
Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempergiat penyelidikan dalam bidang teknologi makanan dan pertanian moden sebagai usaha menjadikan Sabah sebagai pengeluar utama makanan di rantau Asia Tenggara.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansor berkata, penyelidikan itu dibangunkan Fakulti Pertanian Lestari (FPL) termasuk menerusi penggunaan teknologi pertanian pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dengan tumpuan terhadap agenda sekuriti makanan bagi menyokong aspirasi kerajaan negeri.
Katanya, UMS memainkan peranan penting bagi memastikan industri itu berkembang bukan sahaja di peringkat hiliran, tetapi juga sektor huluan khususnya di daerah Sandakan yang kaya dengan sumber asli dan berpotensi besar dalam bidang pertanian.
"UMS komited melahirkan graduan dilengkapi ilmu serta kemahiran teknologi terkini bagi memastikan sektor pertanian di negeri ini terus berdaya saing.
"Usaha ini bukan saja untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan, malah berpotensi menjadi pengeluar utama makanan di rantau Asia Tenggara pada masa hadapan," katanya kepada media pada Majlis Apresiasi dan Iftar Sahabat Media UMS Sandakan.
Mengenai program itu, Kasim berkata, kerjasama strategik dengan rakan media amat signifikan dalam mengetengahkan pencapaian universiti itu khususnya penyelidik yang banyak menyumbang terhadap pembangunan negeri.
Katanya, sambutan 31 tahun UMS yang ditubuhkan sejak 1994 menjadi pemangkin untuk melonjakkan lagi peranan UMS sebagai institusi yang berdaya saing selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) bagi tempoh 10 tahun akan datang.
"UMS terus melangkah ke hadapan sebagai pusat kecemerlangan ilmu di Sabah dan Borneo.
"Sokongan berterusan daripada media akan membantu memastikan setiap usaha UMS dapat dikongsikan secara meluas kepada masyarakat," katanya.
Seramai 21 pengamal media yang mewakili pelbagai agensi menghadiri program tersebut.
Turut hadir, Penolong Naib Canselor (Strategik) UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Dr Rizal Zamani Idris.


