya dalam ucapan ketika mewakili Menteri Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib merasmikan program tersebut.
Pada majlis sama, Doria turut menyempurnakan perasmian Kids Learning Zone, serta penyerahan sumbangan dana kepada UMS.
Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Datuk Tiyunin; Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih Ching Yaw; dan Pengarah U-Science UMS, Md Sazali Md Saleh.


