
Sabah merekodkan sebanyak 1,180 kes malaria pada 2025 dengan jangkitan malaria monyet kekal dominan iaitu 1,154 kes, sekali gus menuntut pendekatan pencegahan lebih proaktif, khususnya dalam kalangan komuniti yang terdedah kepada kawasan hutan.
Profesor Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Jenarun Jelip, berkata data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan secara keseluruhan sebanyak 2,596 kes malaria dilaporkan di Malaysia pada tahun yang sama.
“Daripada jumlah itu, 2,063 kes melibatkan malaria monyet manakala 533 kes adalah malaria manusia yang kebanyakannya merupakan kes import. Malaysia tidak lagi berdepan ancaman serius terhadap malaria manusia kerana telah berjaya menghapuskan jangkitan tempatan.
“Namun, risiko malaria monyet masih tinggi terutama di Sabah berikutan faktor geografi dan aktiviti manusia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Jenarun berkata malaria monyet berlaku melalui jangkitan limpahan apabila nyamuk Anopheles yang menggigit monyet turut menggigit manusia, khususnya apabila manusia memasuki habitat hutan.
Bagi simptom penyakit itu, beliau berkata tanda malaria bergantung kepada spesies parasit, namun gejala utama ialah demam yang berulang dalam corak tertentu.
“Pesakit biasanya mengalami fasa demam panas, menggigil dan berpeluh yang berulang setiap 12 jam, 36 jam atau 72 jam bergantung kepada jenis malaria.
“Perbezaan ini ketara jika dibandingkan dengan simptom denggi yang mengalami demam tinggi secara mengejut dan disertai sakit otot serta sakit di belakang mata,” tambahnya lagi.
Dr. Jenarun turut menjelaskan golongan berisiko menghidapi penyakit malaria termasuk individu yang terlibat dalam aktiviti hutan seperti pembalakan, penyelidikan, ekopelancongan dan rekreasi kerana terdedah kepada gigitan nyamuk Anopheles.
Katanya lagi, antara cabaran utama rawatan malaria ialah ketidakpatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat serta kelewatan mendapatkan rawatan, yang boleh membawa kepada komplikasi serius.
“Terdapat pesakit yang tidak mendapatkan pemeriksaan awal walaupun bergejala sehingga penyakit dikesan pada tahap kritikal,” katanya.
Menurutnya, rawatan malaria lazimnya mengambil masa tiga hari, namun terdapat jenis tertentu yang memerlukan rawatan sehingga dua minggu dan pesakit biasanya akan dimasukkan ke hospital untuk pemantauan rapi.
Dalam aspek pencegahan, beliau menekankan kepentingan langkah perlindungan diri seperti memakai pakaian berlengan panjang, menggunakan losyen penghalau nyamuk serta peralatan penghalau seperti lingkaran nyamuk.
“UMS kini sedang menjalankan penyelidikan bagi membangunkan kaedah pengesanan cepat khusus untuk malaria monyet serta program pencegahan berasaskan komuniti.
“Kita mahu memperkasakan masyarakat supaya mereka sendiri mampu mengambil langkah pencegahan di peringkat individu dan komuniti,” ujar beliau.


