Pilih bahasa anda

Language

UMS, RBGE Scotland Meterai Hasrat Kerjasama Penyelidikan dan Pemuliharaan Biodiversiti

 

 

Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai Surat Hasrat (LoI) dengan Royal Botanic Garden Edinburgh (RBGE), Scotland bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti.

Majlis pemeteraian LoI itu diadakan dalam satu acara bersempena bengkel Know Your Plants: A Hands-on Training Workshop Series, yang menghimpunkan penyelidik, ahli akademik dan pelajar pascasiswazah, di sini.

LoI tersebut ditandatangani oleh Pengarah IBTP UMS, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim, manakala RBGE diwakili oleh Dr. Mark Hughes, Ketua Penyelidikan Taksonomi (Asia Tenggara) dan Ketua Taksonomi dan Makroekologi.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Fiffy berkata kerjasama tersebut bukan sekadar pemeteraian dokumen, malah menjadi titik permulaan kepada usaha bersama untuk memajukan penyelidikan saintifik, memperkukuh jaringan antarabangsa serta memelihara khazanah biodiversiti Borneo.

Kerjasama itu turut bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-30 IBTP yang menandakan tiga dekad komitmen institut tersebut dalam memperkasa penyelidikan biodiversiti, usaha pemuliharaan, serta pembangunan kapasiti.

“Sepanjang tiga dekad lalu, IBTP telah menyumbang kepada penemuan spesies baharu, menyokong pembangunan dasar pemuliharaan serta melahirkan penyelidik yang berupaya menjana pengetahuan saintifik demi manfaat Sabah, Malaysia dan masyarakat global,” katanya.

Menurut beliau, Borneo diiktiraf sebagai antara kawasan tumpuan biodiversiti dunia, namun masih banyak spesies yang belum direkodkan, sekali gus menjadikan penyelidikan taksonomi semakin penting dalam usaha pemuliharaan.

“Usaha memulihara biodiversiti perlu bermula dengan mengenali dan mengenal pasti setiap spesies secara tepat.

“Setiap spesies yang dikenal pasti menyumbang kepada pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai ekosistem serta menjadi asas kepada pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti,” katanya.

Tambahnya lagi, LoI tersebut mencerminkan komitmen bersama UMS dan RBGE untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang pendidikan pascasiswazah, pembelajaran

melalui kerja lapangan, sistematik tumbuhan, penyelidikan biodiversiti, penerbitan saintifik, mobiliti akademik serta pembangunan kapasiti.

“Kerjasama strategik ini diharap akan membuka lebih banyak peluang penyelidikan, penemuan saintifik dan pertukaran kepakaran, sekali gus mengangkat biodiversiti Borneo ke peringkat antarabangsa serta memastikan khazanah biodiversiti Borneo terus dipelihara untuk manfaat generasi akan datang,” ujar beliau.

Menerusi program tersebut, pakar botani RBGE, Dr. Zoe Goodwin akan berkongsi kepakaran dalam bidang botani tropika, taksonomi, penemuan spesies baharu serta latihan penyelidik pascasiswazah.

Bengkel itu juga memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan taksonomi tumbuhan sebagai asas dalam memahami evolusi, ekosistem dan penyelidikan biodiversiti, di samping membantu proses membuat keputusan dalam usaha pemuliharaan.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda