Pilih bahasa anda

Language

UMS Laksana Tujuh Projek Pemindahan Ilmu Di Tongod Menerusi Rentas Borneo 2026

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melaksanakan tujuh projek pemindahan ilmu menerusi Program Rentas Borneo 2026 “Keramuak Disusur, Bakti Dihulur” bagi menyalurkan kepakaran universiti kepada komuniti Kampung Keramuak, Tongod dan kawasan berhampiran.

Program itu yang dilaksanakan baru-baru ini melibatkan 65 peserta terdiri daripada warga UMS, Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS 4WDVC), agensi kerajaan dan swasta serta komuniti setempat.

Antara tujuh projek yang dilaksanakan ialah Pemindahan Ilmu Pendidikan Kesihatan dan Perubatan yang diterajui Hospital UMS (HUMS), termasuk aktiviti berkhatan beramai-ramai yang melibatkan 25 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Keramuak.

Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) pula menerajui Pemindahan Ilmu Pendidikan, Meneroka Dunia dan Cita-cita serta Pengurusan dan Kecerdasan Emosi Murid bagi membantu murid memperluas pengetahuan serta membangunkan kemahiran pengurusan emosi.

Sementara itu, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS melaksanakan Pemindahan Ilmu Teknologi Kompos dan Penanaman Anak Pokok yang memberi pendedahan berkaitan amalan pengurusan sisa dan penanaman kepada komuniti.

Dalam bidang pengajian Islam, Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS menerajui Pemindahan Ilmu Pengajian Islam melalui Bengkel al-Fatihah, manakala Galeri Azman Hashim-UMS dan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) UMS melaksanakan Pemindahan Ilmu Kesenian dan Budaya Malaysia MADANI.

Dua lagi projek melibatkan Pemindahan Ilmu Kesedaran Alam Sekitar dan Biodiversiti yang diterajui Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, serta Program Keselamatan dan Masyarakat oleh Bahagian Keselamatan UMS (BKUMS).

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, pelaksanaan pelbagai projek pemindahan ilmu itu mencerminkan peranan UMS dalam membawa kepakaran universiti kepada masyarakat luar bandar.

“UMS bukan hanya di bandar sahaja, tetapi kami bergerak ke kawasan-kawasan pedalaman mencurahkan ilmu kepada komuniti-komuniti tempatan agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan.

“Kepelbagaian bidang yang diketengahkan menerusi tujuh projek berkenaan selaras dengan aspirasi UMS sebagai The Brain of Borneo dalam memanfaatkan kepakaran universiti untuk pembangunan masyarakat.

“Program pemindahan ilmu dalam pelbagai disiplin ilmu seumpama ini amat bertepatan dengan nilai dan aspirasi ‘UMS The Brain of Borneo’ yang telah kita gariskan,” jelasnya.

Tambah Kasim, program pemindahan ilmu seumpama itu wajar dilaksanakan secara berkala bagi memastikan komuniti luar bandar terus mendapat manfaat daripada kepakaran dan pengetahuan yang dimiliki UMS.

“Semoga dengan pemindahan ilmu ini dapat meningkatkan lagi taraf hidup komuniti desa dan menjadikan komuniti desa, komuniti yang pentingkan ilmu dan sentiasa mahu maju ke hadapan.

“Saya yakin program ini akan memberikan impak yang positif kepada komuniti Kampung Keramuak dan berguna di dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Turut hadir pada acara perasmian tersebut Imam Masjid Nurul Huda, Ustaz Masdin Awang yang mewakili Pemaju Mukim Keramuak; Ketua Anak Negeri, Keramuak, Japar Jalani; Guru Besar SK Keramuak, Edmund Guriana; Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin; Penasihat Undang-undang UMS, Awang Suhaizam Bungso; dan Presiden UMS 4WDVC merangkap pengarah program, Profesor Madya Dr. Mohammad Pu’ad Bebit.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda