
Universiti Malaysia Sabah (UMS) merekodkan ambilan tertinggi pelajar Program Asasi apabila menerima seramai 1,088 pelajar baharu bagi sesi akademik 2026/2027.
Jumlah tersebut melibatkan pelajar dari seluruh negeri di Malaysia yang akan mengikuti pengajian di bawah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), sekali gus menjadikan kohort kali ini sebagai yang terbesar sejak penubuhan pusat berkenaan pada tahun 2010.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, peningkatan jumlah kemasukan pelajar baharu itu mencerminkan keyakinan berterusan masyarakat terhadap kualiti pendidikan dan laluan akademik yang ditawarkan universiti tersebut.
“Program Asasi UMS terus menjadi platform penting dalam menyediakan pelajar dengan asas pengetahuan dan kemahiran sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
“Tempoh pengajian di peringkat asasi merupakan fasa penting yang membantu pelajar menyesuaikan diri daripada budaya persekolahan kepada kehidupan universiti yang lebih mencabar serta menuntut kematangan dalam pemikiran dan tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Minggu Suai Mesra (MSM) Asasi UMS Sesi 2026/2027 Kali Ke-17 di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, baru-baru ini.
Tambah Kasim, kejayaan pelajar memperoleh tempat dalam Program Asasi UMS merupakan hasil usaha, ketekunan dan kecemerlangan yang telah ditunjukkan sepanjang persekolahan.
“Selain pencapaian akademik, penglibatan dalam aktiviti universiti mampu meningkatkan keyakinan diri, kemahiran insaniah serta kebolehan kepimpinan yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.
“UMS kekal komited untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang pengkhususan masing-masing, malah seimbang dari segi sahsiah, kepimpinan dan keterampilan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah PPST, Profesor Madya ChM. Dr. Newati Wid berkata jumlah ambilan yang direkodkan pada sesi kali ini mencerminkan komitmen UMS dalam menyediakan akses pendidikan tinggi yang inklusif kepada pelajar dari pelbagai latar belakang.
“Daripada jumlah keseluruhan pelajar yang mendaftar, seramai 695 orang mengikuti Program Asasi Sains, 99 orang Program Asasi Agrisains, 75 orang Program Asasi Teknologi Maklumat (IT) dan 27 orang Program Asasi Sains Sosial.
“Program Asasi UMS telah melahirkan ribuan alumni yang berjaya menyambung pengajian ke pelbagai fakulti di universiti tersebut serta menyumbang kepada kecemerlangan institusi berkenaan.
“Kemasukan 1,088 pelajar baharu pada sesi akademik 2026/2027 menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh peranan PPST sebagai laluan strategik ke pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan negara,” ujar beliau.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Raman Noordin.


