Pilih bahasa anda

Language

UMS, Fujifilm Malaysia Meterai MoA Tubuh Advanced HUMS Endoscopic Training Centre


 
Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik antarabangsa bersama Fujifilm Malaysia melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bagi penubuhan dan pembangunan Advanced HUMS Endoscopic Training Centre.
 
Pusat latihan tersebut diwujudkan sebagai platform untuk memperkukuh latihan endoskopi, memperluas perkongsian ilmu, menganjurkan bengkel profesional serta menyokong aktiviti penyelidikan melibatkan HUMS.
 
Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, kerjasama tersebut menjadi satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan dan latihan perubatan selaras dengan perkembangan teknologi kesihatan global.
 
“Melalui penubuhan Advanced HUMS Endoscopic Training Centre ini, UMS dan HUMS dapat memperkasakan latihan klinikal khususnya dalam bidang endoskopi menerusi sokongan kepakaran industri dan teknologi terkini.
 
“Pusat latihan ini juga akan menjadi platform penting untuk perkongsian ilmu, pembangunan profesional, penyelidikan bersama serta penganjuran bengkel dan seminar melibatkan tenaga akademik, pegawai perubatan dan pakar industri,” katanya.
 
Beliau berkata demikian sempena Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMS dan Fujifilm (Malaysia) Sdn. Bhd. yang berlangsung di Pusat Perubatan Primer, HUMS, pada Selasa.
 
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah HUMS, Profesor Madya Dr. Malehah Mohd Noh.
 
Tambah Kasim, kerjasama tersebut turut membuka peluang kepada kakitangan dan pegawai perubatan UMS serta HUMS untuk menjalani latihan di luar negara di samping membawa kepakaran antarabangsa ke universiti dalam usaha memperkukuh pembangunan kepakaran dalam bidang berkaitan.


Melalui kerjasama tersebut, HUMS turut memperoleh geran pendidikan bernilai RM40,000 bagi menyokong aktiviti akademik dan pembangunan profesional.
 
Selain itu, Fujifilm Malaysia juga bersedia meminjamkan peralatan Fujifilm 7000s Endoscopy Tower kepada HUMS bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran klinikal.
 
Sementara itu, Pengarah Urusan Fujifilm (Malaysia) Sdn. Bhd., Kensuke Aragane berkata penubuhan Advanced HUMS Endoscopic Training Centre bertujuan menyokong HUMS sebagai hab kecemerlangan dalam bidang endoskopi di Sabah.
 
“Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada latihan, bengkel dan aktiviti penyelidikan bagi memastikan teknologi perubatan terkini dapat dimanfaatkan secara optimum.
 
“Kami percaya inovasi hanya bermakna apabila ia dapat dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan, dan kerjasama ini mencerminkan komitmen tersebut,” katanya.
 
UMS dan HUMS terus komited memperluaskan jaringan kerjasama industri dan antarabangsa dalam memperkukuh peranan sebagai institusi perubatan akademik yang progresif, berdaya saing dan berimpak tinggi kepada masyarakat.
 
Hadir sama Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Nakasuji Hisaki dan Eksekutif Jualan, Sistem Perubatan Fujifilm (Malaysia) Sdn. Bhd., Nor afiqah Abd Rahim.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda