
Penyertaan seramai 80 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Politeknik Kota Kinabalu dalam Program Sabah NextGen 2.0 Oil & Gas Boot Camp 2026 baru-baru ini mampu memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan bakal graduan untuk memenuhi keperluan industri minyak dan gas yang semakin kompetitif.
Program yang berlangsung di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah itu merupakan hasil kerjasama EPOMS Global Solutions Sdn. Bhd., Politeknik Kota Kinabalu dan Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC), UMS bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kebolehpasaran graduan dalam industri minyak dan gas.
Pengarah CEDeC UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Sidah Idris berkata, kolaborasi itu antara lain bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai industri minyak dan gas.
“Ini merangkumi prospek kerjaya, keperluan industri serta kemahiran yang diperlukan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Program ini turut menjadi platform strategik dalam mengukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan pihak industri bagi melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing bersedia memasuki alam pekerjaan dalam sektor minyak dan gas,” katanya.
Tambah beliau, penyertaan UMS dalam program berkenaan selaras dengan komitmen universiti untuk memperluas kerjasama strategik bersama industri bagi memperkukuh pembangunan bakat, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan melahirkan modal insan yang memenuhi keperluan sektor minyak dan gas di Sabah.
Program dua hari itu menyaksikan pelbagai sesi perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh 12 orang wakil daripada EPOMS Global Solutions Sdn. Bhd., Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC), Sabah Oil and Gas Services Council (SOGSC), Kimanis Power Sdn. Bhd. (KPSB), Energy Commission of Sabah (ECOS), Sabah Shell Petroleum Company (SSPC), Sabah Skills & Technology Centre (SSTC) dan SEA Hibiscus.
Hadir sama Timbalan Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Muhammaddin Mohd. Jair; Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Penyelidikan, Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd., Ir. Datu Mohd Redzwan Datu Basrun; Naib Presiden SOGSC, Jesselton Jason James; Ketua Pentadbiran CEDeC UMS, Ailina Jampadin; serta Eksekutif Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Xenia Teo


