
Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus membina generasi muda yang celik Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta cakna terhadap biodiversiti dan pemuliharaan menerusi Program Rakan BORNEENSIS 2026 yang menggunakan pendekatan pembelajaran praktikal dan interaktif.
Program anjuran Sektor BORNEENSIS, IBTP itu mendapat sokongan Akademi Sains Malaysia (ASM) melalui sumbangan dana dan kepakaran, selain kerjasama Pertubuhan Pemuliharaan Biodiversiti Sabah (Seratu Aatai).
Sokongan ASM memberikan nilai tambah kepada program menerusi perkongsian ilmu dan kepakaran berkaitan sains serta kelestarian, sekali gus membantu menghubungkan pengalaman pembelajaran peserta dengan isu biodiversiti dan alam sekitar pada peringkat yang lebih luas.
Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim berkata, kerjasama dengan ASM membantu memperkayakan kandungan program, khususnya dalam menghubungkan pendidikan biodiversiti di peringkat akar umbi dengan agenda sains dan kelestarian pada peringkat kebangsaan.
“Kami amat menghargai sokongan ASM yang bukan sahaja membantu dari segi dana, tetapi turut menyumbang kepakaran dan kandungan yang memperkayakan pengalaman pembelajaran peserta.
“Kerjasama seperti ini penting kerana kita mahu generasi muda memahami bahawa biodiversiti di sekeliling mereka mempunyai kaitan dengan isu yang lebih besar seperti kesihatan bumi, perubahan alam sekitar dan kelestarian.
“Dengan membawa perspektif tersebut lebih dekat kepada mereka, kita dapat membina kefahaman bahawa sains bukan sekadar sesuatu yang dipelajari, tetapi perlu diterjemahkan kepada tindakan,” jelasnya.
Tambah Fiffy, pendidikan biodiversiti perlu membentuk generasi yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan, malah mempunyai kesedaran dan keinginan untuk mengambil tindakan dalam menjaga alam sekitar.
“Kita mahu peserta pulang dengan lebih daripada sekadar kenangan. Kita mahu mereka membawa pulang pengetahuan, rasa ingin tahu dan kesedaran bahawa mereka juga mempunyai peranan dalam menjaga alam sekitar.
“Apabila institusi seperti UMS, ASM dan organisasi pemuliharaan bekerjasama dalam pendidikan generasi muda, kita bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi sedang membina jaringan generasi yang akan menjadi penjaga biodiversiti dan alam sekitar pada masa hadapan,” katanya.
Antara aktiviti utama termasuk Issue of Science and the Environment, nocturnal Wonders, A STEM Exploration of Night Animals, Birding, Science and Technology Exploration through UAV (Drone) Applications dan STEM & Nature Explorace serta Conservation Efforts to Protect Elephants.
Selain itu, peserta turut berpeluang mengunjungi Galeri BORNEENSIS yang memperkenalkan koleksi biodiversiti Borneo serta peranannya sebagai sumber rujukan bagi penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan.
Lawatan tersebut turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan dokumentasi dan pemeliharaan khazanah alam semula jadi Borneo, selain mendekatkan mereka dengan usaha penyelidikan biodiversiti yang dijalankan oleh IBTP.
Program diakhiri dengan Workshop on Sustainability Action Planning & Unboxing of Rainforest Biodiversity Perceptions, yang memberi ruang kepada peserta menghubungkan pengetahuan dan pengalaman sepanjang program dengan tindakan berkaitan kelestarian.


