Pilih bahasa anda

Language

UMS Kekal Mengutamakan Pelajar Tempatan, Pengantarabangsaan Diperkasa Secara Seimbang

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa tidak menjejaskan peluang pelajar tempatan, khususnya anak-anak Sabah, sebaliknya kedua-dua kumpulan mencatat pertambahan enrolmen secara serentak.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, dakwaan bahawa pelajar antarabangsa mengambil tempat pelajar tempatan adalah tidak tepat dan tidak disokong oleh data rasmi universiti.

Menurut beliau, data UMS menunjukkan enrolmen pelajar tempatan meningkat daripada 18,286 orang pada 2024 kepada 20,287 orang pada 2025, iaitu pertambahan 2,001 pelajar atau 10.94 peratus.

“Dalam tempoh sama, enrolmen pelajar antarabangsa turut meningkat secara sederhana daripada 712 kepada 873 orang. Ini membuktikan pertambahan pelajar antarabangsa berlaku seiring dengan peningkatan kemasukan pelajar tempatan, bukannya menggantikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengambilan pelajar antarabangsa bagi program prasiswazah juga dikawal secara berhemah dan lazimnya tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah enrolmen bagi memastikan keutamaan kepada pelajar tempatan terus dipelihara.

Katanya, sebagai universiti yang berpaksikan Sabah dan Borneo, UMS kekal komited membuka akses seluas-luasnya kepada pendidikan tinggi untuk anak-anak Borneo, termasuk mereka dari kawasan pedalaman dan luar bandar.

Pada masa sama, beliau menjelaskan kehadiran pelajar antarabangsa merupakan sebahagian daripada agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara yang digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi  bagi memperkukuh kualiti akademik, penyelidikan, jaringan antarabangsa dan reputasi universiti di peringkat global.

Menurut Kasim, agenda itu turut menjadi antara indikator penting dalam penilaian universiti bertaraf dunia seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE).

Beliau berkata, dalam era globalisasi, universiti perlu bersaing menarik bakat terbaik dari seluruh dunia serta membina jaringan penyelidikan antarabangsa bagi melahirkan graduan yang mampu bersaing di peringkat global.

“UMS tidak mempunyai pilihan selain memperkukuh agenda pengantarabangsaan sekiranya ingin kekal relevan dan terus menjadi destinasi pendidikan yang diyakini komuniti antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, cabaran utama pengambilan pelajar di universiti awam ketika ini bukan berpunca daripada kemasukan pelajar antarabangsa, sebaliknya terdapat beberapa program, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang masih belum mencapai sasaran pengambilan.

Menurutnya, inisiatif pengantarabangsaan bukan sahaja tidak mengetepikan rakyat Sabah atau Malaysia, malah membantu menarik komuniti antarabangsa ke negeri itu sekali gus merancakkan sektor pelancongan pendidikan serta memberi limpahan ekonomi kepada Sabah.

Kasim memberi jaminan UMS akan terus memastikan keseimbangan antara tanggungjawab menyediakan akses pendidikan kepada rakyat Malaysia dan usaha mengangkat Sabah sebagai hab ilmu yang disegani di rantau ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar perbahasan mengenai agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi dibuat berdasarkan fakta dan data, bukannya persepsi yang boleh mengelirukan masyarakat.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda