Pilih bahasa anda

Language

UMS, SEARCCT Perkasa Ketahanan Digital Belia Sabah

Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) telah menganjurkan Simposium Peringkat Kebangsaan “Membina Ketahanan Digital Belia” di Sabah International Convention Centre, baru-baru ini.

Ketua Pengarah SEARCCT, Datin Paduka Nur Ashikin Mohd Taib berkata, penganjuran simposium itu amat penting dalam memperkukuh kesedaran, pemahaman dan daya tahan masyarakat khususnya golongan muda terhadap cabaran keselamatan dalam era digital yang semakin kompleks.

“Dalam dunia hari ini, kehidupan generasi muda amat berkait rapat dengan teknologi dan media digital yang telah menjadi sebahagian daripada rutin harian kita.

“Walaupun dunia digital membuka ruang kepada pelbagai peluang dan kemajuan, ia juga turut membuka ruang kepada manipulasi, maklumat salah, ucapan kebencian serta pengaruh ideologi yang boleh mengancam keselamatan individu dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian simposium tersebut.

Menurut beliau lagi, golongan belia bukan sekadar pengguna teknologi, malah merupakan barisan hadapan dalam memastikan keselamatan digital negara terus terpelihara.

“Setiap klik, setiap perkongsian, dan setiap maklumat yang dipercayai serta disebarkan akan membentuk ekosistem digital masyarakat kita.

“Justeru, amat penting untuk kita membina ‘mental firewall’, iaitu keupayaan untuk menilai maklumat secara kritikal, menapis kandungan yang berbahaya serta menolak pengaruh ekstrem sebelum ia mempengaruhi cara fikir dan tindakan kita,” katanya.

Program tersebut dihadiri kira-kira 500 belia daripada Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah, University College Sabah Foundation, Politeknik Kota Kinabalu dan Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya.

Syarahan utama bertajuk “Peranan Belia dalam Memperkukuh Ketahanan Digital dan Keselamatan Negara” telah disampaikan oleh Datuk Mohd Azhar Hamin.

Sesi Panel I bertajuk “Memahami Ancaman Digital dan Kerentanan Belia” dikendalikan oleh moderator Angela Tessy Tantony dengan barisan ahli panel terdiri daripada Prof. Dr. Asmady Idris, Asrul Daniel Ahmed dan Mediha Mahmood.

Manakala, Sesi Panel II bertajuk “Forum Khas Fahaman Pelampau Keganasan” dikendalikan oleh moderator Karen Adelyn Lius dengan panel terdiri daripada Dr. Muhammad Rashidi Wahab bersama dua pendakwah bebas yang berkongsi pandangan mengenai kesedaran ancaman ekstremisme.

Hadir sama,Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi; Pensyarah Kanan UiTM, Dr. Fatihah Anas Muhiddin serta Penyelaras Program Simposium, Dr. Hafizah Nur Adeen Nor Ahmad.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda