
Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) terus memperkasa jalinan universiti dengan komuniti menerusi Sesi Final Pitching Projek “Dari Kampus ke Komuniti: Pelajar UMS Memperkasa Perusahaan Sosial Melalui IMC”.
Program itu yang berlangsung di ruang legar FPEP, baru-baru ini melibatkan seramai 105 pelajar yang mengambil kursus Integrated Marketing Communication di fakulti tersebut.
Pensyarah kanan FPEP, Dr. Siti Nor Bayaah Ahmad berkata projek pembelajaran berasaskan pengalaman itu memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu Komunikasi Pemasaran Bersepadu (IMC) dalam menangani cabaran pemasaran sebenar yang dihadapi oleh perusahaan sosial tempatan.
“Pelaksanaan projek tersebut turut mendapat sokongan Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA), UMS melalui Dana SULAM berjumlah RM5,755 di bawah Dana Khas Strategik Akademik Universiti.
“Sokongan berkenaan membolehkan pelajar melaksanakan aktiviti pembelajaran bersama komuniti secara lebih menyeluruh melalui lawatan lapangan, penghasilan bahan promosi serta sesi pembentangan bersama usahawan,” katanya dalam satu kenyataan sempena perasmian program tersebut.
Perasmian program itu disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FPEP, Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan.
Menurut Siti, keunikan program berkenaan terletak pada proses penilaian yang melibatkan dua kategori panel penilai, iaitu lima juri akademik dan sepuluh juri dalam kalangan usahawan perusahaan sosial, sekali gus memastikan setiap cadangan yang dihasilkan dinilai daripada perspektif akademik dan industri.
“Melalui kolaborasi bersama 10 perusahaan sosial tempatan dalam projek ini, pelajar berperanan penting sebagai perunding pemasaran dengan membangunkan cadangan strategi berasaskan elemen produk, harga, saluran pengedaran dan promosi bagi meningkatkan daya saing perusahaan sosial berkenaan.
“Saya berharap kerjasama strategik antara FPEP, PPKA dan perusahaan sosial tempatan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh agenda pembelajaran berasaskan pengalaman (SULAM), melahirkan graduan yang kompeten serta menyumbang kepada pembangunan komuniti secara mampan,” ujarnya.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen UMS dalam memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman yang menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan sebenar industri dan komuniti.


