
Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Kelab PEMADAM terus giat dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyalahgunaan dadah melalui penganjuran program Preventing Against Drug Abuse Movement (PADAM).
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, program tersebut berjaya menghimpunkan penduduk kampung dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta kepentingan langkah pencegahan awal dalam masyarakat.
Katanya, program itu dilaksanakan sebagai platform pendidikan komuniti yang memberi pendedahan mengenai kesan penyalahgunaan dadah terhadap individu, institusi keluarga dan kesejahteraan sosial.
“Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan bukan sahaja berjaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peserta mengenai bahaya dadah, malah turut mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat.
“Institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting bukan sahaja dalam melahirkan graduan berkualiti, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan komuniti melalui pelaksanaan program berimpak tinggi,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan program tersebut di Kampung Suromboton, Tenghilan, baru-baru ini.
Menurut beliau, penyalahgunaan dadah merupakan cabaran yang perlu ditangani secara kolektif oleh semua pihak.
“Justeru itu, usaha pencegahan melalui pendidikan, peningkatan kesedaran dan penglibatan komuniti perlu terus diperkasakan bagi membentuk masyarakat yang lebih sihat, selamat dan berdaya tahan,” ujar beliau.
Kerjasama erat antara universiti dan masyarakat khususnya melalui program PADAM perlu diteruskan bagi memangkin kepada pembentukan komuniti yang lebih prihatin, sihat dan bebas daripada pengaruh dadah.
Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Pusat Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Kamisan Pusiran yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Profesor Dr. Raman Noordin; Ketua Kampung Suromboton, Jeffrey Gouni; Pegawai Penyelaras Kelab PEMADAM UMS Sabah, Alna Tugon; Presiden Kelab PEMADAM UMS
sesi 2025/2026, Muhammad Eddry Sahirun; dan Pengarah Program PADAM 2026, Nuraniezan Syakinah Amzan.


