Pilih bahasa anda

Language

UMS Perkasakan Kepimpinan Pelajar OKU, Lantik Wakil Mahasiswa Dalam MPP

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh komitmen terhadap pendidikan inklusif apabila melantik wakil mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2025/2026.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Hj. Mansor berkata, pelantikan wakil mahasiswa OKU dalam MPP merupakan satu langkah penting dalam memastikan suara golongan tersebut terus diangkat dalam sistem kepimpinan pelajar universiti.

“Inisiatif itu bukan sahaja memberi ruang kepada mahasiswa OKU untuk terlibat secara langsung dalam tadbir urus MPP, malah turut memperkukuh usaha universiti dalam menjaga kebajikan serta kepentingan mereka secara lebih menyeluruh.

“UMS komited untuk memastikan tiada pelajar yang terpinggir, termasuk mahasiswa OKU. Penyertaan mereka dalam MPP membolehkan pandangan dan keperluan mereka diambil kira secara langsung dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sesi penyerahan Watikah Pelantikan MPP (Lantikan OKU) yang berlangsung pada Isnin di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, Bangunan Canselori.

Watikah pelantikan tersebut diserahkan kepada pelajar tahun dua Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Mohammad Azrie Rodi. 

Untuk rekod, Azrie juga merupakan Presiden Kelab Mahasiswa OKU UMS dan mempunyai OKU penglihatan akibat penyakit Retinitis Pigmentosa.

Mengulas lanjut, Dr Kasim berkata, lantikan itu juga selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dalam memastikan pendidikan inklusif terus diperkasa di institusi pengajian tinggi.

“Langkah tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam mewujudkan persekitaran kampus yang mesra OKU serta membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa berkeperluan khas untuk menyerlahkan potensi diri.

"Pada masa yang sama, lantikan Azrie turut bertepatan dengan hala tuju UMS dalam memperkukuh inisiatif penjenamaan  UMS The Brain of Borneo yang menekankan nilai teras B.R.A.I.N, khususnya elemen 'Inclusive' (keterangkuman)," jelasnya.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Raman Noordin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat; Pengarah Pusat Pengurusan OKU, Dr. Zaiton Mohamed; Presiden MPP, Allen Paul Justinus Situ; serta wakil Jawatankuasa Pilihanraya Kampus.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda